Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan puasa ganti. Bolehkah saya menggantikan puasa wajib pada bulan Ramadan? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih Datuk.
Ringkasan Jawapan
Hukum mengerjakan puasa ganti pada bulan Ramadan adalah haram malah ibadah puasa yang dikerjakan adalah tidak sah. Hal ini kerana, bulan Ramadan hanya dikhususkan untuk puasa Ramadan sahaja.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Allah SWT berfirman:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
Surah al-Baqarah (185)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan atas sebab yang dibenarkan syarak ataupun secara sengaja, maka dia wajib menggantikannya pada hari lain selain bulan Ramadan.
Berkenaan perbuatan menggantikan puasa wajib pada bulan Ramadan, Imam al-Nawawi menyebut:
ولا يجوز ان يصوم في رضمان غير رمضان حاضرا كان أو مسافرا فان صام عن غيره لم يصح صومه عن رمضان لانه لم ينوه ولا يصح عما نوى لان الزمان مستحق لصوم رمضان فلا يصح فيه غيره
Maksudnya: “Haram hukumnya bagi seseorang itu mengerjakan puasa selain daripada Ramadan pada bulan Ramadan, sama ada dalam keadaan dia bermukim ataupun musafir. Sekiranya dia berniat puasa selain Ramadan ketika itu, maka tidak sah puasa Ramadannya kerana dia tidak meniatkannya, begitu juga tidak sah puasa yang diniatkan ketika itu sama ada puasa ganti, nazar atau puasa sunat yang lain. Hal ini adalah kerana waktu tersebut telah dikhususkan hanya untuk puasa Ramadan dan bukan untuk selainnya, maka tidak sah puasa selain Ramadan pada bulan tersebut[1].”
Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut perkara yang sama, beliau berkata bahawa tidak sah puasa yang diniatkannya sama ada puasa ganti, nazar, kaffarah ataupun sunat. Hal ini kerana bulan Ramadan berhak dan dikhususkan hanya untuk puasa Ramadan sahaja, maka dia tidak menerima puasa selainnya. Oleh yang demikian, puasa selain Ramadan pada bulan Ramadan adalah tidak sah[2].
Kesimpulannya, mengerjakan puasa ganti pada bulan Ramadan adalah haram hukumnya malah ibadah puasa yang dikerjakan adalah tidak sah. Hal ini kerana, bulan Ramadan hanya dikhususkan untuk puasa Ramadan sahaja.
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (T.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 6/445-446.
* قال المصنف رحمه الله
* {ولا يجوز ان يصوم في رضمان غير رمضان حاضرا كان أو مسافرا فان صام عن غيره لم يصح صومه
عن رمضان لانه لم ينوه ولا يصح عما نوى لان الزمان مستحق لصوم رمضان فلا يصح فيه غيره}
* {الشَّرْحُ} هَذِهِ الْمَسْأَلَةُ كَمَا قَالَهَا الْمُصَنِّفُ وَقَدْ سَبَقَ بَيَانُهَا مَبْسُوطَةً فِي أَوَائِلِ كِتَابِ الصِّيَامِ فِي مَسَائِلِ النِّيَّةِ وَذَكَرْنَا هُنَاكَ وَجْهًا شَاذًّا أَنَّهُ يَصِحُّ فِيهِ صَوْمُ التَّطَوُّعِ وَذَكَرْنَا بَعْدَهُ خلاف أبي حنيفة
[2] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H/2013M), 2/217.
6- صيام غير رمضان في رمضان:
لا يجوز أن يصوم في رمضان عن غير رمضان، سواء كان حاضرَا أم مسافرًا، فإن صام عن غيره لم يصح صومه، لا عن رمضان لأنه لم ينوه، ولا يصح عما نواه قضاء أو نذرًا أو كفارة أو تطوعًا، لأن شهر رمضان مستحق ومخصص لصيام رمضان وحده، فلا يقبل غيره، ولا يصح فيه غيره.