Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 242: ADAKAH BOLEH BERBUKA PUASA DI RUMAH SEBELUM BERMUSAFIR DALAM BULAN RAMADAN?

ADAKAH BOLEH BERBUKA PUASA DI RUMAH SEBELUM BERMUSAFIR DALAM BULAN RAMADAN

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya perlu bermusafir dalam bulan Ramadan atas urusan kerja. Soalan saya, adakah boleh saya makan dan minum di rumah sebelum memulakan pemusafiran atau saya perlu bermusafir terlebih dahulu barulah saya berbuka puasa?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Seseorang musafir hendaklah keluar dari kawasan tempat dia bermukim terlebih dahulu sebelum dia diharuskan untuk berbuka puasa. Namun begitu, cara yang terbaik ialah dia meneruskan puasanya setakat yang termampu dalam permusafiran, kemudian jika dia merasakan tidak mampu untuk meneruskan puasanya maka diharuskan baginya untuk berbuka puasa dalam permusafiran.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT memberikan keringanan kepada orang sakit dan orang yang bermusafir untuk berbuka puasa dan menggantikannya pada hari yang lain. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 184:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.

(Surah al-Baqarah: 184)

Di sisi mazhab al-Syafie, diharuskan untuk berbuka puasa bagi musafir sekiranya dalam permusafiran yang panjang lebih dua marhalah dan bukan bertujuan maksiat. Namun hendaklah dia berniat memulakan permusafirannya sebelum terbit fajar iaitu waktu subuh. Hal ini seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiah bahawa:

وللمسافر سفرًا طويلا إلا إن طرأ السفر بعد الفجر

Maksudnya: Diharuskan berbuka puasa bagi musafir yang dalam permusafiran yang jauh (lebih dua marhalah) kecuali jika seseorang meniatkan untuk memulakan permusafirannya selepas waktu subuh.[1] (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadramiah, 136)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan lagi, dalam situasi seseorang yang bermusafir hendaklah keluar daripada sempadan kawasan dia bermukim untuk diharuskan baginya berbuka puasa. Jika tidak, maka tidak diharuskan baginya berbuka puasa kerana dianggap sama seperti orang yang bermukim. Beliau berkata:

"إلا" أنه هنا لا يفطر "إن طرأ السفر" بأن لم يفارق العمران أو السور إلا "بعد الفجر" تغليبًا للحضر.

Maksudnya: Dia (musafir) tidak boleh berbuka puasa jika permusafirannya (iaitu keluar daripada bandar dan sempadan kawasan dia bermukim) berlaku selepas waktu subuh kerana dia dianggap sebagai seorang yang bermukim.[2] (Rujuk al-Minhaj al-Qawim, 1:250)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa tidak diharuskan baginya untuk berbuka puasa di rumah di siang hari pada bulan Ramadan apabila dia berniat selepas waktu subuh. 

Manakala jika seseorang itu sudah berada dalam keadaan bermusafir dan berniat puasa pada waktu malam, dia diharuskan untuk berbuka puasa pada siangnya dan hukumnya tidak makruh. Hal ini seperti yang dinyatakan Imam Zakaria al-Ansari bahawa beliau berkata:

(وَإِنْ نَوَى) أَيْ الْمُسَافِرُ الصَّوْمَ لَيْلًا فَإِنَّهُ يُبِيحُ الْفِطْرَ لِدَوَامِ الْعُذْرِ وَلَا يُكْرَهُ

Maksudnya: Jika seseorang yang sedang bermusafir berniat puasa pada malam hari, maka dia diharuskan untuk berbuka puasa kerana uzur (musafir) itu masih berterusan dan hukumnya tidak makruh.[3] (Rujuk al-Ghurar al-Bahiyyah, 2:225)

Walau bagaimanapun dalam situasi ini, cara yang terbaik ialah dia meneruskan puasanya terlebih dahulu apabila dia memulakan permusafirannya. Para ulama juga menyebutkan bahawa berpuasa dalam bermusafir adalah lebih afdal jika tidak memudaratkan.[4] Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ

Maksudnya: Berpuasa itu lebih baik bagi kamu.

(Surah al-Baqarah, 184)

Walau bagaimanapun, jika seseorang musafir merasakan kesusahan dan kesulitan atau menanggung kesakitan akibat berpuasa, maka diharuskan baginya untuk berbuka puasa dalam keadaan ini dan berbuka puasa adalah lebih afdal baginya. Imam Khatib al-Syirbini menyatakan hal ini dengan berkata:

أما إِذا تضرر بِهِ لنَحْو مرض أَو ألم يشق عَلَيْهِ احْتِمَاله فالفطر أفضل لما فِي الصَّحِيحَيْنِ أَنه صلى الله عَلَيْهِ وَسلم رأى رجلا صَائِما فِي السّفر قد ظلل عَلَيْهِ فَقَالَ لَيْسَ من الْبر أَن تَصُومُوا فِي السّفر.

Maksudnya: Adapun jika berpuasa akan memberikan mudarat kepada dirinya seperti ditimpa penyakit atau sakit yang susah untuk ditanggung, maka berbuka puasa adalah lebih baik baginya seperti yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim bahawa Rasulullah SAW berjumpa dengan dua orang bermusafir yang berpuasa sedang berteduh, kemudian Baginda SAW bersabda, “Berpuasa ketika bermusafir bukanlah sesuatu bentuk kebaikan”.[5] (Rujuk al-Iqna’, 1:245)

Kesimpulan

Kesimpulannya, tidak diharuskan seseorang untuk berbuka puasa di rumahnya sebelum dia memulakan permusafiran. Bahkan di sisi mazhab al-Syafi’ie disyaratkan supaya seseorang musafir keluar sebelum waktu subuh bagi mengharuskannya untuk berbuka puasa. Jika tidak, maka dia hendaklah meneruskan puasanya. Namun begitu, jika puasanya itu menyebabkan kesulitan dan kesukaran baginya serta membahayakan nyawanya seperti menganggu fokus pemanduan dan seumpamanya, maka diharuskan untuk berbuka puasa ketika dalam permusafiran.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] Al-Hadrami, Abdullah Ibn Abdul Rahman Bafadhl, t.t, al-Muqaddimah al-Hadramiah, Dimasyq: Dar al-Muttahidah, hlmn. 136.

[2] Al-Haitami, Ibn Hajar, 2000, al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiah, jld. 1, hlmn. 250.

[3] Al-Ansari, Zakaria, t.t, al-Ghurar al-Bahiyyah Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, Kaherah: Matba’ah al-Maimaniah, jld. 2, hlmn. 225.

[4] والصوم في السفر أفضل إن لم يتضرر به. (المنهاج القويم، ج 1، ص 250)

[5] Al-Syirbini, al-Khatib, t.t, al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Beirut: Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 245.