Soalan
Assalamualaikum, saya seorang isteri yang mempunyai dua orang anak lelaki dan suami. Saya akan masak untuk makan sahur dan berbuka. Persoalan saya bolehkah sekiranya saya yang dalam keadaan haid bersahur kemudian ikut berpuasa bersama iaitu dengan tidak makan dan minum pada waktu siang serta berbuka bersama-sama keluarga saya. Mohon penjelasan.
Ringkasan Jawapan
Wanita dalam keadaan haid diharamkan berpuasa dengan niat ibadah, namun mereka disunatkan menahan diri daripada perkara membatalkan puasa di siang hari Ramadan tanpa disertakan dengan niat puasa kerana haram disertakan dengan niat puasa.
Huraian Jawapan
Antara syarat yang mewajibkan seseorang wanita itu berpuasa adalah suci daripada haid. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mua’azah RA, beliau bertanya kepada Saidatina ‘Aishah RA tentang kenapa diperintahkan untuk qada puasa kerana kedatangan haid namun tidak diperintahkan ke atas solat. Lalu Saidatina ‘Aishah RA menjawab:
كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ .
Maksudnya: “Hal ini pernah berlaku kepada kami, lalu kami diperintahkan untuk qada puasa, namun kami tidak diperintahkan untuk qada solat”
Riwayat Muslim
Wanita haid diharamkan berpuasa iaitu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa (imsak) disertakan dengan niat ibadah berpuasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Menurut beliau, wanita dalam keadaan haid ibadat puasanya tidak sah bahkan diharamkan berpuasa. Namun sekiranya wanita tersebut menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan atau minum tanpa niat ibadah puasa maka hukumnya harus dan tidak berdosa.[1] Dalam hal ini juga, Syeikh Muhammad Zuhaili menyebut bahawa:
ويحرم على الحائض أو النفساء الصيام، ويحرم عليها الإمساك بنية الصوم، ولا ينعقد، ولو أمسكت لا بنية الصوم لم تأثم
Maksudnya: “Haram ke atas wanita haid atau nifas berpuasa. Begitu juga haram ke atasnya imsak(menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa) dengan disertakan niat berpuasa serta tidak sah. Sekiranya wanita haid menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa tanpa berniat puasa, maka tidak berdosa”.[2]
Imam al-Syarawani menyatakan bahawa wanita haid tidak diwajibkan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa akan tetapi sunat menahan diri bagi menghormati bulan Ramadan.[3] Tambahan lagi, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa bagi wanita haid yang hendak makan atau minum disunatkan makan dan minum dalam keadaan tersembunyi agar tidak dilihat oleh orang ramai supaya dapat mengelakkan fitnah.[4]
Kesimpulan
Wanita dalam keadaan haid diharamkan berpuasa dengan niat ibadat, namun mereka disunatkan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa di siang hari Ramadan tanpa disertakan dengan niat ibadat puasa.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh am-Muhazzab. (t.tp: Dar al-Fikr, t.t) Jld. 6 Hlm. 257
لا يصح صوم الحائض والنفساء ولا يجب عليهما ويحرم عليهما ويجب قضاؤه وهذا كله مجمع عليه ولو أمسكت لا بنية الصوم لم تأثم وانما تأثم إذا نوته وإن كان لا ينعقد
[2] Dr. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1432H) Jld. 2 Hlm. 170
[3] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajr al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syirwani wa al-Abadi. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, t.t) Jld. 3 Hlm. 433
(قَوْلُهُ نَعَمْ يُسَنُّ لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ) وَيُسْتَحَبُّ الْإِمْسَاكُ أَيْضًا لِمَنْ طَهُرَتْ مِنْ نَحْوِ حَيْضِهَا وَلِمَنْ أَفَاقَ أَوْ أَسْلَمَ فِي أَثْنَاءِ النَّهَارِ وَيُنْدَبُ لِهَذَيْنِ الْقَضَاءُ خُرُوجًا مِنْ الْخِلَافِ شَرْحُ بَافَضْلٍ عِبَارَةُ سم صَرَّحَ فِي شَرْحِ الْإِرْشَادِ بِسِنِّهِ لِحَائِضٍ وَنُفَسَاءَ طَهُرَا أَثْنَاءَ النَّهَارِ اهـ وَعِبَارَةُ بَاعَشَنٍ وَالْحَاصِلُ أَنَّ مَنْ جَازَ لَهُ الْفِطْرُ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا فَلَا يَجِبُ عَلَيْهِ الْإِمْسَاكُ بَلْ يُسَنُّ وَمَنْ حَرُمَ عَلَيْهِ ظَاهِرًا أَوْ بَاطِنًا أَوْ بَاطِنًا فَقَطْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْإِمْسَاكُ اهـ وَالشِّقُّ الْأَوَّلُ يَشْمَلُ مَنْ أَفْطَرَ لِعَطَشٍ أَوْ جُوعٍ إلَخْ فَيُسَنُّ لَهُ الْإِمْسَاكُ اهـ.
[4] Ibid.
يُسَنُّ لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ وَيُسَنُّ لَهُمَا أَيْضًا إخْفَاءُ الْفِطْرِ خَوْفَ التُّهْمَةِ أَوْ الْعُقُوبَةِ وَيُؤْخَذُ مِنْهُ أَنَّ مَحَلَّهُ فِيمَنْ يُخْشَى عَلَيْهِ ذَلِكَ دُونَ مَنْ ظَهَرَ سَفَرُهُ أَوْ مَرَضُهُ الزَّائِلُ بِحَيْثُ لَا يُخْشَى عَلَيْهِ ذَلِكَ