Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE - 174: PERBEZAAN SIFAT MA’ANI DAN MA’NAWIYYAH

Soalan: Apakah perbezaan antara sifat ma'ani dan ma'nawiyyah?

Mukadimah

Bagi memudahkan pemahaman masyarakat berhubung akidah, para ulama’ memberi perhatian kepada beberapa sifat-sifat penting yang wajib diimani bagi setiap Muslim agar pemahaman berkenaan hal ketuhanan dapat dicerna dengan baik.

Sifat 20 disusun agak lewat dalam perkembangan mazhab Asya’irah. Boleh dikatakan, ia datang pada peringkat dan era-era terakhir dalam penyusunan perbahasan ketuhanan mengikut mazhab Asya’irah. Sifat 20 ini dihimpunkan oleh Imam al-Sanusi dalam karyanya Umm al-Barahin dan disyarahkan oleh ramai para ulama’ seluruh dunia. Sebelum Imam al-Sanusi, perbincangan sifat-sifat Allah SWT telah pun dinyatakan dalam buku-buku mereka. Antaranya Imam al-Haramain al-Juwaini[1] membahagikan sifat-sifat Allah kepada sifat nafsiyyah dan sifat ma’nawiyyah[2] manakala Imam Fakhruddin al-Razi pula membahagikan sifat-sifat Allah kepada salbiyyah, idhafiyyah dan haqiqiyyah.[3]

Perbahasan sifat-sifat Allah pada peringkat awal, terutamanya pada zaman Imam Abu Hasan al-Ash’ari lebih menekankan sifat-sifat asas yang disebutkan di dalam al-Qur’an iaitu qudrah, iradah, ‘ilm, hayah, sama’, basar dan kalam. 7 sifat ini adalah sifat wajib yang berada dalam zat Allah. Sifat inilah yang dinamakan sifat ma’ani yang akan kami huraikan pada kali ini dan perbezaannya dengan sifat ma’nawiyyah. Empat bahagian sifat yang di susun oleh Imam al-Sanusi adalah sifat nafsiyyah, sifat salbiyyah, sifat ma’ani dan sifat ma’nawiyyah.

Definisi Sifat Ma’ani

Sifat ma’ani adalah tiap-tiap sifat yang wujud, berdiri dengan kewujudan-Nya yang mewajibkan baginya hukum. Terdapat takrif lain iaitu “Apa yang menunjukkan atas makna yang ada yang berdiri dengan Zat.[4] Secara mudahnya, ia bermakna 7 sifat itu berdiri sendiri dengan zat-Nya dan ia mewajibkan segala ketetapan bagi 7 sifat ma’ani iaitu sifat ma’nawiyyah.

Imam al-Sanusi berkata:

ثُمَّ يَجِبُ لَهُ تَعَالَى سَبْعُ صِفَاتٍ تُسَمَّى صِفَاتِ الْمَعَانِى

Maksudnya: Kemudian, wajib bagi-Nya 7 sifat yang dinamakan sifat ma’ani.

Sifat ma’ani tersebut adalah qudrah (Maha Berkuasa), iradah (Maha Berkehendak), ‘ilm (Maha Mengetahui), hayah (Maha Hidup), sama’ (Maha Mendengar), basar (Maha Melihat) dan kalam (Maha Berkata-kata).

Para ulama’ Asya’irah menamakannya sebagai sifat ma’ani bagi merujuk kepada hakikat yang benar-benar wujud pada zat Allah iaitu 7 sifat utama; qudrah, iradah, ‘ilm, hayah, sama’, basar dan kalam.[5]

Al-Imam al-Baijuri dalam Hasyiahnya menyebut, “Ketahuilah bahawa sifat ma’ani dari sudut ta’alluq[6] dan tiadanya, begitu juga umum ta’alluq bagi wajib, harus dan mustahil dan khususnya dengan yang mumkinat atau yang maujudat, terbahagi kepada 4:

  • Yang berta’alluq dengan mumkinat iaitu sifat qudrah dan iradah tetapi ta’alluq bagi sifat yang pertama iaitu qudrah adalah ta’alluq ijad (mengadakan) dan i’dam (mentiadakan). Sedangkan ta’alluq yang kedua (sifat iradah) adalah ta’alluq takhsis (menentukannya).
  • Yang berta’alluq dengan yang wajib, harus dan mustahil iaitu sifat ‘ilmu dan kalam. Tetapi, ta’alluq bagi sifat yang pertama iaitu ilmu adalah ta’alluq inkisyaf (terbuka). Sedangkan ta’alluq bagi sifat yang kedua iaitu kalam ialah ta’alluq dalalah iaitu petunjuk.
  • Yang berta’alluq dengan segala yang maujud iaitu sama’, basar dan juga (idrak)[7] jika ada yang berpendapat demikian.
  • Yang berta’alluq dengan sesuatu iaitu

Mengetahui semua ta’alluq bukanlah wajib ke atas mukallaf kerana ia termasuk daripada perkara yang rumit dalam ilmu kalam sebagaimana yang dinukilkan Syeikh al-Barawi[8] daripada Sayyidi Muhammad al-Saghir dan disebutkan oleh al-Syeikh al-Shanwani.[9]

Definisi Sifat Ma’nawiyyah

Kami nyatakan di sini beberapa takrif. Antaranya:

  • Sifat ma’nawiyyah pula adalah sifat-sifat yang wujud disebabkan adanya sifat ma’ani. Dengan kata lain, sifat ma’nawiyyah adalah sifat yang wujud kerana adanya sifat ma’ani.
  • Juga dikatakan sifat ma’nawiyyah merupakan nazariyyah ahwal disisi Abi Hashim al-Mu’tazili.[10] Contohnya, apabila ada sifat ‘ilm pada zat Allah, maka kesannya adalah keadaan Allah yang bersifat dengan sifat berilmu (kaunuhu ‘aliman).
  • Al-Baqillani berkata: “Setiap sifat bagi yang maujud yang tidak bersifat dengan wujud, maka ia adalah hal. Samada dari segi makna yang wajib itu daripada yang mensyaratkan pada thabitnya hayah (hidup) atau yang tidak disyaratkan, seperti contoh keadaan yang hidup itu adalah hidup. Lihat Nihayat al-Iqdam, hal. 45.
  • Mengikut al-Iji, “Ia adalah perantara antara yang maujud dan tiada.” Lihat al-Mawaqif, 1/279.

Menurut Imam al-Sanusi,

ثُمَّ سَبْعُ صِفَاتٍ تُسَمَّى صِفَاتٍ مَعْنَوِيَّةً وَهِيَ مُلَازَمَةٌ لِلسَّبْعِ الْأُوْلَى

Maksudnya: “Kemudian 7 sifat yang dinamakan sifat ma’nawiyyah yang melazimkan 7 sifat terawal (ma’ani).”

Sifat tersebut adalah kaunuhu qadiran (keadaan-Nya yang Berkuasa), kaunuhu muridan (keadaan-Nya yang Berkehendak), kaunuhu ‘aliman (keadaan-Nya yang Mengetahui), kaunuhu hayyan (keadaan-Nya yang Hidup), kaunuhu sami’an (keadaan-Nya yang Mendengar), kaunuhu basiran (keadaan-Nya yang Melihat), kaunuhu mutakalliman (keadaan-Nya yang Berkata-kata).

Perbezaan Antara Sifat Ma’ani dan Ma’nawiyyah

Sifat ma’ani bukan zat Allah itu sendiri tetapi ianya sifat yang berdiri dengan Zat-Nya. Oleh itu, ia dikenali sebagai sifat Zat manakala sifat ma’nawiyyah pula adalah sifat perbuatan yang keluar daripada Zat-Nya. Terdapat beberapa perbezaan antara kedua sifat ini walaupun ada sebahagian ulama’ menyamakan sahaja antara keduanya. Perbezaannya adalah:

  • Sifat ma’ani adalah usul dan sifat ma’nawiyyah adalah pecahan daripadanya.[11]
  • Sifat ma’ani adalah sebab (‘illah) dan sifat ma’nawiyyah adalah kesan (ma’lul).
  • Sifat ma’ani adalah sifat yang ada pada Zat Allah yang sesuai dengan kesempurnaan-Nya. Manakala sifat ma’nawiyyah sifat yang sentiasa tetap ada pada Zat Allah dan tidak mungkin pada satu ketika, Allah SWT tidak bersifat sedemikian
  • Sifat ma’ani adalah sifat wujudiyyah yang diterima pada akal zihin dan luarnya sedangkan sifat ma’nawiyyah pula merupakan sifat yang thabit diterima pada akal zihin dan tidak pada luarnya. Lihat Tahzib Syarh al-Sanusiyyah, hal. 43.

Kami nyatakan di sini apa yang disebut oleh al-Baijuri, “Ini kerana mengira bilangan sifat ma’nawiyyah sesungguhnya seiringan mengikut pendapat yang menthabitkan ahwal iaitu sifat yang tiada wujud dan tiada ada. Bahkan perantaraan antara wujud dan tiada.” Inilah pandangan Imam al-Sanusi dalam al-Sughra yang berkata…”Yang terpilih di sisi ahli tahqiq bahawa ia adalah bukan hal kerana sesungguhnya hal itu bersifat mustahil.”[12]

 Untuk contoh yang lebih mudah difahami, Allah SWT mempunyai sifat Zat iaitu al-Rizq. Dengan sifat tersebut, Dia memberi rezeki kepada seluruh alam. Perbuatan memberi itulah yang disifatkan dengan sifat perbuatan iaitu al-Raziq (Maha Pemberi Rezeki).

Penutup

Kami berpendapat bahawa sifat ma’ani seperti qudrah, lazim daripadanya atau mesti juga bersifat keadaan-Nya berqudrah daripada sifat ma’nawiyyah. Dan yang thabit daripada sifat yang berdiri dengan Zat ialah 7 sifat ma’anit. Adapun sifat ma’nawiyyah lebih kepada ta’bir wujudnya sifat makna kepada Zat dan ramai tokoh seperti al-Qadhi al-Baqillani[13] dan juga Imam al-Sanusi telah mengira sifat ma’nawiyyah termasuk daripad Sifat 20 sekalipun Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari Rahimahullah sendiri tidak mengiranya. Sesungguhnya, kesemua apa yang dibahaskan di atas, tidak lain hanyalah diambilnya sumbernya daripada al-Qur’an dan al-Hadis. Kami sedaya upaya mempermudahkan perbahasan ini supaya dapat difahami oleh masyarakat awam dan menjadi satu panduan serta ilmu yang bermanfaat dalam kehidupan kita selaku umat Islam.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

______________________________

[1] Imam al-Juwaini yang juga dikenali dengan nama Imam al-Haramain, mempunyai nama lengkap Abu al-Ma'ali Abd al-Malik bin Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyuyah al-Juwaini. Seorang ahli Usul dan Fiqh yang bermazhab Syafie. Digelar Imam al-Haramain kerana beliau pernah menetap di Mekah dan Madinah selama empat tahun untuk belajar, berfatwa dan mengumpulkan metodologi-metodologi mazhab. Beliau dilahirkan pada tanggal 18 Muharram 419 H.

[2] Al-‘Aqidah al-Nizamiyyah, hal. 23.

[3] Al-Matalib al-‘Aliyyah, 1/294

[4] Tahzib Syarh al-Sanusiyyah, hal. 43

[5] Nuh Ali Salman al-Qudhah, al-Mukhtasar al-Mufid fi Syarh Jauharah al-Tauhid, hal. 60.

[6] Al-Sawi berkata, “Ketahuilah sifat wujudiyyah terbahagi kepada dua; ada yang berta’alluq dan ada yang tidak berta’alluq. Sifat yang berta’alluq membawa kepada tambahan perkara pada qiyam pada tempatnya. Seperti qudrah, ia membawa kepada yang dikuasainya. Lihat Syarah al-Sawi ‘ala Jauharah al-Tauhid, hal. 194-195.

[7] Seperti kata dalam Jauharah al-Tauhid

فَهلْ لَـهُ إِدْرَاكٌ أًوْ لاَ خُلْـفُ  وَعِنْـدَ قَـوْمٍ صَـحَّ فِيـهِ الْوَقْـفُ

Adakah bagi-Nya sifat idrak atau tidak, menjadi khilaf.

Di sisi sebahagian ulama’ yang sahih padanya adalah pendapat tawaqquf.

Antara yang mengithbatkannya adalah al-Qadhi al-Baqillani dan Imam al-Haramain. Sedangkan pendapat yang bertawaqquf ialah Abdullah bin Muhammad bin Ali al-Fihri al-Syafie, Ibn al-Tilmisani dan sebahagian ulama muta’akhkhirin. Lihat Tuhfah al-Murid, hal. 135-136.

[8] Beliau ialah Syeikh Isa bin Ahmad bin Isa al-Azhari, seorang ulama’ dan faqih bermazhab Syafie yang unggul. Belajar di al-Azhar dan meninggal dunia pada tahun 1182H. Antara karyanya Hasyiah ala Syarh Jauharah al-Tauhid. Lihat al-A’lam, 5/10.

[9] Tuhfat al-Murid ala Jauharah al-Tauhid, hal. 142.

[10] Tahzib Syarh al-Sanusiyyah, hal. 43

[11] Ilm al-Tauhid fi Dhau’ al-‘Aql wa al-Naql, hal. 252.

[12] Tuhfat al-Murid, hal. 69.

[13] Nama lengkapnya adalah Muhammad bin Thayyib bin Muhammad bin Ja'far bin al-Qasim, yang lebih dikenal dengan al-Qadhi Abu Bakr al-Baqillani, di samping sebagai mutakkalim, beliau juga ahli Usul Fiqh. Lahir di Basrah dan menetap di Baghdad. Tahun kelahirannya tidak ada sumber yang pasti menyebutnya.