Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-173 : HUKUM MEMBATALKAN SOLAT SUNAT APABILA SUDAH IQAMAH

 

Soalan:

Saya sedang melakukan solat sunat tahiyyatul masjid dan sedang saya bersolat, maka iqamah dilaungkan untuk mendirikan solat fardhu. Apakah yang perlu saya lakukan? Adakah perlu menghabiskan solat tersebut atau membatalkannya dan ikuti jamaah solat fardhu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bagi menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu beberapa keadaan yang mungkin terjadi berdasarkan persoalan yang ditanyakan di atas:

 

Sedang solat sunat kemudian iqamah dilaungkan. Apa yang perlu dilakukan?

1. Sekiranya kita masuk ke masjid dan kemudian iqamah telah dilaungkan bagi menunaikan solat fardhu maka pada waktu itu makruh hukumnya untuk kita menunaikan apa-apa solat sunat dan hendaklah bersiap sedia untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

            Maksudnya: Jika sudah diiqamatkan solat, maka tidak ada solat melainkan solat maktubah (fardhu).

Riwayat Muslim (710)

 

Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi  Rahimahullah pada bab hadis tersebut dengan mengatakan: “Makruh untuk mendapatkan nafilah (dengan menunaikan solat) selepas iqamah dilaungkan seperti solat sunat (ratib) Subuh, Zuhur dan selainnya  sama ada mengetahui dirinya akan mendapat rakaat bersama imam ataupun tidak.”[1]

2. Sekiranya kita sedang solat sunat dan kemudian iqamah sedang dilaungkan, maka disunatkan untuk menyempurnakan solat sunat tersebut sekiranya tidak ditakuti akan terlepas solat berjemaah tersebut dengan imam memberi salam.[2] Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُمۡ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merusakan pahala) amal-amalmu.

(Surah Muhammad: 33)

Digalakkan untuk meringankan (meringkaskannya dengan meraikan segala rukun solat) solat sunat tersebut dan bersegera untuk mendapatkan pahala berjemaah dan lebih utama lagi untuk mendapatkan takbiratul ihram bersama-sama imam.

3. Sekiranya ditakuti akan terlepas solat berjemaah, maka disunatkan untuk memutuskan solat sunat tersebut dengan memberikan salam. Bagi solat Jumaat pula, sekiranya ditakuti akan terlepas jemaah solat Jumaat, maka pada keadaan ini, wajib untuk memutuskan solat sunat tersebut.[3]

4. Jika sedang melakukan solat sunat, kemudian dilaungkan iqamah untuk ditunaikan solat jemaah dan diketahui jika diteruskan solat sunat tersebut, maka akan terlepas solat jemaah, namun kuat pada sangkaannya akan ada jemaah yang baru datang untuk menunaikan solat jemaah, maka pada keadaan tersebut, paling utama adalah dengan menyempurnakan solat sunatnya itu.

 

Sekiranya sedang melakukan solat fardhu secara bersendirian, kemudian hadir jemaah untuk menunaikan solat secara berjemaah. Apakah yang perlu dilakukan?

 

  1. Sekiranya terdapat jemaah solat fardhu dan ada yang sedang solat bersendirian pada ketika itu sama ada solat subuh ataupun solat yang 3 rakaat (Maghrib) ataupun solat yang 4 rakaat (Zuhur dan Asar), sekiranya telah selesai 2 rakaat pertama dan berada pada rakaat ke-3, maka sempurnakanlah solat tersebut dan kemudian masuklah menyertai jemaah solat fardhu yang ada pada ketika itu.[4]
  1. Sekiranya yang sedang solat bersendirian itu berada pada rakaat pertama atau masih lagi pada rakaat kedua (belum masuk ke rakaat ketiga), disunatkan untuk menukar niat kepada solat sunat, ringkaskannya kepada dua rakaat kemudian masuk menyertai jemaah solat fardhu yang ada pada ketika itu.[5]
  1. Sekiranya tidak ingin memutuskan solat fardhu secara sendirian, juga tidak mahu menukarkan niat kepada solat sunat iaitu dengan terus berada di dalam solatnya secara bersendirian maka makruh hukumnya. Sah jika sekiranya masuk ke dalam jemaah yang mana menjadikan solatnya pada awal bersendirian dan akhirnya secara berjemaah.

 

Sebagai contoh: Amer sedang solat Zohor secara bersendiran di masjid dan sedang berada pada rakaat ketiga (sedang membaca al-Fatihah misalannya) lalu datang satu jemaah untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah. Jemaah telah memulakan solat dan Amer terus masuk ke dalam jemaah tersebut dengan meneruskan solatnya yang sedia ada. Apabila jemaah berada pada tahiyyat awal, ini menjadikan Amer berada pada tahiyyat akhir kerana pada asalnya Amer telah solat secara bersendirian sebanyak dua rakaat kemudian masuk menyertai jemaah. Pada keadaan ini, Amer boleh memilih sama ada untuk niat mufaraqah (berpisah dari solat berjemaah tersebut) dan memberikan salam atau Amer boleh tunggu sehingga memberikan salam bersama-sama imam.

 

Kesimpulan

Seperti mana yang telah dihuraikan di atas, sekiranya seseorang yang sedang bersolat sunat qabliyyah mendengar iqamah dilaungkan, maka dia boleh membatalkan solatnya jika dia takut akan tertinggal fadilat solat Jumaat. Manakala jika kuat sangkaan dia sempat menyempurnakan solat tanpa tertinggal fadilat berjemaah, yakni takbir bersama imam, maka paling afdal dia selesaikan dahulu solat sunat berkenaan. Semoga Allah Taala memasukkan kita dalam kalangan orang berjaya kerana sentiasa memelihara solat da hak-haknya.

 

Akhukum fillah,

SS. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan

 

 

[1] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabiy, (5/221)

[2] Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, (1/500).

[3] Ibid.

[4] Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, (1/500).

[5] Ibid.