Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-156: HUKUM PUASA SECARA WISOL (BERSAMBUNG)

 

Soalan:

Bolehkah jelaskan berkenaan pengertian puasa wisol الوصال serta hukumnya ?

Jawapan:

Pengertian Puasa Secara Al-Wisol (Bersambung)

Kata al-Imam al-Qadhi Iyadh Rahimahullah: Al-Wisol adalah puasa secara berterusan tanpa berbuka pada waktu malam.

Imam Ibn al-Athir pula berkata: Al-Wisol adalah: Seseorang itu tidak berbuka selama dua hari atau lebih.

Imam al-Mawardi Rahimahullah mendefinisikan al-Wisol dalam berpuasa sebagai: Berpuasa secara wisol ini apabila seorang lelaki itu berpuasa dalam sehari dan apabila masuk sahaja waktu malam dia enggan untuk makan dan juga minum. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan berpuasa dan dia dikira menyambung selama dua hari dalam keadaan tidak makan dan minum. Lihat al-Hawi al-Kabir, al-Mawardi (3/471).

Kata Imam al-Ruyani: Puasa al-wisol adalah: Seseorang itu menyambungkan puasanya pada waktu malam dengan puasanya pada waktu siang. Lihat al-Majmu’ al-Nawawi (6/357).

Berdasarkan kepada beberapa takrifan di atas, dapat kita simpulkan bahawa puasa wisol bermaksud: Seseorang itu berpuasa selama dua hari atau lebih tanpa berbuka dalam keadaan sengaja. Ini bererti dia menyambungkan puasanya pada waktu malam dalam keadaan tidak makan dan tidak minum.

 

Pendapat Para Fuqaha

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah berkata: Puasa al-wisol (bersambung) itu hukumnya makruh di sisi kebanyakan ahli ilmu. Lihat al-Mughni, Ibn Qudamah (4/436).

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Adapun hukum al-wisol (puasa berterusan) maka hukumnya adalah makruh di sisi kami tanpa sebarang khilaf. Persoalan adakah hukumnya makruh tahrim ataupun makruh tanzih ada dua pendapat tentangnya. Yang paling sahih di sisi ashab kami dan ia merupakan zahir kenyataan Imam al-Syafie adalah hukumnya makruh tahrim. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi (6/357).

Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini Rahimahullah dalam zahir kenyataan beliau mengatakan bahawa puasa secara bersambung itu hukumnya haram. Kata beliau Rahimahullah: Puasa secara bersambung adalah merupakan suatu bentuk qurbah (ibadah) pada hak Rasulullah S.A.W manakala ia merupakan suatu perkara yang diharamkan ke atas umat baginda S.A.W. Rujuk Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab, al-Juwaini (4/72).

Para ulama yang mengharamkan puasa secara bersambung (al-Wisol) di antaranya adalah Imam al-Rafi’e, al-Qadhi Abu al-Thayyib, al-Imam al-Khattabi, al-Syeikh Salim al-Daari, Imam al-Haramain al-Juwaini, al-Imam al-Baghawi, serta al-Ruyaani. Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/357).

Begitu juga Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari turut mengharamkannya. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakaria al-Ansari (1/419).

Dalil-Dalil Yang Melarang Puasa Secara Wisol

Berikut merupakan dalil-dalil yang melarang perbuatan puasa secara bersambung tanpa berbuka terlebih dahulu. Di antaranya, sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.Anh beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْوِصَالِ فِي الصَّوْمِ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ إِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏"‏ وَأَيُّكُمْ مِثْلِي إِنِّي أَبِيتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang perbuatan al-wisol di dalam puasa. Maka seorang lelaki pun bertanya kepada Rasulullah: “Sesungguhnya kamu sendiri melakukan al-wisol wahai Rasulullah”. Maka jawab Nabi S.A.W: “Siapa dari kalian yang sama sepertiku ? Sesungguhnya aku diberi makan dan minuman oleh Tuhanku semasa aku tidur”.

Riwayat al-Bukhari (1965)

 

Di antara dalil lain adalah sebuah riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri R.Anh beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

لَا تُوَاصِلُوا، فَأَيُّكُمْ أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ، فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَر، قَالُوا: فَإِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ، إِنِّي أَبِيتُ لِي مُطْعِمٌ يُطْعِمُنِي وَسَاقٍ يَسْقِينِ

Maksudnya: Janganlah kalian melakukan puasa secara berterusan. Sesiapa dari kalangan kalian yang mahu berpuasa secara berterusan, maka sambunglah sehingga ke waktu sahur sahaja. Lalu para sahabat berkata: “Sesungguhnya kamu juga berpuasa secara berterusan wahai Rasulallah”. Maka kata Nabi S.A.W: Aku tidak sama seperti kamu semua. Sesungguhnya ketika aku tidur ada Tuhan yang memberi makan kepadaku serta memberi minum kepadaku.

Riwayat al-Bukhari (1967)

 

Berdasarkan hadis di atas, terdapat larangan daripada Nabi S.A.W dari melakukan puasa secara bersambung. Adapun perintah Nabi S.A.W yang mengatakan:

فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَر

Maksudnya: Maka hendaklah dia sambungkan berpuasa sehingga waktu sahur.

Para ulama usul feqh apabila membahaskan isu ayat perintah yang datang selepas larangan berkata: Golongan Hanabilah, Imam Malik dan ashab beliau, serta zahir pendapat Imam al-Syafie berpendapat, setiap perintah yang datang selepas dari larangan menunjukkan kepada hukum mubah iaitu harus.

Justeru, perintah untuk menyambungkan puasa sehingga waktu sahur hanyalah untuk menyatakan keharusan sahaja dan bukanlah ia merupakan satu tuntutan yang membawa hukum wajib.

Bahkan dikatakan bahawa Imam al-Nawawi sendiri banyak melakukan puasa sunat dan berbuka pada waktu sahur. Ini kerana, beliau begitu cakna dan prihatin dalam pemeliharaan masa. Demikianlah nilai masa di sisi para ulama.

Manakala ucapan Nabi S.A.W yang mengatakan:

إِنِّي أَبِيتُ لِي مُطْعِمٌ يُطْعِمُنِي وَسَاقٍ يَسْقِينِ

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidur dalam keadaan ada Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku.

Maka para ulama mempunyai beberapa tafsiran terhadap pernyataan ini. Di antaranya adalah kata-kata Imam al-Mawardi seperti berikut:

  • Allah S.W.T memberi makan dan minum kepada baginda S.A.W secara hakiki.
  • Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada Rasulullah S.A.W dengan kadar yang sama seperti baginda makan dan juga minum.

Lihat Al-Hawi al-Kabir, al-Mawardi (3/471).

Hikmah Larangan Berpuasa Secara Bersambung (Al-Wisol)

Berikut kami nyatakan beberapa hikmah larangan berpuasa secara bersambung. Di antaranya adalah:

Pertama: Sebagai tanda kasih (rahmat) kepada umat Islam.

Ini kerana, amalan berpuasa secara bersambung tanpa berbuka adalah suatu amalan yang akan menyebabkan keletihan, lemah tubuh badan, serta memudharatkan diri. Bahkan Ummu al-Mu’minin A’isyah R.anha sendiri menyatakan hal yang sama berdasarkan kata-kata beliau:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْوِصَالِ، رَحْمَةً لَهُمْ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang berpuasa secara bersambung sebagai suatu tanda rahmat (kasih sayang) kepada umat Islam.

Riwayat Al-Bukhari (1964)

Kata Imam al-Mawardi: Puasa secara berterusan itu mewariskan rasa lemah tubuh badan, serta menyebabkan kepayahan dan rasa berat yang boleh jadi melemahkan seseorang dari melakukan kewajipannya. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, al-Mawardi (3/471).

Kedua: Mengelakkan perasaan jemu dan bosan.

Di antara hikmah larangan berpuasa secara bersambung juga adalah untuk mengelakkan rasa bosan dalam beribadah. Terutamanya apabila ia dilakukan secara berterusan. Di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Nabi S.A.W. bersabda:

مَهْ عَلَيْكُمْ مَا تُطِيقُونَ مِنَ الأَعْمَالِ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا

Maksudnya: Lakukanlah amalan sekadar kemampuan kamu sahaja. Sesungguhnya Allah tidak akan merasa jemu melainkan kamu sendirilah yang akan merasa jemu dan bosan.

Riwayat Al-Bukhari (1151)

Ketiga: Berpuasa secara berterusan menyebabkan pengabaian hak berlaku.

Hal ini kerana, seseorang yang melakukan puasa secara berterusan akan menyebabkan dia mengabaikan hak dirinya untuk makan, hak si isteri untuk berhubungan, dan seumpamanya. Terdapat sebuah riwayat daripada Salman R.Anh yang berkata kepada Abu Darda’ R.Aanh:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu ada hak ke atas kamu, demikian juga diri kamu turut mempunyai hak ke atas kamu, dan ahli keluarga kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Maka berikanlah setiap seorang itu haknya.

Riwayat Al-Bukhari (1968)

Penutup

Akhir kalam, kami nyatakan bahawa berpuasa secara al-wisol (bersambung) ini merupakan suatu perbuatan yang disebut sebagai ibadah-ibadah yang hanya khas bagi Rasul (Khususiyyah al-Rasul). Maka ini menunjukkan bahawa tidak menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengikuti perbuatan ini disebabkan larangan yang datang dari baginda ke atas kita. Hukum berpuasa secara bersambung ini adalah makruh tahrim di dalam mazhab Imam al-Syafie sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

Justeru, bagi sesiapa yang diberikan kurnia oleh Allah S.W.T dalam memperbanyakkan ibadah puasa, kami sarankan supaya lakukanlah ibadah puasa-puasa sunat yang telah warid akan anjuran melakukannya seperti puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, puasa sunat Nabi Daud A.S, puasa pada ayyam al-bidh (hari-hari putih) iaitu pada 13,14,15 hari bulan hijrah setiap bulan, serta puasa-puasa sunat yang lain. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan rezeki kepada kita semua untuk memperbanyakkan amalan soleh serta menerima segala amalan kebaikan yang kita kerjakan. Ameen.