Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-138: SOLAT JUMAAT PESAKIT YANG BERADA DALAM PROSES REHABILITASI

 

Mukaddimah

Pertamanya, kita perlu menginsafi dan melihat dari sudut positif bahawa penderitaan atau sakit yang diberikan oleh Allah SWT itu adalah satu bentuk peluang untuk mendapatkan kurniaan rahmat daripada Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ حَتَّى الشَّوْكَةِ تُصِيبُهُ، إِلَّا كَتَبَ اللهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً أَوْ حُطَّتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةٌ

Maksudnya: “Tidaklah sesuatu yang memudaratkan seorang Mukmin walaupun duri yang memusibahkannya, melainkan dituliskan baginya satu kebaikan atau dihapuskan daripadanya satu kesalahan.”

                (Sahih Muslim, no. 2572)

Ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berfikiran positif dan beriman kepada qadak dan qadar Allah SWT. Mereka jika diberikan nikmat kesenangan bersyukur kepada Allah dan apabila memperolehi kesusahan, mereka bersabar. Inilah seperti yang dirakamkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: Ajaibnya urusan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Dan hal itu tiada bagi seorang pun melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Jika dia mendapat suatu perkara yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Dan jika dia mendapat suatu perkara yang menyusahkan, dia bersabar, maka itu juga ialah kebaikan bagi dirinya.

(Sahih Muslim, no. 2999)

Oleh itu, kesakitan dan bala ujian dalam bentuk kesihatan tidak boleh ditanggapi sebagai keburukan semata-mata sehingga manusia itu jauh daripada rahmat dan kebergantungan kepada Allah. Ini jelas dan perlu difahami.

 

Dalil Kewajipan Solat Jumaat

Perlu dijelaskan bahawa mendirikan solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mukallaf yakni baligh dan berakal, lelaki, merdeka, orang yang bermuqim sama ada yang bermastautin ataupun tidak, dan yang tidak ada keuzuran seperti sakit atau keuzuran-keuzuran lain yang disebutkan dalam sembahyang berjemaah.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”

         (Surah al-Jumu’ah: 9)

 

Terdapat banyak hadith berkenaan kewajipan solat Jumaat. Antaranya adalah:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat wajib bagi setiap Muslim dalam berjama’ah, kecuali empat: hamba sahaya, wanita, anak-anak kecil atau orang yang sakit”

                                                                                                         (Riwayat Abu Daud)

 

Keadaan-Keadaan Yang Mengharuskan Untuk Tidak Menghadiri Solat Jumaat

Terdapat beberapa keadaan yang membolehkan seseorang itu untuk tidak melaksanakan solat Jumaat. Antaranya adalah:

  1. Pesakit ada berasa sakit ketika menghadiri solat Jumaat di masjid.
  2. Pesakit berasa sakit kerana menunggu selesai solat Jumaat, atau akan bertambah kuat sakitnya dan lambat sembuhnya.
  3. Begitu juga tidak diwajibkan solat Jumaat atas orang yang ditugaskan merawat dan berkhidmat kepada pesakit jika tiada orang lain yang boleh mengambil alih tugasnya ketika dia pergi bersolat Jumaat sedangkan pesakit amat-amat terdesak memerlukan khidmatnya. Pengecualian ini tidak dikira sama ada pesakit itu di kalangan ahli keluarganya atau tidak. [1]
  4. Pesakit yang akan menemui kesulitan yang jelas, bukan sekadar agakan atau sangkaan.[2]

Menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, maksud sakit atau penyakit yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat adalah penyakit yang dihidapi pesakit itu memberi kesukaran kepadanya sekiranya dia pergi ke masjid bagi menunaikan solat.[3] Ini adalah berdasarkan dalil-dalil yang disenaraikan di bawah:

 

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu…”

    (Surah al-Taghabun: 16)

Firman Allah SWT:

لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

     (Surah al-Baqarah: 286)

Firman Allah SWT:

لَيْسَ عَلَى الأَعْمَى حَرَجٌ وَلاَ عَلَى الأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلاَ عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya)”

 (Surah al-Fath: 17)

 

Sabda Nabi SAW:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan apabila aku memerintahkan sesuatu kepada kalian, kerjakanlah semampu kalian”

      (Riwayat al-Bukhari, no. 7288)

 

Garis Panduan Solat Jumaat Pesakit Yang Berada di Pusat Rehabilitasi

Antara garis panduan untuk solat Jumaat yang kami cadangkan bagi pesakit yang berada di pusat rehabilitasi adalah:

  1. Pesakit yang boleh berjalan dan mampu pergi masjid, WAJIB pergi solat Jumaat.
  2. Pesakit yang benar-benar uzur seperti keadaan-keadaan yang telah disebutkan di atas, DIKECUALIKAN daripada kewajipan pergi ke masjid untuk solat Jumaat.
  3. Jika pesakit tersebut masih berada dalam rawatan dan untuk pergi solat Jumaat akan mendatangkan kesakitan baginya, AFDHAL baginya untuk pergi[4] sekiranya boleh menahan kesakitan dan tidak menyebabkan mudarat kepada orang lain.
  4. Bantuan dan galakan daripada pihak hospital untuk pesakit menunaikan solat amatlah perlu seperti solat Zohor dan lain-lain bagi pesakit yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat.[5] Walaupun begitu, pandangan dan saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hendaklah dihormati dan dipatuhi bagi mengelakkkan sebarang masalah kepada pesakit dan orang sekeliling.

 

Penutup

Sesungguhnya, Islam merupakan agama yang tidak membebankan dan memberatkan penganutnya. Ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

     (Surah al-Baqarah: 286)

Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

 (Surah al-Hajj: 78)

 

Justeru, jelas kepada kita taklif rabbani kepada umat Islam amat bergantung dan berkait rapat dengan kemampuan hamba-Nya. Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita dalam menempuhi kehidupan ini. Amin. 

Wallahua’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

25 Oktober 2016 bersamaan 24 Muharram 1438 H.

 

 

[1] Al-Khin, Mustafa, et.al. Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), jil. 1, m. 200-201

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab (Beirut: Dar al-Fikr, t.t.), jil. 4, m. 486.

[3] Al-Uthaimin, Syeikh Muhammad bin Soleh. Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’ (Dar Ibn al-Jauzi, 2001), jil. 4, m. 311.

[4] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab (Beirut: Dar al-Fikr, t.t.), jil. 4, m. 486.

[5] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin ((Beirut: Dar al-Fikr, 2005), m. 47.