Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-114: RAHSIA ANGKA ‘7’

 

Soalan:
Apakah terdapat hikmah dan rahsia pada angka 7 kerana terdapat banyak nas dari Al-Quran dan al-Hadith yang menunjukkan kepadanya seperti penciptaan 7 petala langit, tawaf sebanyak 7 kali begitu juga dengan sa’ie, tentang 7 anggota sujud seperti di dalam hadith, tentang memakan 7 biji kurma ‘Ajwah bagi mengelak racun dan sihir. Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Tidak dinafikan bahawa kesemua yang telah dinyatakan pada bahagian soalan terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi ﷺ yang sahih.

Firman Allah ﷻ:

وَرَبُّكَ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُ وَيَخۡتَارُۗ مَا كَانَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُۚ سُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ 

Maksudnya: Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.

(Al-Qasas: 68)

Al-Imam Ibn Kathir (wafat 774H) Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa Allah ﷻ mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Diri-Nya itu satu-satunya dalam penciptaan dan juga membuat pemilihan. Tiada yang setandingnya dan tiada juga yang mampu untuk memperkatakan (yang buruk) tentangnya. [Lihat Tafsir Al-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah, 6/251]

Jelas melalui ayat di atas menunjukkan bahawa Allah ﷻ berkuasa ke atas sesuatu. Dia menciptakan sesuatu lalu memilihnya dengan kekuasaan dan hikmah-Nya. Tidak ada yang mampu mempersoalkannya.

Adapun mengenai angka tujuh (7) yang sering terdapat di dalam Al-Quran dan hadith Nabi ﷺ, maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui rahsia dan juga hikmahnya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah (wafat 751H) di dalam kitabnya, Zaad al-Ma’ad menyebut mengenai pengkhususan bilangan tujuh, ianya berlaku pada ketetapan (kadar) dan juga secara syar’ie. Maka Allah ﷻ menciptakan tujuh petala langit, tujuh petala bumi, hari yang tujuh, penciptaan manusia padanya tujuh fasa, pensyariatan tujuh pusingan tawaf dan tujuh kali ulang-alik bagi sa’ie, melontar jamrah dengan tujuh biji batu, dan takbir pertama bagi solat sunat hari raya sebanyak tujuh kali. Seterusnya, Ibn Qayyim menyebut diakhirnya: “Maka tidak diragui bahawa sesungguhnya bilangan ini (iaitu tujuh) mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang tidak ada pada yang lainnya”. Kemudian tambah beliau lagi: “ Dan Allah Maha Mengetahui hikmahnya (pada pensyari’atan) dan ketetapannya pada mengkhususkan bilangan ini (iaitu tujuh)…”. [Lihat Zaad al-Ma’aad. Muassasah al-Risalah, 4/90-91]

Al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) juga di dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menyebutkan bahawa angka tujuh ini dari perkara-perkara yang telah Allah ﷻ ajarkan yang mana kita tidak mengetahui akan hikmahnya. Namun, ianya perlu diiktikad dan diimani dengan segala kelebihan dan hikmahnya sepertimana bilangan solat, bilangan nisab zakat dan selainnya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 14/3]

 

Kesimpulan

Melihat kepada pertanyaan ini, kami merasakan ianya termasuk di dalam perkara-perkara tawaqquf dan ta’abbudi yang mana memerlukan kepada dalil-dalil yang sahih untuk mensabitkannya. Ianya juga termasuk di dalam perkara yang ghayr ma’qul li al-ma’na (perkara yang tidak dapat dicapai oleh akal) sepertimana jika kita mempersoalkan mengapa perlu 7 kali tawaf, 7 kali ulang-alik bagi sa’ie dan sebagainya. Ianya tidak dapat difikirkan oleh manusia kerana Allah ﷻ yang telah menetapkannya.

Makanya, kami juga menyerahkan urusan ini kepada Allah ﷻ dan memberikan jawapan sepertimana al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah: “Allah lebih Maha Mengetahui akan hikmahnya, penetapannya dan pensyariatannya”.

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

24 Mei 2016 bersamaan 17 Sya’ban 1437H