Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-108: HUKUM MENDAKI GUNUNG EVEREST

 

 

 

Soalan:

Apakah hukum mendaki gunung Everest?

 

Jawapan:

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam amat menggalakkan penganutnya untuk mengambara, melihat dan berfikir akan kebesaran Allah SWT yang menjadikan setiap sesuatu di atas dunia ini. Pengembaraan seperti ini akan lebih menguatkan lagi keimanan seseorang jika setiap apa yang dilihat serta dilaluinya itu dikaitkan dengan Maha Pencipta. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana. 

(Al-Hasyr: 24)

 

Definisi Mendaki & Gunung

Menurut kamus dewan edisi keempat, mendaki berasal dari kata kerja daki yang membawa maksud memanjat. Ianya boleh digunakan bagi mengambarkan perbuatan seseorang yang sedang cuba naik ke atas atau menuju ke puncak sesuatu tempat yang tinggi. Selalunya perkataan mendaki ini digunakan untuk memanjat bukit, gunung dan sebagainya.

Manakala gunung, jika dirujuk di dalam kamus dewan, ianya membawa maksud bukit yang besar dan tinggi lebih daripada 1500 kaki atau 457.2 meter. Antara gunung-gunung yang menarik ramai pendaki serta pengkaji untuk mendakinya ialah:

  • Everest (8848 meter)
  • K2 (8611 meter)
  • Kangchenjunga (8586 meter)
  • Lhotse (8516 meter)
  • Makalu (8485 meter)

 

Gunung & Bukit Di Dalam Al-Quran

Kewujudan gunung-ganang di atas muka bumi ini adalah untuk memberikan kestabilan kepadanya serta menjadi pasak bagi bumi tersebut. Firman Allah SWT:

وَأَلۡقَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ رَوَٰسِيَ أَن تَمِيدَ بِكُمۡ وَأَنۡهَٰرٗا وَسُبُلٗا لَّعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ 

Maksudnya: Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.

            (Al-Nahl: 15)

 

Seterusnya, Allah SWT juga berfirman:

أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَٰدٗا ٦ وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادٗا 

Maksudnya: (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?. Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?      

(Al-Naba’: 6-7)

 

Allah SWT juga memperlihatkan kebesaran dan keagungan Al-Quran lantas memberikan gambaran sekiranya Al-Quran itu diturunkan ke atas sebuah gunung, nescaya akan pecahlah gunung tersebut kerana takutkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

لَوۡ أَنزَلۡنَا هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٖ لَّرَأَيۡتَهُۥ خَٰشِعٗا مُّتَصَدِّعٗا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ 

Maksudnya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

(Al-Hasyr: 21)

 

Begitulah Al-Quran apabila menyebutkan tentang gunung-ganang, memberitahu kita akan fungsi serta kelebihannya melalui penciptaannya bahkan Allah SWT juga meletakkan misalan bagi umat manusia untuk memikirkannya.

 

Gesaan Agar Berjalan, Melihat & Mentafsir Kebesaran Allah

Al-Quran banyak membincangkan mengenai kekuasaan Allah SWT bahkan menegaskan bahawa Allah SWT adalah pencipta bagi setiap segalanya. Firman Allah SWT:

قُلِ ٱللَّهُ خَٰلِقُ كُلِّ شَيۡءٖ وَهُوَ ٱلۡوَٰحِدُ ٱلۡقَهَّٰرُ 

Maksudnya: Katakanlah: "Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa". 

(Al-Ra’d: 16)

 

Salah satu cara untuk melihat kebesaran Allah SWT adalah dengan mengembara dan mengambil iktibar dari pengembaraan tersebut. Firman Allah SWT:

قُلۡ سِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأٓخِرَةَۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ

Maksudnya: Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 

(Al-‘Ankabut: 20)

 

Syeikh al-Tantawi Rahimahullah melalui tafsirnya menyebutkan: “Allah SWT kemudiannya mengarahkan Nabi Muhammad SAW mengalihkan pandangan kaumnya agar mengamati dan mentadabbur keadaan penciptaan. Moga-moga dengan pengamatan itu boleh membawa kepada kebenaran (iaitu dengan melihat penciptaan Allah SWT)”. (Lihat Tafsir al-Waseet, 11/25)

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

هُوَ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولٗا فَٱمۡشُواْ فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ 

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

(Al-Mulk: 15)

 

Al-Imam al-Baghawi Rahimahullah menukilkan pendapat mengenai apakah yang dimaksudkan dengan “manaakibiha” di dalam ayat tersebut. Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan Qatadah Rahimahullah mengatakan yang dimaksudkan dengannya adalah gunung-gunung. Al-Dhahhak Rahimahullah pula mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “manaakibiha” itu adalah bukit-bukit. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/178)

 

Di dalam sebuah hadith, ada diriwayatkan mengenai sifat permusafiran Nabi SAW ketika mana Baginda SAW serta para sahabat R.Anhum melalui jalan yang berbukit-bukau. Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا، وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا‏

Maksudnya: Adalah kami ketika mendaki telah bertakbir dan jika sedang turun (dari kawasan berbukit) telah bertasbih.

Riwayat Al-Bukhari (2993)

 

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymeen Rahimahullah di dalam syarahnya terhadap kitab Riyadh al-Soliheen karangan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah mengatakan: “Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah meletakkan hadith ini di dalam kitabnya (Riyadh al-Soliheen) di bawah Bab Adab al-Safar (adab ketika bermusafir) yang mana di antara adab ketika bermusafir itu adalah dengan bertakbir (sekali, dua kali atau tiga kali) ketika sedang mendaki sesuatu yang tinggi seperti bukit ataupun sedang terbang naik ke udara seperti di dalam kapal terbang dan ketika turun dari kawasan tinggi hendaklah bertasbih (sekali, dua kali atau tiga kali). Ini kerana manusia, jika berada di kedudukan yang tinggi akan merasakan dirinya yang paling agung dan hebat. Dengan bertakbir, ianya akan menolak jauh perasaan tersebut serta berasa kerdil dengan kebesaran Allah SWT. Ianya bermaksud, jika kamu berasa tinggi terhadap diri kamu, maka sesungguhnya Allah SWT adalah yang Maha Tinggi daripada kamu. Begitu juga ketika turun, maka hendaklah bertasbih kerana dengannya kita mensucikan Allah SWT dari segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.” (Lihat Syarh Riyadh al-Soliheen, 4/608-609)

 

Penutup

Bagi menjawab persoalan di atas, kami berpendapat bahawa hukum bagi mendaki gunung Everest adalah  harus dan dibolehkan. Namun, ianya juga tertakluk kepada perkara-perkara yang berkait rapat dengannya seperti kemampuan seseorang untuk mendakinya kerana gunung Everest bukanlah seperti gunung-gunung yang lain. Mereka yang telah melakukan persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal sahaja yang sepatutnya diberikan kebenaran untuk mendaki serta melaksanakan misi yang di bawa.

Adapun mereka yang menyertai ekspedisi ini ataupun yang lainnya, maka digalakkan untuk mengamalkan adab-adab ketika bermusafir yang mana sebahagian darinya telah disebutkan seperti di atas di samping mengikhlaskan niat supaya pengembaraan dan permusafiran itu mencapai maknanya iaitu ingin melihat kebesaran Allah SWT serta menginsafi diri.

 

Cadangan Kami

Antara yang dapat kami syorkan di sini:

  • Hendaklah berniat kerana Allah SWT.
  • Untuk mengenali diri dan ma’rifatullah.
  • Menambahkan motivasi dan semangat jati diri.
  • Dapat membantu insan lain yang berada dalam kesukaran melalui ekspedisi yang dijalankan.
  • Niat untuk menjadi hamba Allah SWT yang benar-benar dapat berbakti.
  • Dapat menimba banyak pengalaman yang berharga dalam melayari bahtera kehidupan.
  • Dapat meningkatkan hubungan persaudaraan sesama manusia.

 

Semoga Allah SWT cahayakan kita dengan sinaran cahaya ilmu-Nya dan dengannya dapat menambahkan lagi kefahaman kita dalam beragama. Ameen.

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

19 April 2016 bersamaan 11 Rejab 1437H