Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-148: WUDHU’ BAGI MEREKA YANG KENCING TIDAK LAWAS (SALISI AL-BAUL) DAN HUKUM BERIMAMKAN MEREKA

 

Soalan:

Bagaimanakah caranya bagi mereka yang berpenyakit kencing tidak lawas untuk taharah (wudhu’) dan bagaimana pula hukum berimamkan mereka?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para fuqaha’ meletakkan hukum bagi mereka yang terkena penyakit kencing tidak lawas  ( سَلِسِ الْبَوْل )   ini sama hukumnya dengan perempuan istihadhah (keluar darah). Mereka ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata yang lainnya terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah.

Para fuqaha’ telah meletakkan beberapa garis panduan buat golongan ini dalam berwudhu’ dan kami nukilkan di sini agar dapat dijadikan pedoman bersama antara yang telah digariskan oleh para fuqaha’[1]:

  1. Hukum solat dan juga ibadah lain yang memerlukan wudhu’ tidak tergugur disebabkan penyakit kencing tidak lawas.
  1. Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas, ditutup dengan bandage, memakai pampers  atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing itu dapat dihalang dari terus menitis.
  1. Bagi wudhu’ pula, perlulah segera berwudhu’ setelah berhati-hati dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing selepas ianya dibalut atau ditutup dan wudhu’ tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat.
  1. Wajib berwudhu’ bagi setiap solat fardhu dan wudhu’ tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardhu.
  1. Wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ untuk mengurangkan hadas namun tidaklah memudaratkan solat jika dilewatkan solat tersebut disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan dan iqamah, menunggu jemaah yang lain bagi yang solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing.
  1. Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya maslahah, maka batal wudhu’nya dan wajib ke atasnya untuk mengulangi wudhu’ tersebut sebagai berhati-hati kerana telah berulang hadas serta najis tersebut.
  1. Wajib berwudhu’ bagi setiap kali solat fardhu dan dibolehkan bagi wudhu’ tersebut untuk satu solat fardhu dan beberapa solat sunat yang mengiringi solat fardhu tersebut.
  1. Wajib menggantikan balutan/bandage/plaster/pampers dengan yang baru sekiranya memperbaharui wudhu’ dan wudhu’nya itu akan terbatal dengan perkara-perkara lain yang membatalkan wudhu’ seperti terkentut, gila namun tidak bagi kencing yang tidak lawas meskipun ianya najis.

 

Hukum Berimamkan Orang Yang Kencing Tidak Lawas

Setelah kita mengetahui tentang cara bersuci bagi golongan yang ditimpa penyakit kencing tidak lawas ini seperti yang telah dinyatakan di atas, bagaimana pula hukumnya sekiranya kita berimamkan mereka ini?

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa pendapat yang sahih adalah sah solat tersebut dan ini juga adalah pendapat al-Imam al-Haramain, al-Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Basit. Ianya diqiyaskan dengan mereka yang solat dibelakang orang yang beristinja’ dengan batu ataupun mereka yang solat pada baju dan badannya najis yang dimaafkan.[2]

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

22 November 2016 bersamaan 22 Safar 1438 H

 

[1] Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, (1/122-124)

[2] Lihat Al-Majmu’. Dar al-Fikr, (4/263) & Al-Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, (1/484)