Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-59: HUKUM MENGGUNAKAN AYAT SUCI AL-QURAN DAN LAUNGAN AZAN DALAM NADA DERING DAN PAPARAN SKRIN DI DALAM TELEFON BIMBIT

 

SOALAN

Apakah hukum menggunakan ayat suci al-Quran dan laungan azan dalam nada dering dan paparan skrin di dalam telafon bimbit?

 

JAWAPAN     

Sebenarnya, cintakan kepada al-Quran adalah amat dituntut. Amat digalakkan bagi umat Islam sentiasa berdampingan dengan al-Quran, begitu juga dengan zikrullah termasuk azan. Mutakhir ini, ramai mula menggunakan ayat-ayat al-Quran ataupun laungan azan sebagai nada dering telefon bimbit. Pada asasnya, ia tidaklah menjadi kesalahan tetapi perlu dilihat kepada tempat dan adab penggunaannya, contohnya diberhentikan ayat kerana menjawab panggilan. Ini sudah tentu menjadikan ayat tersebut tergantung yang tidak terhasilnya maksud. Pada pandangan kami, wajar dielakkan daripada penggunaan tersebut.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 telah membincangkan “Hukum Penggunaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Dan Laungan Azan Dalam Nada Dering Dan Paparan Skrin Di Dalam Telefon Bimbit”.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pada prinsipnya Islam tidak menghalang penggunaan nada dering ayat-ayat suci al-Quran ini dengan syarat penggunaannya menepetadi adab yang telah ditetapkan oleh Islam dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat-ayat suci tersebut seperti di dalam tandas. 

Begitu juga suka saya tegaskan, yang ia amat tidak wajar kerana boleh jadi ketika tuan punya telefon bimbit ingin menjawab panggilan tanpa meraikan ayat dan lafaz azan sudah berhenti pada waqafnya atau tergantung.

Justeru itu tidak dibolehkan. Pendapat ini selari dengan beberapa pandangan tokoh ulama masa kini.  

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

15 Syawal 1436H 31 Julai 2015