Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA KE-41: HUKUM WANITA MENZIARAHI LELAKI YANG SAKIT

 

 

SOALAN:

Apakah hukum wanita menziarahi lelaki yang sakit?

 

JAWAPAN

Di antara adab-adab yang terdapat di dalam Islam juga yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah menziarahi orang sakit. Bahkan ia adalah sebahagian daripada hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain. Perkara mengenainya telah disebut oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis, antaranya:

            Sabda Rasulullah SAW:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌ، قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟  قَالَ : إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Maksudnya: Hak seorang Islam ke atas seorang Islam yang lain ada enam: Sahabat bertanya: Apakah perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam. Apabila dia menjemput kamu, maka terimalah jemputan tersebut. Bila dia meminta nasihat, maka berilah kepadanya nasihat. Bila dia bersin, maka ucapkanlah rahmat ke atasnya. Bila dia sakit, maka ziarahilah dia dan bila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya sehingga sampai kekuburnya.

Riwayat Muslim (2162) dan Ibn Hibban (242)

 

Sabda Nabi SAW:

عُودُوا الْمَرِيضَ ، وَاتْبَعُوا الْجَنَائِزَ تُذَكِّرْكُمُ الآخِرَةَ 

Maksudnya: Ziarahilah orang yang sakit dan iringilah mayat ke kubur, nescaya akan mengingatkan kamu kepada hari akhirat.

Riwayat Al-Tayyalisi (2355)

 

Tiada seorang pun yang akan menjumpai gambaran yang lebih ketara dan nyata tentang kedudukan serta ganjaran menziarahi orang yang sakit, sehingga di sini Allah SWT menggambarkan bahawa menziarahi orang yang sakit itu sama seperti menziarahi-Nya.

Hadis-hadis tersebut jelas menerangkan kepada kita tentang pentingnya menziarahi orang yang sakit yang merupakan salah satu contoh daripada adab Islam yang mulia. Rasulullah SAW selaku contoh kepada umatnya bukan sahaja menggalakkannya  melalui perkataan Baginda sahaja, akan tetapi dipaparkan juga kepada kita dalam bentuk praktikalnya sekali. Pernah Rasulullah SAW menziarahi seorang Yahudi yang sakit lalu Baginda mengemukakan kepadanya Islam sehingga akhirnya Yahudi itu memeluk Islam.

Perkara ini lebih-lebih lagi dituntut terutamanya kepada sesama orang Islam yang mempunyai ikatan perhubungan yang rapat, sama ada melalui nasab keturunan, perkahwinan, persahabatan, keguruan dan seumpamanya. Pendek kata, tuntutan ke atas mereka ini adalah lebih jika dibandingkan dengan orang lain. 

Kalau kita perhatikan kepada lafaz-lafaz hadis ini, kita dapati ia datang dalam bentuk yang umum iaitu meliputi lelaki dan perempuan. Hadis-hadis seperti ini yang bermaksud “Ziarahilah orang yang sakit” atau hadis “Sesiapa yang menziarahi orang sakit” juga hadis “Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia” kesemuanya itu adalah dalam bentuk yang umum dan bukannya khusus untuk lelaki sahaja. Ini sudah cukup untuk menjadi dalil harusnya lelaki menziarahi wanita yang sakit dengan syarat ia benar-benar mengikuti adab serta batasan-batasan syarak yang telah ditentukan.

Walau bagaimanapun mengenai masalah wanita menziarahi lelaki yang sakit, di sana ada dalil yang khusus yang menyebut tentangnya:

  • Imam Bukhari dalam kitab Al Mardha dalam Sahihnya iaitu pada bab “Wanita melawat pesakit lelaki” telah menyebut bahawa: Sesungguhnya Ummu Darda’ telah menziarahi seorang lelaki Ansar daripada ahli masjid yang sakit.
  • Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anhu bahawa dia berkata: Ketika Rasululllah SAW sampai ke Madinah, Abu Bakar serta Bilal telah diserang sakit. Lalu saya pun menemui kedua-duanya seraya berkata: Wahai bapaku, bagaimana keadaan anda? Wahai Bilal, bagaimana keadaan anda?

Riwayat al-Bukhari (5654)

  • Sesungguhnya Ummu Mubasysyir binti al-Barra’ bin Ma’rur al-Ansariah telah masuk menemui Ka’ab bin Malik Ansari ketika hampir matinya lalu berkata: Wahai Abu Abdul Rahman (gelaran kepada Ka’ab bin Malik) sampaikanlah ke atas anakku (yang bernama Mubasyir) ucapan salam.

 

Dari sini jelaslah kepada kita bahawa tidak ada di sana sebarang halangan untuk seorang wanita Muslimah untuk menziarahi saudaranya Muslim yang sakit, malah ia harus sekiranya wanita itu tadi benar-benar memelihara peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh syarak serta adab-adabnya. Oleh itu, ketika melakukan ziarah, pastikan ia berlaku dalam keadaan jauh daripada sebarang perkara yang ditegah oleh syarak. Antaranya ‘make-up’, wangi-wangian, kata-kata yang manja dan tidak bersunyi-sunyian tanpa disertai oleh marhamnya.

Adalah lebih utama sekiranya masalah menziarahi lelaki seperti yang dinyatakan itu berlaku dalam bentuk yang ramai. Ini bermakna si penyelia itu tadi hendaklah berpakat dengan teman-teman daripada kalangan guru wanita yang lain untuk turut sama menziarahi guru lelaki yang sakit itu sebagai memenuhi kewajipan melawat pesakit dan untuk menolak sebarang syubahat.

Adalah tidak munasabah jika seseorang wanita yang selaku rakan sekerja atau ketua tidak menziarahi rakan lelakinya yang sakit sedangkan dia berurusan dengannya di sekolah setiap hari tanpa merasa sebarang kesalahan. Jika ketika sihat mereka boleh berhubung tanpa rasa bersalah,mengapa hubungan tersebut mesti dihalang ketika sakit? Apakah perhubungan antara lelaki dan perempuan hanya dibolehkan ketika sihat sahaja? Sedangkan mereka yang sakit itulah yang lebih berhak untuk menerima penjagaan.

Adapun dalil yang menyebut mengenai harusnya bagi lelaki menziarahi wanita yang sakit adalah termasuk di dalam dalil-dalil umum yang menggesa supaya melawat pesakit seperti mana yang telah saya sebutkan di atas.

Tetapi di sana terdapat dalil-dalil khusus yang menunjukkan harusnya bagi lelaki melawat pesakit wanita. Dalil-dalilnya adalah seperti berikut:

  • Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah R.Anha katanya: Rasulullah SAW telah masuk menemui Dhaba’ah binti al-Zubair yang sedang sakit lalu berkata: “Kemungkinan anda ingin mengerjakan haji?” Wanita itu menjawab: Demi Allah, aku tidak dapati yang menghalangku melainkan kesakitan yang amat sangat. Rasulullah berkata lagi: Kerjakanlah haji dan letakkanlah syarat.
  • Muslim meriwayatkan daripada Jaabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW telah masuk menemui Ummu Saaib (atau Ummul Musayyah) lalu berkata: “Kenapakah anda menggigil wahai Ummu Saaib?” Dia menjawab: “Aku telah terkena demam yang tiada keberkatan Allah padanya”. Rasulullah SAW berkata: “Janganlah kamu mencerca demam, kerana dengan demamlah akan terhapusnya kesalahan anak-anak Adam sebagaimana dapur yang panas menghilangkan kotoran besi”.
  • Abu Daud meriwayatkan daripada Ummu ‘Ala’, katanya: Rasulullah saw telah menziarahi saya yang sedang sakit lalu berkata: “Bergembiralah wahai Ummu ‘Ala’.”
  • Al-Nasaie meriwayatkan daripada Abu Umamah, katanya: Seorang wanita daripada keluarga yang tinggal di bahagian atas Madinah telah jatuh sakit, dan Rasulullah adalah seorang yang cukup prihatin dalam masalah menziarahi orang yang sakit. Baginda berkata: “Jika wanita tersebut meninggal, maka khabarkanlah kepadaku”.
  • Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma telah meminta izin daripada Aisyah yang ketika itu sedang sakit kuat agar dia dibenarkan untuk menziarahinya. Lalu Aisyah pun mengizinkannya. Ibn Abbas berkata: “Bagaimana keadaan anda sekarang?”, Jawab Aisyah: “Semuanya baik jika aku benar-benar bertaqwa”.

Ibn Abbas berkata lagi: “Insya-Allah anda berada dalam keadaan baik. Anda adalah isteri Rasulullah SAW, baginda tidak mengahwini anak dara selain anda dan juga pada andalah telah turunnya berita dari langit yang memberitahu bebasnya anda daripada fitnah”.

Setelah kita melihat kepada hadis Sahih ini, maka adalah tidak harus untuk kita lari daripada petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya. Juga adalah tidak wajar untuk kita menyempitkan apa yang telah diluaskan oleh Allah atau menyusahkan pada perkara yang telah diberi kemudahan oleh Allah. Dalam apa juga keadaan, sunnah Rasul adalah jauh lebih utama untuk diikuti daripada kata-kata atau pendapat seseorang.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

26 Ramadan 1436H bersamaan 13 Julai 2015