Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-37: BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK MENGHILANGKAN PERASAAN WAS-WAS DALAM MENGERJAKAN SOLAT DAN SEBAGAINYA?

 

Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad: "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) sekalian manusia. Raja sekalian manusia, Tuhan sekalian manusia, Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi (menunggu peluang). Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia.”

(Surah al-Nas: 1-6)

 

Surah di atas menunjukkan betapa besarnya bahaya was-was yang dikuasai dan dipimpin oleh syaitan sehingga bertapak dalam hati manusia, apatah lagi jika membabitkan permasalahan akidah yang membawa kepada syak dan ragu-ragu berkenaan dengan kekuasaan Allah.

Dalam masalah ini dinyatakan beberapa noktah yang perlu diketahui:

  • Was-was adalah permainan syaitan yang perlu dihindari. Syaitan boleh menggoda manusia dengan mengetahui cara godaannya maka jelaslah pada kita untuk menghindarinya.
  • Berdoa kepada Allah supaya menjadi golongan yang tetap hati dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang was-was. Nabi S.A.W sentiasa memperbanyakkan membaca doa ini:

يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai yang membalikkan hati manusia sabitkanlah hatiku atas agamamu.”

Riwayat al-Tirmizi (2140)

 

  • Melazimi membaca surah al-Nas dan tadabbur dengannya.
  • Membaca buku yang membicarakan bentuk-bentuk was-was seperti Talbis Iblis karangan Ibn Jauzi.
  • Begitu juga kitab-kitab tasawuf yang membicarakan hal ini dan cara mengatasinya. Antaranya: Ihya’ Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali.

Kita hendaklah tidak melayani perasaan was-was kerana kaedah kita masyhur dalam qawaid fiqhiyah ialah اليقين لا يزول بالشك (keyakinan tidak boleh digugat dengan syak). Semoga Allah mengurniakan kepada kita istiqamah dan iltizam dalam ibadat tanpa sebarang was-was. Amin.