Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-29: BULAN SYA'BAN: KEISTIMEWAANNYA MENGIKUT NERACA NAS

 

Mukaddimah

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan kepada nabi Muhammad SAW begitu juga keluarga, para sahabat dan yang menikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Dalam ruangan tazkirah ringkas ini, suka saya nyatakan isu berkaitan bulan Sya’ban dan beberapa hukum fiqh agar kita benar-benar memahami mengikut neraca nas syarak.

Dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami akan kemukakan berkenaan dengan isu Bulan Sya’ban: Keistimewanya Mengikut Neraca Nas. Semoga kita diberi kefahaman dengan sebaiknya dalam isu ini.

 

Kelebihan Puasa Bulan Sya’ban

Ada banyak dalil yang menunjukkan galakan berpuasa pada bulan Sya’ban termasuk amalan Rasulullah SAW. Antaranya:

Pertama: Daripada Abu Salamah RA berkata, aku bertanya kepada  Aisyah R.Anha tentang puasanya Nabi SAW. Lantas beliau menjawab:

كانَ يَصومُ حتَّى نَقولَ قَد صامَ ويُفطِرُ حتَّى نَقولَ قد أفطَرَ ولم أرَهُ صامَ مِن شَهْرٍ قطُّ أَكْثرَ مِن صيامِهِ من شعبانَ كانَ يَصومُ شَعبانَ كُلَّهُ كانَ يَصومُ شعبانَ إلَّا قَليلًا

Maksudnya: "Beliau biasanya berpuasa sampai kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus). Dan beliau berbuka sampai kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka. Dan aku tidak melihat beliau   berpuasa  yang lebih banyak dibandingkan pada bulan Sya’ban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Sya’ban semuanya, dan biasanya beliau berpuasa pada bulan sya’ban kecuali sedikit."

Riwayat Muslim (1156)

Kedua: ‘Aisyah RAnha memberitahu Abu Salamah:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.”

Riwayat al-Bukhari (1834)

Para ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah SAW hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban.

Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban. Beliau menukilkan perkataan Imam Ibn al-Mubarak:

جائر في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره

Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”[1]

Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah yang mafhumnya,

“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.”

Hadis Riwayat al-Bukhari (1833)

Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah SAW:

لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ

Maksudnya:Jangan salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (1781)

Maka dari apa yang dapat difahami di sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat.

Ketiga: Daripada A’isyah R.Anha, beliau mengatakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Maksudnya: “Terkadang Nabi SAW puasa beberapa hari sampai kami katakan: Beliau tidak pernah tidak puasa, dan terkadang beliau tidak puasa terus, hingga kami katakan: Beliau tidak melakukan puasa. Dan saya tidak pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berpuasa sebulan penuh kecuali di bulan Ramadhan, saya juga tidak melihat beliau berpuasa yang lebih sering ketika di bulan Sya’ban.

Riwayat Bukhari (1969) dan Muslim (1156)

Antara sebab Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban pada kebanyakkan harinya telah dinyatakan sendiri oleh Baginda SAW.

شعبانُ بين رجبَ ورمضانَ يغفلُ الناسُ عنه تُرفعُ فيه أعمالُ العبادِ فأُحِبُّ أن لَا يَرْفَع عَمَلِي إَلَّا وأنَا

صَائِمٌ

Maksudnya: Bulan Sya’ban, ada di antara bulan Rajab dan Ramadhan, banyak manusia yang melalaikannya. Saat itu amal manusia diangkat, maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa.

Riwayat An-Nasai, 1/322 dalam kitab Al-Amali. Hadith Hasan

Keempat: ‘Usamah Ibn Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya:Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”

Riwayat al-Nasa’i (2357)

 Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kelebihan malam Nisfu Sya’ban antaranya:

Pertama: Sabda Rasulullah SAW   

إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إِلَّا لِمَشْرِكٍ أَوْ مُشَاحنٍ

Maksudnya: Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)

Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. 3/135.

 Sebahagian ulama hadis mensahihkannya, manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Mu’az Ibn Jabal, Abu Tha’labah al-Khusyani, ‘Abdullah Ibn ‘Umar, Abu Musa al-Asyari, Abu Hurairah, Abu Bakar al-Siddiq, ‘Auf Ibn Malik, dan ‘Aisyah R.Anhum. Hadith ini antaranya telah diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Abi Syaibah, ‘Abd al-Razzaq, al-Tabarani, al-Bazzar, dan al-Mundziri.

Secara umum antara ulama yang mensahihkannya adalah Ibn Hibban, Ibn Hajar al-Haithami, dan lain-lain. Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami’ al-Tirmidzi.

Seandainya sahih sekalipun hadis ini, maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban secara umum. Sebagaimana kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, “Dalam hal ini, pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah malam yang memiliki keutamaan.”[2]

Oleh karena keutamaan  malam Nisfu Sya’ban memiliki dasar yang sangat kuat, umat Islam sejak generasi salaf banyak yang menghidupkannya dengan aneka ragam ibadah seperti solat, doa dan lain-lain.

Kami kemukan di sini beberapa pendangan ulama berkenaan dengan malam Nisfu Sya’ban antaranya:

Pertama: Al-Imam al-Syafi’i berkata dalam kitab al-Umm sebagai berikut:

بَلَغَنَا أَنَّهُ كان يُقَالُ إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ في خَمْسِ لَيَالٍ في لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ من رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ من شَعْبَانَ

Maksudnya: “Telah sampai kepada kami bahwasanya selalu dikatakan bahwa permohonan akan dikabulkan dalam lima malam, yaitu malam Jum’at, malam hari raya Idul Adha, malam hari raya Idul Fitri, awal malam di bulan Rajab dan malam Nisfu Sya’ban[3]

Kedua: Syeikh al-Islam IbnTaimiyah, dalam fatwanya menyebut berkenaan solat malam Nisfu Sya’ban , lantas beliau menjawab:

إِذَا صَلَّى اْلإِنْسَانُ لَيْلَةَ النِّصْفِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ جَمَاعَةٍ خَاصَّةٍ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ طَوَائِفُ مِنَ السَّلَفِ فَهُوَ حَسَنٌ. وَقَالَ فِيْ مَوْضِعٍ آخَرَ : وَأَمَّا لَيْلَةُ النِّصْفِ فَقَدْ رُوِيَ فِيْ فَضْلِهَا أَحَادِيْثُ وَآَثاَرٌ وَنُقِلَ عَنْ طَائِفَةٍ مِنَ السَّلَفِ أَنَّهُمْ كَانُوْا يُصَلُّوْنَ فِيْهَا فَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِيْهَا وَحْدَهُ قَدْ تَقَدَّمَهُ فِيْهِ سَلَفٌ وَلَهُ فِيْهِ حُجَّةٌ فَلَا يُنْكَرُ مِثْلُ هَذَا.

Maksudnya: “Apabila seseorang menunaikan solat pada malam Nisfu Sya’ban, sendirian atau bersama jamaah tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka hal itu baik.” Di tempat lain, Ibn Taimiyah juga berkata: “Adapun malam Nisfu Sya’ban, telah diriwayatkan banyak hadits dan atsar tentang keutamaannya dan telah dikutip dari sekelompok kaum salaf bahwa mereka menunaikan solat pada malam itu. Jadi solat yang dilakukan oleh seseorang sendirinya pada malam tersebut, telah dilakukan sebelumnya oleh kaum salaf dan ia mempunya hujjah, oleh karena itu hal seperti ini tidak boleh diingkari.[4]

 

Ketiga: Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif  menyatakan:

وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ اْلإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ رَاَهَوْيه عَلىَ ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً : لَيْسَ ذَلِكَ بِبِدْعَةٍ .

Maksudnya: “Malam Nisfu Sya’ban, kaum Tabi’in dari penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan lain-lain dari kalangan tabi’in Syam mendirikan shalat di dalam Masjid pada malam Nisfu Sya’ban. Perbuatan mereka disetujui oleh al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai shalat sunnah pada malam Nisfu Sya’ban di Masjid-masjid secara berjamaah: “Hal tersebut tidak termasuk bid’ah.”[5]

 Nas Yang Dikatakan Tidak Benar atau Maudhu’. 

Terdapat beberapa nas yang selalu kita dengar tetapi dibahaskan oleh ulama secara panjang lebar antaranya dikatakan.

Pertama: Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إذا كانَ ليلةُ النِّصفِ من شَعبانَ ، فقوموا ليلَها وصوموا نَهارَها ، فإنَّ اللَّهَ يَنزلُ فيها إلى سماءِ الدُّنيا ، فيقولُ: ألا من مُستَغفرٍ فأغفِرَ لَهُ ، ألا مِن مُسترزقٌ فأرزقَهُ ألا من مُبتلًى فأعافيَهُ ألا كذا ألا كذا ، حتَّى يطلُعَ الفجرُ

Maksudnya: Jika sekiranya malam nisfu syaban maka hendaklah kamu melakukan qiyam dan berpuasa pada keesokan harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun pada malamnya tatkala tenggelamnya mata hari kelangit duni seraya berfirman: Adakah dikalangan orang yang minta ampun kepadaku nescaya aku ampunkannya Adakah dikalangan orang yang minta rezki nescaya aku rezkikannya. Adakah orang yang terkena bala atau sakit nescaya aku sembuhkannya, adakah begian, adakah begian, sehingga terbitnya fajar

Riwayat Ibn Majah dan dinukilkan oleh Ibn Rajab Dalam Lathaif al-Ma’arif

Perbahasan Hadith Ini

Hadis ini dihukum maudhu’ oleh pengarang al-Manar. Ini kerana pada sanadnya Abu Bakar bin Abdullah bin Muhammad yang ma’ruf dengan nama Ibn Abi Sabrah. Imam Ahmad mempertikaikannya. Yahya bin Ma’in berkata beliau adalah yang mendustakan hadis.

Syeikh Muhammad Rasyid ridha berkata hadis ini maudhu’ dan seumpama ini tidak harus mengithbatkan hukum syarie dengannya.

Kedua: Hadis daripada Aisyah R.Anha katanya: Rasulullah SAW mafhumnya :

Sesungguhnya Allah turun pada malam Nisfu Sya’ban kelangit dunia dan mengampunkan manusia lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kalb.

Riwayat Imam Ahmad: 2610, Turmuzi, 739, Ibn Majah: 1389. Imam Turmuzi menyebut bahwa Imam Bukhari mendhaifkannya. Imam Syaukani menyebut pada hadis A’syah terdapat dhaif dan terputus.

 

Walaupun begitu sebahagian ulama mutaakhirrin mansahihkannya kerana banyak jalannya. Saya cenderung kepada pendapat mutaakkhirin berkenaan dengan hadis Aisyah ini.

Penutup

Beramal untuk kehidupan kita janganlah dibatasi hanya pada hari dan malam tertentu kecuali terdapatnya nas sahih atau dhaif bukan madhu’ atau dusta. Berkenaan dengan apa yang dinukilkan oleh Ibn  Rejab dalam Lathaif al-Ma’arif halaman 441 dengan bersandarkan kepada perbuatan tabien dan ahli Syam ada pendapat mengatakan bahawa mereka mengambil pendapat athar Israeiliyat yang mana kebanyakkan ulama Hijaz menganggapnya sebagai bida’ah.

Saya nyatakan di sini beberapa perkara, jika kita ingin beramal pada bulan Sya’ban terutamanya malam Nisfu Sya’ban.

Pertama: Pandulah mengikut hadis yang sahih ataupun yang dhaif.

Kedua: Jangan sesekali berpegang dengan hadis maudhu’ kerana ia dusta

Ketiga: Jangan beriktikad apa yang tiada nas sebagai syariat

Keempat: Lihatlah juga secara ihtiyat  supaya tidak tergelincir daripada perbuatan yang menyalahi nas. Imam Syaukani pernah berkata, “Dalam al-Fawaid al-Majmuaah halaman 15, telah diriwayatkan solat pada malam ini (nisfu Sya’ban) mengikut pelbagai sumber semuanya batil dan maudhu’.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk beramal mengikut neraca syariat yang sebenarnya. Marilah sama-sama kita muhasabah diri sebelum kedatangan Ramadhan untuk mengislahkan diri dalam mencapai mardhatillah, Amin.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

____________________________________

[1] Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/214

[2] Iqtidha’ ash-Shirathal Mustaqim, 1/302

[3] al-Umm [1/231]).

[4] Majmu’ Fatawa Ibni Taimiyah [3/131-132].

[5]  , hlm 263]