Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 232: HUKUM MEMPERDENGARKAN AL-QURAN KEPADA BINATANG DI LADANG-LADANG TERNAKAN

Soalan

Apakah hukum membacakan al-Quran kepada binatang seperti yang dibuat oleh sesetengah penternak lembu yang memasang al-Quran di ladang-ladang lembu.

Jawapan

Secara umumnya, tiada masalah dibacakan al-Quran dengan niat untuk perlindungan daripada penyakit ‘ain dan hasad berdasarkan dalil yang umum menyuruh merawat dengan al-Quran. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ أَوْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

Maksudnya: “Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang menakjubkan dari saudaranya, pada dirinya atau pada hartanya, maka doakan keberkatan padanya, kerana sesungguhnya penyakit ain itu haq (benar).”

Riwayat Imam Ahmad (15790)

Dalil tersebut adalah umum dan tidak membezakan di antara manusia dan selain daripadanya.

Berdasarkan persoalan di atas, maka dibolehkan membaca ayat-ayat al-Quran sama ada kepada orang atau tempat dan juga binatang. Kami nukilkan di sini apa yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi terhadap haiwan yang liar supaya dibaca pada telinga binatang tersebut:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّـهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Maksudnya: Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.

(Surah Ali-Imran: 83)

Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis dengan sanad yang da’if yang dikeluarkan oleh Imam al-Tabarani. (Rujuk Kitab Hasyiah al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah, hlm. 75)

Begitu juga bila mana Allah SWT menyebut berkenaan dengan gunung-ganang jika diturunkan al-Quran. Firman Allah SWT:

لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّـهِ

Maksudnya: Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

(Surah al-Hasyr)

Kalaulah Kami ciptakan bukit atau gung-ganang berakal dan dapat membezakannya sebagaimana Kami ciptakan manusia dan Kami turunkan al-Quran dengan segala bentuk janji dan ancaman, nescaya gunung tersebut akan khusyu’, tunduk dan pecah kerana takutkan Allah dan merasa gerun kepada-Nya. Inilah gambaran keagungan Qudrat Allah dan kekuatan kesan-Nya yang bahawa jika ditujukan ucapan-Nya kepada gunung dan mempunyai kekuatan dan pasak bumi, nescaya kamu tengok keadaannya hina dek kerana takutkan Allah. Dikehendaki di sini bahawa ia mencela manusia kerana tidak khusyu’ dan mengambil pengajaran ketika membaca al-Quran. (Lihat Hasyiah Zadah ‘ala al-Baidhawi, 3/479).

Dalam al-Bahr menyebut tujuannya adalah untuk mencela manusia kerana kerasnya hati dan tidak terkesan sedangkan kalau diturunkan al-Quran atas gunung nescaya ia khusyu’ dan pecah. (Lihat Tafsir al-Muhit, 8/251)

Walaupun begitu, al-Quran diturunkan untuk manusia sebagai petunjuk dan keterangan-keterangan petunjuk seperti dinaskan. Begitu juga al-Quran menjadi penawar kepada manusia termasuk ianya hendaklah dihukumkan kepadanya kerana ia adalah kitab panduan Ilahi untuk manusia sejagat.

Berkenaan dengan isu dipasang kaset al-Quran atau CD al-Quran di ladang-ladang lembu atau ayam, maka pembetulan nawaitu adalah penting. Antaranya supaya petani atau penternak dalam apa jua keadaan kerja pun sentiasa mengingati Allah dan ayat-ayat Allah. Memasang ayat tersebut bukan bertujuan kepada ayam, itik, kambing, biri-biri atau lembu semata-mata, tetapi biarlah tuan ayam, itik dan lembu itulah yang banyak memberi manfaat dan mengambil hidayah.