Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM #235: MENGAPA IMAM MALIK MEMAKRUHKAN PUASA ENAM SYAWAL?

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Mengapakah mazhab Maliki memakruhkan puasa enam Syawal sedangkan terhadap hadith sahih yang tentang pensyariatan dan kelebihannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal tsabit melalui hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali bersepakat bahawa puasa 6 hari pada Syawal adalah sunat yang sangat dituntut berdasarkan hadith di atas. (Rujuk Bada’ie as-Sona’ie, 2/78; Nihayatul Muhtaj, 3/208 dan Al-Mughniy, 3/176)

Adapun menurut mazhab Maliki, terdapat satu riwayat daripada Imam Malik bin Anas bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ilmuan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut, dan tidak sampai pada beliau riwayat daripada golongan salaf yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Bahkan ada sesetengah ilmuan memakruhkannya kerana bimbang orang jahil akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Ramadhan. (Rujuk Syarh az-Zarqani ‘ala al-Muwatta’, 2/297)

Dalam mazhab Maliki, sesuatu hadis ahad itu tidak boleh diterima secara bulat-bulat kecuali jika disokong dengan amalan penduduk Madinah kerana mereka adalah golongan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW, justeru mereka lebih memahami tentang apa yang dilakukan oleh nabi Muhammad SAW. Imam Malik selaku penduduk Madinah mendapati bahawa ahli Madinah sendiri tidak berpuasa enam, walhal wujud hadith atas galakan itu.

Beberapa ulama mazhab Maliki terkemudian memberi komentar terhadap pandangan Imam Malik ini, antaranya;

  • Imam Ibnu Rusyd memberikan beberapa pentakwilan ke atas fatwa Imam Malik ini, antaranya ialah Imam Malik bimbang orang yang jahil akan menambah hari ke atas bulan Ramadhan, atau beliau tidak mengetahui akan hadith ini, dan yang paling sahih menurut Imam Ibnu Rusyd ialah Imam Malik tidak menganggap hadith ini sebagai sahih. (Rujuk Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid, 2/71
  • Menurut Syeikh ad-Dasuqi, kemakruhan puasa enam pada bulan Syawal itu hanya terpakai untuk mereka yang jahil dan dibimbangi akan terkeliru Syawal dengan Ramadhan. Selain itu dimakruhkan juga bagi yang menganggap pahala hanya akan diperolehi jika puasa dilaksanakan secara berturut-turutan / bersambung. Hukum makruh hanya terpakai jika keadaan ini wujud, jika tidak maka hukumnya harus. (Rujuk Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala as-Syarh al-Kabir, 1/517)
  • Imam Abul Walid al-Baji pula sewaktu mensyarahkan pandangan Imam Malik ini telah menukilkan pendapat Muttharif yang menyatakan keharusan bagi sesiapa yang ingin berpuasa pada bulan Syawal sebagai beramal dengan hadith yang tsabit berkenaannya. (Rujuk Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta', 2/76)

Selain itu menurut Dr. Nu’man Jughaim, fatwa Imam Malik ini juga boleh dilihat dari sudut Maqasid Syari’ah, di mana larangan daripada berpuasa pada bulan Syawal akan menutup pintu-pintu amalan bidaah dalam agama yang sangat ditekankan oleh syarak. Selain itu, ini merupakan satu contoh pentarjihan Maqasid Syari’ah ke atas hadith yang bertaraf ahad. (Rujuk Thuruq al-Kasyf ‘an Maqasid as-Syari’, hal. 54)

Ketika mengulas kenyataan Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, Imam al-Nawawi berkata apabila sesuatu sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 8/56).

Pada pandangan kami, pendapat Imam Malik ini adalah tidak sesuai untuk diamalkan kerana ‘illah yang beliau gunakan (bimbang orang jahil mengganggap puasa enam sebagai sebahagian Ramadhan) tidak lagi timbul pada zaman sekarang. Umum telah mengetahui perbezaan antara puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa sunat di bulan Syawal.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Imam Malik menganggap puasa 6 hari pada bulan Syawal adalah makruh dan tidak disunatkan, kerana hadith yang diriwayatkan berkenaannya bertaraf ahad dan ia tidak diamalkan oleh penduduk Madinah pada zaman beliau yang menjadi salah satu dalil penting dalam mazhab beliau. Ia juga dimakruhkan kerana takut puasa 6 hari pada bulan Syawal disangka wajib oleh orang-orang jahil dan dianggap sebagai sebahagian daripada bulan Ramadhan.

Namun hujah ini ditolak oleh 3 mazhab mu’tabar yang lain iaitu Hanafi, Syafi’e dan Hanbali kerana hadith yang sahih dan sarih meskipun bertaraf ahad sudah cukup untuk dijadikan hujah tanpa perlu disandarkan kepada amalan penduduk Madinah. Kebimbangan yang ditimbulkan oleh Imam Malik juga tidak lagi berlaku dan perbezaan antara bulan Ramadhan dan Syawal adalah jelas.

Wallahu a’lam.