Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 264 : HUKUM MEMBERHENTIKAN SOLAT KETIKA GEMPA BUMI

IRSYAD AL FATWA 264

Soalan:

Salam Dr. mohon terangkan mengenai hukum berhenti solat ketika berada dalam keadaan bahaya seperti gempa bumi. Adakah seseorang yang meneruskan solatnya dalam keadaan tersebut mendapat apa-apa keistimewaan ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam perbahasan isu memberhentikan solat yang sedang didirikan, para ulama memperincikan ia kepada dua kategori sama ada solat tersebut merupakan solat fardhu ataupun solat sunat. Demikian juga faktor yang menjadi sebab pembatalan solat itu turut menjadi perkara yang diambil kira dalam penentuan hukum hal ini.

Membatalkan Solat Fardhu

Secara asasnya, para ulama bersepakat bahawa tidak boleh untuk seseorang itu membatalkan solat fardhunya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَلا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.

Surah Muhammad (33)

Berdasarkan ayat di atas, seseorang itu dilarang untuk membatalkan amalannya sama ada melakukan perbuatan yang boleh membatalkan seluruh amalan soleh iaitu murtad, ataupun seseorang yang telah mengerjakan sesuatu ibadah seperti puasa dan solat fardhu membatalkannya iaitu memberhentikannya dengan sengaja tanpa ada sebarang sebab yang munasabah di sisi syarak.

Namun di sana terdapatnya beberapa pengecualian, iaitu membatalkan solat fardhu disebabkan adanya keuzuran dan kemudharatan yang berlaku. Sebagai contohnya, seseorang yang sedang menunaikan solat fardhu itu melihat seekor ular atau kala jengking berada di hadapannya atau kawasan solatnya, maka terdapat nas syarak yang memerintahkan untuk kita membunuhnya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اقْتُلُوا الأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلاَةِ الْحَيَّةَ وَالْعَقْرَبَ

Maksudnya: Bunuhlah kamu dua yang hitam di dalam solat iaitu ular dan kala jengking.

Riwayat Abu Daud (921)

Imam Syams al-Haq Al-Azhim al-Abaadi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini, beliau menukilkan kata-kata Imam Al-Khattabi Rahimahullah yang menyebut: ‘’Pada hadis ini terdapatnya dilalah (petunjuk) ke atas keharusan melakukan perbuatan yang sedikit di dalam solat. Dan muwalat (melakukan perbuatan berturut-turut sebanyak dua kali dalam keadaan yang satu tidaklah merosakkan solat’’. Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, Al-Azhim Abaadi

Kami menyatakan, hadis tersebut juga padanya terdapat petunjuk yang membolehkan untuk seseorang itu membatalkan solatnya untuk membunuh binatang buas yang mendatangkan bahawa kepadanya. Ini dengan cara, seseorang yang sedang solat itu memberhentikan solatnya, kemudian membunuh haiwan buas seperti ular atau kala jengking tersebut, lalu memulakan semula solat fardhunya yang ditinggalkan sebentar tadi.

Demikian juga apabila berlakunya perkara-perkara lain yang mendatangkan kemudharatan kepada seseorang yang sedang solat seperti kebakaran, gempa bumi, banjir besar, terdapatnya haiwan buas, sakit perut yang bersangatan, dan seumpamanya. Kesemuanya ini termasuk dalam kemudharatan yang membolehkan seseorang itu membatalkan solatnya. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah yang yang diambil dari hadis Rasulullah S.A.W iaitu:

 لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh berlakunya sebarang kemudharatan dan membalas dengan kemudharatan.

Riwayat Ibn Majah (2341)

Dalam perbahasan muwazanah (timbang tara) antara maslahah dan mafsadah, Imam Izzuddin al-Izz Ibn Abd Al-Salam ada menyebutkan berkenaan isu membatalkan solat ini dengan katanya: Didahulukan proses menyelamatkan manusia yang tenggelam ke atas melaksanakan solat. Ini kerana, menyelamatkan manusia yang ma’sum (terpelihara nyawa dan hartanya) adalah lebih afdhal di sisi Allah berbanding mendirikan solat. Dan menghimpunkan antara dua maslahah itu boleh berlaku iaitu dengan cara dia menyelamatkan mangsa yang tenggelam terlebih dahulu kemudian dia menggantikan (qadha) semula solatnya. Lihat Qawaid Al-Ihkam, Izzuddin Ibn Abd Al-Salam (1/95).

Memberhentikan Solat Sunat

Manakala untuk solat-solat sunat pula, secara asasnya ia juga lebih utama untuk tidak diberhentikan tanpa sebarang sebab. Namun dalam mazhab Imam Al-Syafi’e, terdapatnya keringanan untuk seseorang yang menunaikan solat sunat itu untuk memberhentikannya meskipun tanpa sebarang sebab. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Ummu Hani’ R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat itu merupakan pemegang amanah buat dirinya sendiri. Sekiranya dia mahu, dia boleh meneruskan puasa dan sekiranya dia mahu, dia boleh untuk berbuka.

Riwayat Al-Tirmizi (732)

Hadis di atas menunjukkan keringanan yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa sunat sama ada untuk terus berpuasa atau berbuka. Maka solat sunat diqiyaskan kepada isu ini dalam menyatakan bahawa membatalkan solat sunat itu dibolehkan tanpa sebarang sebab, dan adalah lebih utama untuk meneruskannya.

Memilih ‘Azimah Untuk Meneruskan Solat Dalam Situasi Gempa

Dalam isu ini, ada suatu perbahasan yang disebut sebagai ‘azimah. Ia membawa erti memegang kepada hukum asal yang disebutkan oleh syarak. Iaitu tidak mengambil rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh syarak.

Dalam isu meneruskan solat di dalam gempa bumi, ia turut termasuk dalam perbahasan ‘azimah yang disebutkan oleh para fuqaha. Iaitu meskipun terdapat kelonggaran dan keizinan untuk seseorang itu memberhentikan solatnya, namun apabila dia memilih untuk meneruskan solat maka ia dibolehkan.

Dr. Abd al-Karim Zaidan Rahimahullah menyebutkan: Boleh jadi berpegang dengan ‘azimah adalah lebih utama meskipun bersamanya keharusan untuk mengambil rukhsah (keringanan yang dibenarkan). Di antara jenis ini adalah: Dibolehkan untuk mengungkapkan lafaz kufur berserta tenangnya hati (dengan keimanan) ketika mana dipaksa untuk melakukannya, dan jika tidak akan menyebabkan dia dibunuh atau dipatahkan anggota badan. Akan tetapi yang lebih utama adalah berpegang dengan ‘azimah (iaitu tidak mengucapkan lafaz kufur). Kerana padanya ada perbuatan menzahirkan kemegahan kepada agama, serta memberi kegerunan kepada musuh, melemahkan jiwa mereka, dan menguatkan ciri kemukminan seseorang.

Ini berdasarkan riwayat dua orang lelaki Muslim yang telah ditawan oleh para pengikut kepada Musailimah al-Kazzab, lalu Musailimah bertanya kepada salah seorang dari lelaki Muslim tersebut: ‘’Apa pandangan kamu terhadap Muhammad’’ ? Lelaki itu menjawab: ‘’Dia adalah Rasulullah’’. Musailimah bertanya lagi: ‘’Apa pula pandangan kamu terhadap aku’’ ? Lelaki itu mengatakan: ‘’Kamu juga’’. Lelaki itu pun ditinggalkan dan tidak disakiti. Kemudian Musailimah bertanya kepada lelaki yang kedua tentang Muhammad lalu dia menjawab: ‘’Beliau adalah Rasulullah’’. Musailimah bertanya lagi ‘’apa pula pendapat kamu tentang aku’’. Maka lelaki itu berkata: ‘’Aku ini bisu dan tidak mendengar’’. Lalu Musailimah mengulangi persoalan tersebut sebanyak tiga kali dan lelaki tersebut mengulang jawapan yang sama, lalu Musailimah membunuhnya. Maka apabila sampai berita ini kepada Rasulullah S.A.W baginda bersabda: ‘’Lelaki pertama dia telah mengambil rukhsah (keringanan) yang diberikan Allah. Manakala lelaki kedua telah mempertahankan kebenaran maka, tahniahlah kepadanya’’. Rujuk Al-Wajiz Fi Usul Al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan (Hlm. 53).

Berbalik kepada isu meneruskan solat dalam situasi gempa, terdapat juga riwayat dengan makna yang hampir sama daripada perbuatan para sahabat Nabi S.A.W. dan juga para salaf. Antaranya apa yang berlaku kepada ‘Abbad bin Bishr R.A bahawa beliau melakukan solat pada suatu malam, dan dilempar dengan sebatang anak panah sehingga menembusi tulang di lengannya lalu beliau mencabutnya dan meneruskan solat. Rujuk Al-Sirah Al-Nabawiyyah, Syeikh Raghib Al-Sarjani (8/35).

Begitu juga peristiwa yang berlaku kepada tokoh pembesar dari kalangan tabi’in iaitu Urwah bin Al Zubair Rahimahullah yang mana pada suatu hari kakinya telah ditembusi besi. Para pakar perubatan pada masa tersebut telah menetapkan bahawa kakinya perlu dipotong. Lalu Urwah mengatakan kepada para doktor tersebut: ‘’Akan tetapi sekiranya kamu perlu untuk melakukannya, maka lakukanlah ia (potong kaki) semasa aku sedang bersolat’’. Lihat Al-Bidayah wal-Nihayah, Ibn Kathir (9/120).

Kisah-kisah sebegini menunjukkan kekhusyukan para salafussoleh dalam solat mereka. Justeru meskipun ditembak dengan anak panah, dan dipotong kaki, kesemua ini tidak sedikitpun menyebabkan mereka berpaling dari solat sebaliknya kekal dalam keadaan tersebut.

Kesimpulan

Sebagai penutup bagi menjawab permasalahan ini, kami memperincikan hukum membatalkan solat kepada tiga pecahan berikut:

Pertama: Membatalkan solat fardhu tanpa sebarang sebab adalah haram.

Kedua: Membatalkan solat fardhu sekiranya ada kemudharatan dan keuzuran yang diambil kira oleh syarak adalah dibolehkan.

Ketiga: Membatalkan solat sunat tanpa sebarang sebab adalah dibolehkan, namun yang lebih utama adalah meneruskannya.

Maka dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu memberhentikan solatnya apabila berlaku gegaran gempa bumi. Ini bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar bahkan meraikan maqasid syarak itu sendiri dari sudut penjagaan nyawa. Maka dalam keadaan gempa bumi berlaku, seseorang yang sedang solat fardhu itu hendaklah menyelamatkan dirinya dahulu, dan menggantikan semula solatnya yang ditinggalkan pada masa tersebut. Manakala bagi mereka yang ingin meneruskan solat semasa gempa bumi, ia dibolehkan sebagai mengambil hukum ‘azimah, dan tetap mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.