Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM #279: SOLAT DAN PENYAKIT ALZHEIMER

alzheimer.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ada soalan mengenai ayah saya yang sudah berumur dan menghidapi penyakit Alzheimer (hilang ingatan short term memory). Dia masih sihat Alhamdulillah secara fizikal tetapi sudah hilang ingatan lagi-lagi benda yang baru berlaku 10 hingga 20 minit sebelumnya.

Soalan saya, disebabkan ini dia tidak lagi sembahyang dan saya risau bagaimana hukum bagi orang yang dalam keadaan sebegini? Bolehkah kami anak beranak qadha’ untuknya? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami nyatakan terlebih dahulu takrif penyakit Alzheimer. Alzheimer merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukanlah sejenis penyakit berjangkit. Penyakit Alzheimer adalah keadaan di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri. Penyakit Alzheimer bukannya `nyanyuk' yang sekadar satu proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang amat menyeksakan dan perlu diberikan perhatian.

Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk (dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal. Keadaan ini amat membebankan bukan saja kepada si penghidapnya, malah ahli keluarga yang menjaga. Penyakit Alzheimer yang menurunkan fungsi memori ini juga menjejaskan fungsi intelektual dan sosial penghidapnya. Biasanya, ahli keluarga hanya datang membawa pesakit berjumpa doktor apabila mereka sudah tidak tahan dengan gejala pesakit. Hingga kini, punca sebenar penyakit ini tidak diketahui. Tetapi, ia bukanlah disebabkan penuaan. Bagaimanapun, saintis berpendapat, ia dikaitkan dengan pembentukan dan perubahan pada sel-sel saraf yang normal menjadi serat.

Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia. Menurut Pakar Psikogeriatrik, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Esther Ebeenezer: Bermula pada usia 65 tahun, seseorang mempunyai risiko lima peratus menghidap penyakit ini dan risiko ini meningkat dua kali ganda setiap lima tahun. Menurutnya lagi, sekalipun penyakit ini dikaitkan dengan warga tua, namun sejarah membuktikan bahawa pesakit pertama yang dikenal pasti menghidap penyakit ini ialah wanita dalam usia awal 50-an.

[1]

Menurut informasi kesihatan yang disunting oleh Dr. Tania, tahap penyakit ini terbahagi kepada tiga iaitu tahap pertama atau permulaan, tahap pertengahan dengan terdapat ciri-cirinya yang mana ketika itu ia perlu dibantu untuk melakukan sesuatu. Jika tahap ini iaitu yang pertama dan kedua, kami berpendapat, kewajipan solat masih lagi perlu dilakukan dengan bantuan kaum keluarga atau rakan bagi memudahkannya melakukan ibadat solat. Adapun tahap yang ketiga iaitu tahap akhir seperti:

  • Kesukaran makan dan menelan.
  • Kesukaran untuk mengubah posisi atau bergerak tanpa bantuan.
  • Penurunan atau kenaikan berat badan yang drastik.
  • Sering buang air besar tidak disengaja.
  • Kesukaran untuk berkomunikasi.
  • Perubahan emosi dan sifat.
  • Tidak mampu lagi melakukan aktiviti normal akibat hilangnya ingatan mengenai tahap melakukan aktiviti seharian seperti mandi, makan, dan buang air besar.

Dalam mendapatkan kepastian dengan lebih baik, maka kami cadangkan untuk dirujuk kepada pakar-pakar. Insya Allah, kami sendiri akan merujuk kepada pakar-pakar bagi mendapatkan maklumat yang paling baik dan tepat dalam menentukan hukum. Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah menyatakan, perlunya merujuk kepada ahl al-ikhtisas dalam bidang yang hendak difatwakan kerana sudah pasti akan mendapat sebuah maklumat yang jelas dan tepat. Ini selaras dengan kaedah:

الحكمُ على الشَّيءِ فَرعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.

Penyakit ini kami kategorikan sebagai hampir kepada golongan ma’tuh atau nyanyuk. Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”

Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)

Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/570). Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 2/426)

Dalam riwayat al-Bukhari menyebut, Amru bin Maimun al-Audi berkata: Adalah Sa’d mengajar anak-anaknya beberapa kalimat doa sebagaimana seorang guru mengajar murid-muridnya menulis dengan katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW sentiasa meminta berlindung daripada perkara-perkara ini selepas selesai solat dengan berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Maksudnya: Ya Allah, Sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu dari sifat penakut dan aku berlindung dengan-Mu dari aku dikembalikan kepada tahap yang amat tua dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah dunia dan aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur.

Riwayat al-Bukhari (2822)

Wajah istidlal di sini, perkataan “وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ” yang memberi maksud “aku berlindung dengan-Mu dari aku dikembalikan kepada tahap yang amat tua.”

Syeikh al-Mubarakfuri telah menukilkan daripada al-'Aini, salah seorang pensyarah Sahih Bukhari yang berkata: Iaitu dalam keadaan al-kharaf (الخرف) di mana ia seperti keadaan awalnya pada zaman kanak-kanak kecil, do'if dari segi kekuatan dan lemah dari segi akal serta kurang faham. Dikatakan juga, “أرذل العمر” dengan paling rendah keadaannya iaitu amat tua dan da'if sehingga sukar untuk menunaikan segala kefarduan. Begitu juga untuk berkhidmat pada dirinya sendiri seperti membersihkannya (mandi dan bersih dari qadha hajat) sehingga menjadi beban kepada keluarganya yang akhirnya mereka bercita-cita agar ia mati. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, 10/14)

Menurut Ibn Manzur: al-Kharaf (الخرف) ialah inkarnya akalan sama ada lemah atau hilang dengan sebab tua atau sakit. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/338)

Setelah menekuni pendapat para ulama’ termasuk dalam fatwa Islamweb (no. 44056 dan juga 37606), kami dapati bahawa orang yang kharaf dan junun, hukumnya adalah sama. Orang yang dalam keadaan kharaf (alzheimer), tidak dikira taklif ketika dalam keadaan ingatannya tidak stabil.

Jika sekiranya sampai kepada tahap hilang ingatan, maka tiada syak lagi hukumnya tidak wajib solat. Walaupun begitu, memberi nasihat dan mengajak solat serta memimpin ke arah solat adalah tanggungjawab keluarga yang sudah pasti diberi pahala.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,

(Surah al-Baqarah: 286)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)

Isu qadha’ solat oleh si anak kepada bapa yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia sepertimana yang kami nyatakan dalam banyak jawapan kami adalah tidak dibolehkan. Ini kerana solat adalah ibadat badaniyyah yang diwajibkan kepada seseorang itu tanpa nas menunjukkan pergantian oleh orang lain seperti ibadat puasa yang boleh diganti. Justeru, lebih baik kaum keluarga bersedekah untuknya dan cuba menjaganya dengan sebaik mungkin kerana dia merupakan ujian kesolehan anak-anak dalam berinteraksi dengan orang tua. Semoga keluarga anda berjaya untuk menyantuninya seterbaik mungkin.

Berkenaan dengan orang yang ditimpa sakit seperti ini (alzheimer), Islam memberi rukhsah mengikut kemampuannya. Kami kemukakan di sini beberapa cadangan:

  • Ajaklah mereka solat dengan penuh kasih sayang tanpa memarahi. Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

(Surah Taha: 132)

  • Ingatlah penyakit ini merupakan ujian, sementelahan lagi dalam usia yang panjang. Mudah-mudahan ia tetapi akan diberi pahala kerana amalan dilakukan pada masa sihatnya. Abu Musa R.A banyak kali berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, maka ditulis baginya dalam ibadat seperti yang dilakukan pada masa mukim dan juga sihat.

Riwayat al-Bukhari (2996)

  • Begitu juga, usia yang panjang yang diisi dengan acara ibadat walaupun penuh keuzuran adalah antara orang yang baik. Hal ini sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Busr, berkata bahawa seorang Badwi bertanya: “Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Jawab Rasulullah SAW:

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ

Maksudnya: Sesiapa yang usianya panjang dan baik amalannya.

Riwayat al-Tirmizi (2329).
Beliau berkata, hadis hasan.

  • Layani mereka dengan penuh kasih sayang kerana emosi ketika itu mudah terasa dan tidak stabil. Justeru, dengan ehsan yang tinggi sebagaimana arahan Allah terutamanya apabila yang ditimpa penyakit tersebut adalah ibu bapa, maka ia lebih aula lagi. Firman Allah SWT:

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa,

(Surah al-Nisa’: 36)

Khulasahnya, jika penyakit Alzheimer pada tahap pertama dan kedua yang masih boleh ingat dan mampu dengan bantuan, maka kewajipan solat tetap berlaku ke atasnya. Sebaliknya, jika berada pada tahap ketiga atau akhir sehingga kelupaan yang parah dan ingatan yang amat lemah sehingga menuju ke arah tidak ingat apa-apa, maka ketika itu ia dianggap sebagai ma’zur (yang diuzurkan dan tidak ditaklifkan). Semoga Allah mengampuni pesakit Alzheimer yang berada pada tahap ini sehingga amat lemah dan tidak mampu lagi untuk solat kerana kelupaan yang parah.

Akhir sekali, mudah-mudahan kita diberi kekuatan dan pertolongan oleh Allah SWT di dalam berbuat baik kepada kedua ibubapa kita sehinggalah mereka kembali ke pangkuan-Nya. Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak kita semua untuk sama-sama mendoakan kerahmatan dan juga keampunan kepada kedua ibubapa kita.

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah al-Isra’: 24)

 

 Nota Hujung:

[1] https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyakit_Alzheimer