Soalan:
Assalamualaikum wrm. wbt.
Boleh Tuan Mufti beri pandangan tentang hukum melakukan rawatan kosmetik menggunakaan suntikan plasenta manusia dan kambing biri-biri? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Placenta
Kamus Dewan Edisi Keempat memerikan plasenta sebagai “organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim membekalkan makanan, termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan juga mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.” Ia juga disebut sebagai tembuni dan uri.
Dalam ilmu sains hari ini, plasenta dikaji sebagai satu struktur pengantara bagi organisme hos yang hamil dan fetus kandungannya. Plasenta adalah organ sementara yang penting dalam proses kehamilan manusia dan sebahagian besar mamalia. Plasenta manusia merupakan hasil penempelan fetus pada tahap trofoblast melalui bahagian cytotrofoblast pada dinding rahim ibu. Pertumbuhan trofoblast di dinding rahim menghasilkan medium pengantara yang memainkan fungsi saling tukar darah antara fetus dengan ibunya. Ini termasuklah penghantaran molekul protein paling kecil iaitu amino asid, glukos, garam mineral, selain gas-gas penting seperti oksigen dan karbon dioksida. Kesemua ini berlaku daripada plasenta melalui tali pusat bayi yang juga membawa sel-sel stem dengan fungsinya yang pelbagai. Melalui tali pusat ini juga bahan buangan disalurkan daripada bayi kepada ibunya sebelum dinyah keluar daripada tubuh.
Selain membawa fungsi pembekal zat nutrisi, plasenta juga berfungsi sebagai perembes hormon. Ini amat penting untuk memastikan kelangsungan kehamilan yang sihat khususnya apabila fungsi endokrin ini tidak lagi dijalankan oleh ovari ibu apabila kuncupnya bahagian korpus luteum pada minggu kelapan kehamilan.
Produk Plasenta dan Kegunaannya
Adakah plasenta memiliki faedah kesihatan? Perkara ini masih dibincangkan dan dikaji oleh pakar-pakar perubatan. Ini kerana bahagian yang digunakan itu berbeza-beza, seperti keseluruhan plasenta, hormon estrogen and progesteron, cecair amniotik dan stem cell (sel induk), yang diekstrak daripada plasenta. Berikut kami nyatakan sedikit kajian literatur berkenaan penggunaan plasenta dalam bidang perubatan.
Sehingga hari ini, dapatan saintifik yang kukuh bagi khasiat plasenta sebagai bahan ubatan adalah sedikit sekali. Ini lantaran kesukaran mengenalpasti bahan biologi aktif dalam menghasilkan kesan perubatan tertentu, yang pula perlu melepasi piawai emas praktis perubatan iaitu percubaan klinikal rawak. Bagaimanapun beberapa kertas kajian telah diterbitkan berkaitan khasiat plasenta ini bersama potensi penggunaannya. Selain daripada beberapa kajian dari Korea dengan penggunaan plasenta yang meluas, percubaan ke atas haiwan mendapati plasenta mempunyai kesan terhadap pemulihan kulit jika digunakan dengan formulasi topikal iaitu terus ke atas kulit. Ia juga didapati berkesan dalam kajian lainnya bagi menangani masalah sindrom menopaus dan radang hati berlemak. Bagaimanapun, risiko penggunaan produk ini seperti penyakit prion dan jangkitan virus seperti virus hepatitis terus ada dan ia menjadi tanggungjawab pengeluar untuk memastikan penggunaannya selamat kepada kelompok pengguna.
Produk plasenta boleh didapati dalam bentuk suntikan, tablet, larutan minuman, makanan kering, dan juga tisu plasenta yang disejukbekukan. Sumber bagi plasenta ini boleh datang daripada plasenta manusia sendiri, plasenta biri-biri, juga plasenta khinzir. Kebanyakan produk ini samada digunakan di peringkat rawatan perubatan tahap ketiga (berpakar) atau dibeli sebagai produk makanan tambahan. Berikut beberapa kertas kajian pengggunaan ekstrak plasenta bagi khasiat penyembuhan kulit dan luka; peningkatan tahap kesihatan umum; rawatan radang hati; dan rawatan sindrom menopaus.
- Jurnal Antarabangsa Farmakologi Asas dan Klinikal, IJBCP melaporkan pada Julai 2017 bahawa dari sudut pemulihan luka, ekstrak plasenta adalah setanding dengan produk berasaskan nanosilver iaitu sejenis bahan penyediaan rawatan luka yang lazim digunakan. Kajian ini mendapati, dalam tempoh 21 hari, kadar pengecutan bagi luka yang dikenakan ke atas spesis arnab dan kemudiannya dirawat dengan esktrak plasenta menyamai kemampuan penyembuhan produk nanosilver. Pertambahan kolagen dan tisu kesembuhan (tisu granulasi) didapati bertambah secara seiring.[1]
- Dalam satu kajian kadar pemulihan luka yang lebih awal iaitu pada Julai 2010, dapatan terbitan “Annals of Plastic Surgery” menunjukkan peningkatan signifikan kadar pemulihan luka bagi spesis tikus dengan suntikan ekstrak plasenta berbanding tanpanya. Pengkaji yang terlibat mencadangkan keterkaitan antara dua faktor iaitu faktor pertumbuhan transformasi-beta, TGF-beta dan faktor pertumbuhan endotelial vaskular, VEGF sebagai bahan biologi aktif kepada peningkatan kadar pemulihan luka.[2]
- Jurnal Antrabangsa Dermatologi melaporkan pada November 2002 bahawa ekstrak plasenta mempunyai potensi mitogen (perangsang pertumbuhan sel) dan melanogen (perangsang pertumbuhan kulit “biru” normal) yang mantap bagi penyakit kulit vitiligo. Kajian yang juga dijalankan ke atas spesis tikus ini mendapati sel kulit berpindah daripada ‘fasa-telo’ yang panjang, dikenalpasti berpunca daripada penuaan, kepada ‘fasa-ana’. Perkembangan ini menghasilkan kulit ‘biru’ normal dengan umbi rerambut hitam yang baru, bersama penghasilan pusat melanogen yang baru. Perkembangan status kulit ini dikenalpasti bermula daripada dua bahan biologi aktif iaitu protein endothelin-1 (ET1) dan hormon adrenokortikotropik (ACTH) yang, dalam kes ini, menjana perkembangan sel melanin. Perkembangan sel malanin ini bergantung kepada kadar kepekatan ekstrak plasenta yang digunakan. Kajian ini membuktikan wujudnya potensi ekstrak plasenta sebagai rawatan bagi kes vitiligo meski memerlukan percubaan lanjut ke atas manusia.[3]
- Satu kajian yang diterbitkan oleh PLOS ONE pada Jun 2014 telah menemui satu lagi bahan biologi aktif yang berfungsi merangsang kesihatan kulit. Menggunakan esktrak plasenta khinzir, para pengkaji menemui sejenis protein iaitu alfa feto-protein, AFP sebagai mempunyai khasiat penyahoksidaan. Selain merangsang pertumbuhan sel keratin, AFP juga dapat merendahkan kadar apoptosi iaitu kematian sel kendiri melalui perungkaian DNA. Bahan biologi aktif ini bagaimanapun tidak tahan haba dan memerlukan molekul pembawa yang khusus. Di hujung kertas kajian ini, para pengkaji mencadangkan kebarangkalian penggunaan ekstrak plasenta bagi tujuan pemeliharaan kulit.[4]
- Dalam satu kajian kes alahan hypersensitiviti sentuhan (contact hypersensitivity, CHS), para pengkaji dari Jepun dan Amerika Syarikat mendapati pada tahun 2010 bahawa ekstrak plasenta mempunyai kesan terhadap proses keradangan ekoran tindak balas imun berdepan suatu agen alahan. Dalam kajian ini, spesis tikus yang digunakan menerima ekstrak plasenta yang dibenam di bawah kulit melalui pembedahan kecil sebelum didedahkan kepada agen alahan. Kajian mendapati kelompok tikus dengan ekstrak plasenta yang dibenam di bawah kulit tidak mengalami tindak balas hypersensitiviti yang teruk sebagaimana yang dialami kelompok tikus tanpa benaman ekstrak plasenta. Sel-sel darah putih T pembantu (Helper T cell) dan biokimia penggerak sel keradangan (cytokine) yang mencetuskan tindak balas keradangan didapati berkurangan dan berjaya direndahkan. Bahkan dapatan juga mencadangkan kebarangkalian ekstrak plasenta berupaya menjadikan sel darah putih memori (memory T cell) tidak lagi bertindak balas terhadap agen alahan seperti sebelumnya. Kertas kajian ini menyimpulkan bahawa ekstrak plasenta mempunyai potensi penyembuhan dan keupayaan pengubahsuaian imuniti bagi kes hypersensitiviti sentuhan meski dengan keterdedahan berulang oleh agen alahan.[5]
Terdapat sejumlah kecil kajian ekstrak plasenta yang dijalankan langsung ke atas manusia. Empat kajian yang disebutkan berikutnya ini dijalankan di Korea dan satu kajian di Jepun. Bagaimanapun kajian-kajian ini tidak memfokuskan kepada aspek kecantikan, tetapi lebih kepada kesihatan umum, rawatan radang hati berlemak, dan rawatan sindrom menopaus.
- Kajian yang pertama diterbitkan oleh Perubatan Alternatif dan Komplementari Berasaskan Bukti (Evidence-based Complementary and Alternative Medicine) pada Julai 2011 bagi mengkaji keberkesanan ekstrak plasenta terhadap simptom kelesuan. Kajian ini mempunyai seramai 294 orang peserta di mana setiap peserta didapati mempunyai sindrom kelesuan kronik (chronic fatigue syndrome) dan diberikan larutan ekstrak plasenta untuk diambil secara oral sekali sehari selama empat minggu. Sindrom kelesuan diawasi selama tempoh kajian dalam beberapa pertemuan menggunakan Senarai Semak Kekuatan Individu (Checklist for Individual Strength, CIS). Di hujung kajian, didapati kelompok yang menerima ekstrak plasenta menunjukkan penurunan skor CIS, langsung memberikan implikasi positif pengurangan kadar kelesuan. Terdapat perubahan ketara yang signifikan antara kelompok yang menerima esktrak tersebut berbanding kelompok yang hanya menerima plasebo.[6]
- Kajian kedua juga dijalankan di Korea dan diterbitkan pada Feb 2012 oleh badan penyelidik yang sama. Seramai 39 peserta berumur 65 tahun ke atas telah menjalani kajian di mana mereka samada menerima suntikan total 32ml ekstrak plasenta dalam tempoh 8 minggu bagi satu kumpulan, dan sekumpulan lagi hanya menerima plasebo. Menggunakan skor KoHSME (Korean Health Status Measure for the Elderly), didapati kelompok yang menerima ekstrak plasenta menunjukkan pertambahan kualiti hidup seperti fungsi fizikal, fungsi seksual, dan persepsi kesihatan umum di hujung tempoh kajian manakala kelompok plasebo tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan. Skor kemurungan, dan skor kekerapan kesakitan juga didapati berkurangan bagi kelompok dengan suntikan ekstrak plasenta.[7]
- Kajian ketiga pula diterbitkan oleh Buletin Farmaseutikal dan Biologi (Biological and Pharmaceutical Bulletin) pada tahun 2014 untuk melihat keberkesanan dan keselamatan ekstrak plasenta manusia bagi penyakit radang hati berlemak jenis alkohol dan bukan alkohol (alcoholic and non-alcoholic steatohepatitis). Kadar enzim alanine transaminase, ALT yang mewakili kadar kerosakan hati diawasi selama enam minggu bagi sejumlah 154 pesakit. Sekumpulan pesakit diberikan ekstrak plasenta manusia dalam formulasi suntikan sebanyak lima kali seminggu, manakala sekumpulan peserta lagi menerima rawatan konvensional menggunakan ekstrak hati dengan campuran bahan flavin adenin dwi-nukleotid. Tiada tindak balas buruk yang serius berlaku sepanjang tempoh kajian, dan keberkesanan ekstrak plasenta manusia adalah menyamai kesan ekstrak hati bagi menurunkan kadar keradangan hati berdasarkan penurunan signifikan enzim ALT. Dicadangkan di hujung kajian bahawa ekstrak plasenta adalah setanding dengan ekstrak hati bagi rawatan radang hati berlemak jenis alkohol dan bukan alkohol.[8]
- Bagi melihat kesan ekstrak plasenta terhadap sindrom menopaus, sekumpulan pengkaji dari Korea telah menerbitkan dapatan mereka pada Mac 2008 dalam Jurnal Persatuan Menopaus Amerika Utara (Journal of The North American Menopause Society). Dalam kajian ini, kelompok wanita dengan suntikan ekstrak plasenta didapati mengalami pengurangan signifikan bagi simptom menopause dan kadar hormon estradiol mereka, iaitu sejenis estrogen, didapati bertambah berbanding kelompok yang sekadar menerima plasebo.[9] Dalam kajian yang hampir sama oleh sekumpulan pengkaji Jepun pada tahun 2017 dan diterbitkan oleh Epub Climacteric, mereka mendapati kelompok wanita yang menerima ekstrak plasenta khinzir secara oral mengalami pengurangan simptom menopaus meski tiada pertambahan hormon estradiol-2 dan hormon perangsang folikular, FSH.[10]
Dari sudut yang lain, satu laporan telah dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, CDC pada 30 Jun 2017 berkaitan kes seorang bayi baru lahir (neonat) dengan jangkitan Streptokokus Kumpulan B, GBS. Jangkitan yang berlaku pada hari kelima kelahiran pada awalnya disyaki berpunca daripada jangkitan GBS dari faraj ibu meski hasil kultur dan sensitiviti sampel sapuan faraj adalah negatif. Dapatan lanjut menunjukkan wanita tersebut mengambil pil plasenta yang mengandungi bakteria GBS.[11]
Produk berasaskan plasenta kebanyakannya adalah dalam bentuk ekstrak berbanding bentuk tisu asalnya. Bagaimanapun, penggunaan tisu plasenta bagi tujuan perawatan khususnya sebagai graf kulit ada digunakan. Ia hanya digunapakai sebagai langkah akhir dalam kes-kes luka kronik. Produk seperti Grafix menunjukkan potensi besar tisu plasenta dalam membantu pemulihan luka kronik yang tanpanya kebarangkalian untuk sembuh adalah sangat rendah.[12]
Produk Plasenta Dalam Laporan Media
Agensi Makanan dan Dadah, FDA Amerika Syarikat pada September 2013 telah mengarahkan produk tisu plasenta keluaran produk MiMedx ditarik semula daripada pasaran. Syarikat yang berpengkalan di Georgia tersebut mengeluarkan produk berasaskan tisu plasenta yang diproses menjadi serbuk dan dijual sebagai produk berformulasi suntikan. Menafikan keperluan melakukan kajian, syarikat tersebut mengatakan plasenta ialah produk semulajadi maka ia selamat dalam tubuh manusia, langsung menyatakan bahawa ia tidak memerlukan kajian dan proses pengubahsuaian. FDA tidak bersetuju, menyatakan sebarang dakwaan bahawa produk tisu plasenta mempunyai kesan tertentu perlu disahkan oleh agensi tersebut. Ia juga menambah bahawa pada masa tersebut tiada produk tisu plasenta telah diluluskan untuk pasaran.[13]
Sehingga hari ini, laporan media mutakhir seperti di Kanada[14] dan Emiriah Arab Bersatu[15] melaporkan amaran daripada pihak berautoriti agar lebih berhati-hati terhadap penggunaan produk berasaskan plasenta, terutama plasenta manusia. Produk yang berada dalam pasaran hari ini dilabel kebanyakannya sebagai makanan tambahan dan mendakwa mempunyai khasiat praktikal tertentu meski produk tersebut tidak dibuktikan secara saintifik.
Produk berasaskan plasenta, samada tisunya atau ekstraknya, mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan pada masa hadapan. Bagaimanapun setakat hari ini potensi tersebut masih terhad kepada kegunaan dalam makmal dan aplikasi klinikal yang sedikit. Tidak ada produk komersil berasaskan plasenta yang dibuktikan berkesan dan dijamin keselamatannya. Sehingga dua perkara ini diselesaikan, penggunaan produk berasaskan plasenta tanpa nasihat doktor adalah berbahaya kepada pengguna dan perlu dielakkan.
Ubat-Ubatan Daripada Sumber Yang Suci
Di dalam Islam, antara syarat untuk berubat ialah mestilah sumber ubat itu adalah suci. Jika ubat atau rawatan itu menggunakan najis, maka asalnya adalah diharamkan kerana Hukum Syarak melarang mengambil manfaat daripada najis, jika terdapat bahan suci lain yang boleh menggantikan. Firman Allah Taala:
وَمَا لَكُمْ أَلاَّ تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلاَّ مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ وَإِنَّ كَثِيراً لَيُضِلُّونَ بِأَهْوَائِهِمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ
Maksudnya : "Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya."
(Surah al-An’am : 119)
Abu Darda’ RA meriwayatkan sabda Rasulullah ﷺ:
إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram”.
Riwayat Abu Dawud (no.3874)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ
Maksudnya: “Rasulullah ﷺ melarang daripada berubat dengan ubat yang kotor”
Riwayat Abu Dawud (no.3870)
Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` (9/53) pada menyatakan keharusan berubat dengan najis: “Dan dalil mazhab kami (Syafie) adalah dengan hadis Uraniyyin[16] yang diriwayatkan dalam al-Sahihain[17] seperti yang telah disebut sebelum ini, dan keharusan itu tertanggung pada keperluan mereka meminumnya atas tujuan berubat, seperti yang zahir daripada hadis. Sedangkan hadis “tidak dijadikan benda yang haram itu penyembuhan bagi kamu”[18] ditanggung maksudnya pada ketika tiada keperluan terhadap najis tersebut dengan keadaan ada benda lain (yang suci) yang boleh memenuhi keperluan itu (seperti lebih cepat sembuh dan kurang kesan sampingan) maka jadilah najis itu sama kedudukannya dengan ubat-ubatan yang suci. Begitulah jawapan bagi dua hadis (Abu Dawud) yang terakhir tadi. Berkata al-Baihaqi: Dua hadis ini jika sahih, maka hendaklah ditanggungkan kepada maksud larangan berubat dengan benda yang memabukkan dan berubat dengan benda haram dalam keadaan tidak terdesak, untuk menghimpunkan (yakni mengharmonikan) hadis-hadis itu dengan hadis Uraniyyin.”
Berikut kami nyatakan hukum kesucian bahan-bahan tersebut menurut Syarak:
- Plasenta manusia adalah suci, manakala plasenta haiwan adalah najis. Merujuk kepada kitab Hasyiah Qalyubi wa Umairah(1/395), telah berkata pengarang: “Tembuni (uri) yang dinamakan sebagai al-khalas (tembuni kecil) hokumnya seperti anggota (anak) kerana ia terpisah daripada anak tersebut. Maka ia sebahagian darinya. Adapun tembuni yang di dalamnya anak (pembalut anak) maka ia bukan sebahagian daripada ibu dan bukan juga sebahagian daripada anak.” Begitu juga dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi (1/101): “tembuni (uri) yang membaluti anak maka ia dihukumkan sebagai suci (jika berasal) daripada manusia, dan najis selain daripadanya.”
- Cecair amniotik atau air ketuban adalah najis. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (1/301): “Dan apa yang keluar dari bahagian batin faraj yang lebih dalam maka ia adalah najis (kecuali janin) secara pasti, seperti setiap apa yang keluar daripada batin seperti air yang keluar bersama dengan anak yang dilahir.”
- Hormon estrogen, progesterone dan stem cell, jika tidak bau seperti nanah, adalah suci, jika diambil daripada manusia dan haiwan yang halal dimakan setelah disembelih. Ia sama seperti hukum peluh, air liur dan danur. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (2/558) oleh Imam al-Nawawi.
Haram menggunakan najis bagi tujuan perubatan dan kecantikan jika tidak terdapat keperluan dan wujud alternatif bagi rawatan tersebut. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-30: Hukum Vaksin Daripada Perspektif Islam.
Kemuliaan Diri Manusia
Selain daripada faktor kesucian, faktor kemuliaan diri manusia perlu diambilkira dalam mengambil ubat-ubatan berunsurkan plasenta. Terdapat sebahagian budaya memakan plasenta kerana mengikut tabiat haiwan. Dikatakan bahawa diet ini bagus kerana akan mengembalikan kekuatan dan kesihatan kepada ibu yang baru bersalin. Pendapat ini bersifat kontroversi dan masih tidak dapat dibuktikan, bahkan kajian sebahagian pakar tidak menggalakkan orang mengamalkannya kerana terdapat potensi mudarat kepada kesihatan.[19] Daripada segi hukum, haram memakan anggota badan manusia kerana manusia dimuliakan Syarak daripada dimakan. Firman Allah Taala:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami muliakan keturunan Adam dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan kami telah berikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.”
(Surah al-Isra': 70)
Allah ﷻ berfirman dalam al-Quran:
أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
Maksudnya: “Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”
(Surah al-Hujurat : 12)
Berkata Imam Fakhrurazi dalam Mafatih al-Ghaib (28/110): “Maka jika tidak elok pada aqal memakan daging manusia maka tidak elok juga ‘menggigit’ maruah mereka, secara lebih utama, kerana hal itu lebih menyakitkan.”
Dengan sebab itu, Lajnah al-Ifta Jordan mengeluarkan fatwa (no.2796) bahawa haram menggunakan plasenta manusia bagi tujuan kecantikan dan perubatan. Namun, pengecualian diberi bagi tujuan perubatan jika tiada alternatif lain dengan fungsi yang sama keberkesanannya.[20] Mereka menuqilkan kenyataan Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (6/160): “Bagi orang yang berada dalam keadaan darurat dibenarkan untuknya memakan bahagian manusia yang mati apabila tiada bangkai lain selainnya kerana kemuliaan orang yang hidup lebih besar berbanding kemuliaan mayat.” Ini selaras dengan keputusan Persidangan Majma` al-Fiqh al-Islami di bawah OIC atau Pertubuhan Kerjasama Islam yang bersidang pada muktamar kali ke-13 pada tahun 1992 bahawa penggunaan plasenta bagi tujuan perubatan adalah diharuskan. Rujuk al-Qararat al-Majma` al-Fiqh al-Islami bi Makkah al-Mukarramah (hlm. 283).
Adapun bagi jika sumber plasenta itu adalah daripada haiwan yang halal dan telah disembelih secara syarie, maka Lajnah al-Ifta’ Jordan dalam fatwa (no.2797) mengharuskannya bagi tujuan perubatan dan kecantikan.[21] Namun mereka mensyaratkan jika sumber itu daripada sumber najis, maka ia hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan dan bukan kecantikan.
Tarjih
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa:
- melakukan rawatan kosmetik dengan menggunakan plasenta manusia adalah diharamkan bagi mengelakkan amalan eksploitasi yang mencabul kemuliaan tubuh badan manusia.
- Namun jika terdapat keperluan perubatan seperti bagi merawat penyakit, maka hukum merawat dengan menggunakan plasenta manusia adalah diharuskan kerana terdapat darurat dan hajat.
- Adapun penggunaan plasenta haiwan yang halal dan disembelih dengan cara yang Syarie, maka boleh digunakan bagi tujuan perubatan dan kecantikan. Lihat Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-265 : Hukum Menyuntik Kolagen Pada Tubuh Badan Untuk Kelihatan Cantik Di Hadapan Suami untuk melihat garis panduan yang telah kami tetapkan.
- Penggunaan plasenta haiwan yang bernajis adalah haram untuk tujuan kosmetik atau kecantikan, tetapi harus untuk tujuan perubatan atas faktor darurat dan hajat. Lihat garis panduan di dalam Al-Kafi #635 : Makan Daging Buaya Bagi Tujuan Perubatan.
Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada semua.
Nota hujung:
[1] Umamaheshwara Raju S. et al. 2017. Comparative study of topical application of nanosilver and human placental extract on wound healing in rabbits. International Journal of Basic and Clinical Pharmacology. 6(8). Dipetik pada 4 Januari 2019. https://www.ijbcp.com/index.php/ijbcp/
[2] Hong JW et al. 2010. The effect of human placenta extracct in a wound healing model. Annals of Plastic Surgery. Jul;65(1):96-100. Dipetik pada 4 Januari 2019. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20548228
[3] Pal P et al.2002. A human placental extract: in vivo and in vitro assessments of its melanocyte growth and pigment—induccing activities. International Journal of Dermatology. 41(11):760-767. Dipetik pada 4 Januari 2019. https://europepmc.org/abstract/med/12452998
[4] Hye yeon Choi et al. 2014. Alpha-Fetoprotein, Identified as a Novel Marker for the Antioxidant Effect of Placental Extract, Exhibits Synergistic Antioxidant Activity in the Presence of Estradiol. PLOS ONE Dipetik pada 4 Januari 2019. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0099421
[5] Youn Son Kim et al. 2010. Preventive and therapeutic potential of placental extract in contact hypersensitivity. International Immunopharcology. 10(10): 1177-1184. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://www.ifctp.org/download/Placenta%20Extract%20Therapy/Preventive%20therapeutic%20potential%20of%20placenta.pdf
[6] Kang-Kon Lee et al. 2011. Efficacy and Safety of Human Placental Extract Solution on Fatigue: A Double-Blind, Randomized, Placebo-Controlled Study. Volume 2012. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://dx.doi.org/10.1155/2012/130875
[7] Mihee Kong and Sat Byul Park. 2012. Effect of Human Placental Extract on Health Status in Elderly Koreans. Evidence-based Complementary and Alternative Medicine. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://10.1155/2012/732915
[8] Jin Young Choi et al. 2014. Efficacy and Safety of Human Placental Extract for Alcoholic and Nonalcoholic Steatohepatitis: An Open-Label, Randomized, Comparative Study. Biological and Pharmaceutical Bulletin. 37(12): 1853-1859. Dipetik pada 4 Januari 2019. https://doi.org/10.1248/bpb.b13-00979
[9] Kong, Mi-Hee et al. 2008. Effect of human placental extract on menopausal symptoms, fatigue, and risk factors for cardiovascular disease in middle-aged Korean women. Menopause: the Journal of North Americaan Menopause Society. 15(2); 296-303. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://10.1097/gme.0b013e3181405b74
[10] Kitanohara M et al. 2017. Effect of porcine placental extract on the mild menopausal symptoms of climacteric women. Climacteric: PubMed. 20(2):144-150. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://10.1080/13697137.2017.1279140.
[11] Genevieve l. Buser et al. 2017. Notes from the Field: Late-Onset Infant Group B Streptococcus Infection Associated with Maternal Consumption of Capsules Containing Dehydrated Placenta. Centers for Disease Control and prevention, CDC. 66(25); 677-678. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://dx.doi.org/10.15585/mmwr.mm6625a4
[12] Gary W. Gibbons. 2015. Grafiz, a Cryopreserved Placental Membrane, for the treatment of Chronic/Stalled Wounds. Advances in Wound Care. 4(9): 534-554. Dipetik pada 4 Januari 2019. http://dx.doi.org/10.1089/wound.2015.0647
[13] Sydney Lupkin. 2013. FDA Cracks Down on Placenta Products. ABC News. Dipetik pada 4 Januari 2019. https://abcnews.go.com/Health/fda-cracks-placenta-/story?id=20298827
[14] Beware of consuming human placenta products. Health Canada. 2018. Dipetik pada 4 Januari 2019. https://www.ctvnews.ca/health/beware-of-consuming-humanplacenta-products-health-canada-1.4194638
[15] Warning: Deer Placenta extract harmful for human consumption. 2018. Gulf News. Dipetik pada 4 Januari 2019. https://gulfnews.com/uae/health/warning-deer-placentaextract-harmful-for-human-consumption-1.2186529
[16]Lihat perbahasan hadis itu pautan berikut: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2767-irsyad-al-fatawi-siri-ke-268-hukum-meminum-air-kencing-unta-bercampur-dengan-susu-unta?highlight=WyJ1bnRhIl0=
[17] Hadis yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim lebih kuat pendalilan dengannya daripada sudut riwayat berbanding hadis dalam Sunan Abi Daud. Wallahua’lam.
[18] Daripada al-Zuhri bahawa Abdullah bin Mas’ud berkata:
إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuhan kamu pada perkara yang Dia haramkan ke atas kamu.”Riwayat al-Bukhari, Bab Meminum al-Halwa (benda manis) dan Madu.
[19] https://www.webmd.com/baby/news/20150604/new-moms-gain-no-benefit-from-eating-placenta-studies-show#1
[20] http://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2796#.XC8WiVwzaM9
[21] http://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2797#.XC8WelwzaM9