Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-334 : BOLEHKAH MENGGUNAKAN MIMPI SEBAGAI HUJAH DAN MEMPERCAYAI TAKWILANNYA?

if334.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Adakah dibolehkan seseorang itu menggunakan mimpi sebagai hujah dan mempercayai takwilannya?

Mohon penjelasan Tuan Mufti, terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Menurut Kamus Dewan, mimpi merupakan sesuatu yang seolah-olah dialami atau dilihat seorang sewaktu tidurnya. Ia merupakan hal keadaan yang biasa berlaku kepada manusia. Para ulama’ membahagikan mimpi kepada tiga bahagian berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Riwayat Ibn Majah (3907)

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الرُؤْيَا ثَلَاثَةٌ، فَرُؤْيَا صَالِحَة بُشْرَى مِنَ الله، وَرُؤْيَا تَحْزِين مِن الشَّيْطَان، وَرُؤْيَا مِمَّا يحدث المَرْء نَفْسه، فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُم مَا يُكْرِهُ فَلْيَقُمْ فَليُصَلِّ وَلَا يَحدث بِهَا الناس

Maksudnya: Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada Allah SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.

Hadith riwayat Muslim: (2263)

Justeru itu, dapatlah disimpulkan bahawa tiga bahagian mimpi tersebut ialah:

  • Mimpi yang baik dan benar (al-ru’ya al-hasanah): Ia adalah apa yang disifatkan Rasulullah SAW sebagai satu bahagian daripada kenabian Nabi Muhammad SAW.
  • Mimpi yang buruk dan dusta (al-ru’ya al-sayyi’ah): Ia adalah permainan tidur oleh syaitan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

إِنَّمَا النَّجْوَىٰ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيْسَ بِضَارِّهِمْ شَيْئًا إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.

(Surah al-Mujadilah: 10)

  • Mimpi disebabkan oleh adat bagi diri seseorang: Iaitu apa yang dilihat seseorang di dalam mimpi berkaitan apa yang dia disibukkan olehnya ketika dia sedang jaga. Hal ini contohnya seperti seorang yang biasa makan pada waktu tertentu, lalu dia tidur pada waktu itu maka dia bermimpi bahawa dia sedang makan. (Rujuk Tafsir al-Ahlam Li Ibn Siriin: 3-4)

MIMPI YANG BAIK

Allah SWT menjadikan mimpi sebagai salah satu daripada mukjizat kenabian yang dibenarkan oleh-Nya, sepertimana firman-Nya di dalam al-Quran:

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّـهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya).

(Surah al-Fath: 27)

Antara mimpi yang baik adalah mimpi yang dialami oleh para nabi-nabi, wali-wali Allah SWT dan orang-orang soleh. Ini sepertimana yang diceritakan di dalam al-Quran. Contohnya kisah Nabi Ismail AS dan Nabi Ibrahim AS. Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

(Surah al-Saaffat: 102)

Begitu juga, kisah Nabi Yusuf AS dan Nabi Yaakub AS. Allah SWT berfirman:

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

(Surah Yusuf: 4)

Hal ini juga boleh dilihat pada Nabi Yusuf AS yang berkata bahawa diberikan kelebihan oleh Allah SWT dengan ilmu untuk menafsirkan mimpi:

رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi.

(Surah Yusuf: 101)

Begitu juga, di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Riwayat al-Bukhari (7017)

Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW juga bersabda:

الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: Mimpi baik yang berasal dari seorang yang soleh adalah satu bahagian dari 46 juzuk kenabian.

Riwayat al-Bukhari (6893)

MIMPI YANG BURUK

Disamping itu, terdapat juga mimpi yang buruk dialami oleh seseorang manusia. Mimpi buruk ini merupakan permainan daripada syaitan yang ingin menimbulkan rasa tidak tenteram dalam diri manusia.

Dalam satu hadith Rasulullah SAW menyebutkan bahawa jika seseorang bermimpi sesuatu yang buruk meludah ke belah kirinya dan hendaklah membaca isti’azah. Rasulullah SAW bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لا تَضُرُّهُ

Maksudnya: Mimpi yang baik itu adalah daripada Allah SWT, adapun mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya.

Hadith riwayat al-Bukhari: (3292)

MIMPI SEBAGAI HUJAH

Mimpi berbeza hal dan keadaannya bagi setiap seorang yang bermimpi. Ia memerlukan takwil yang khusus kepada perkara tersebut. Ia boleh jadi datang daripada Allah SWT dan juga boleh jadi merupakan permainan daripada syaitan. Justeru itu, mimpi termasuk dalam dalil-dalil yang dikhilafkan oleh para ulama’ (al-adillah al-mukhtalafat fih) dan bersifat dzanniyyah. (Rujuk Mada Hujjiyatul Ru’ya Inda Usululiyyin: 88)

Begitu juga, tafsiran dan takwilan mimpi tersebut tidak boleh dijadikan hujjah kepada dirinya sendiri dan ke atas orang lain. Ini sama dengan kaedah menyebutkan bahawa:

لَا قِيَاسَ فِي الأَشْخَاصِ

Maksudnya: Tidak ada qiyas terhadap individu kepada individu yang lain (Rujuk Mada Hujjiyat al-Ru’ya Inda Usuliyyin: 86-88)

MEMPERCAYAI TAFSIRAN DAN TAKWIL MIMPI

Tafsir mimpi merupakan satu ilmu yang muktabar, yang mempunyai kaedah dan usulnya tersendiri. Sumber-sumbernya adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan juga berdasarkan qiyas dan tasybih bagi ayat-ayat al-Quran. Ia juga dinamakan sebagai ilm al-Ta’bir dan ilm al-Takwil.

Ia tidak boleh dipelajari oleh sebarangan orang kecuali golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT untuk mengetahui rahsia-rahsianya. Ini seperti yang disebutkan oleh Ibn Siriin dengan berkata:

لِذَا لَمْ يَكُن لِأَيِّ أَحَدٍ مِن النَّاسِ أَنْ يَخُوضُ فِي تَأْوِيلِ هَذَا الأَحْلَام وَ إِنَّمَا يَسْتَطِيعُ ذَلِكَ مَن آتَاهُ اللهُ الحِكْمَةَ وَالبَصِيرَةَ النَّافِذَة عَلَى اسْتِنْبَاط الرُّمُوزِ وَ رَبْطِهَا بِالوَاقِعِ مِن خِلَالِ عِلْمِهِ بِكِتَابِ اللهِ وَ سُنَّةِ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ وَ قُدْرَتِهِ عَلَى القِيَاس وَ التَشْبِيه

Maksudnya: Oleh sebab itu, tidak semua orang mampu untuk mendalami ilmu takwil mimpi ini. Hanyasanya yang mampu untuk melakukan perkara tersebut ialah sesiapa yang diberikan hikmah dan penglihatan yang halus oleh Allah SWT bagi mengistinbath simbol-simbol dan mengaitkannya dengan realiti berdasarkan ilmunya terhadap al-Quran, sunnah Rasulullah SAW serta kemampuannya untuk melakukan qiyas dan tasybih. (Rujuk Tafsir al-Ahlaam Li Ibni Siriin: 7)

Tambahan pula, tafsir dan takwil mimpi hendaklah datang daripada orang yang beramal soleh, bersikap jujur dan sentiasa berkata benar. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu berada dalam keadaan mengikut sunnah Rasulullah SAW seperti berwuduk sebelum tidur. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya: Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar pertuturannya.

Riwayat Muslim (6042)

Justeru itu, hukum mempercayai takwil atau tafsir mimpi adalah dibolehkan, namun hendaklah mengikut dhawabith yang berikut:

  • Tidak beriktikad dan yakin bahawa takwilan dan tafsiran itu seratus-peratus benar dan mustahil untuk berlaku sebaliknya. Ini kerana mimpi tidak mengisbatkan apa-apa dan hanya bersifat dzaniyyah. Disamping itu, hendaklah dia menyakini bahawa urusan seseorang itu di bawah kekuasaan Allah SWT yang melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya.
  • Hendaklah takwilan dan tafsiran mimpi tersebut tidak bertentangan dengan aqidah Islam dan tidak membawa kepada melanggar hukum-hakamNya yang telah sabit dengan dalil-dalil syarak.
  • Tafsir dan takwil berdasarkan kepada tafsiran yang benar dan dipercayai seperti kitab-kitab yang muktabar, orang-orang yang terkenal dengan kesolehan, keilmuan, jujur serta benarnya dia dalam berkata-kata. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَم تَكَد رُؤْيَا المُؤْمِن تَكْذِب

Maksudnya: Apabila telah hampirnya akhir zaman, maka hampir tidak ada mimpi orang mukmin yang tidak berlaku.

Hadith riwayat Muslim: (2263)

  • Tidak membawa kepada perkara yang buruk dan negatif seperti putus asa, lemah semangat, meninggalkan usaha, bersikap pesimis atau terlalu optimis dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syar’ie samada halal, wajib atau haram. Tambahan pula, ia tidak boleh dijadikan hujah ke atas diri sendiri atau orang lain. Hal ini kerana, orang biasa tidak mampu melepaskan diri daripada hasutan syaitan, justeru tidak boleh memastikan kesahihan takwilan mimpi yang dialaminya tersebut walaupun dia bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja merupakan mimpi yang benar yang dijadikan sumber hukum serta merupakan hujah syarak, kerana mereka dilindungi Allah SWT dan terlepas daripada mainan syaitan. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.