Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE - 336 : HUKUM MEMBELI NOMBOR EKOR DENGAN NIAT UNTUK BERDAKWAH

 

untitled-infogr_34101614.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti, maaf saya ingin bertanya, baru-baru ini saya ada melihat sebuah video di satu channel Youtube yang bertajuk “Aku Beli 500 Biji Nombor Ekor!!! Rasa Aku Menang Bape?”. Video ini bertujuan untuk mengkaji dan membongkar keburukkan membeli nombor ekor bagi memberi kesedaran kepada masyarakat. Soalan saya, beliau telah membeli nombor ekor dengan kadar yang banyak dalam video tersebut, adakah dalam keadaan ini, tidak berdosa beliau membeli nombor ekor tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Nombor ekor atau dikenali dengan beberapa nama lain seperti loteri, tikam nombor dan sebagainya merupakan aktiviti yang pada dasarnya menggunakan kaedah perjudian. Nombor ekor dimainkan dengan cara meneka nombor-nombor tertentu diantara 4 digit sehingga 6 digit nombor dan menaruhkan sejumlah wang ke atas nombor tersebut dengan taruhan serendah RM 1.00. Kemudian, cabutan nombor ekor yang bertuah akan dibuat pada hari tertentu setiap minggu dengan jumlah cabutan sebanyak 23 nombor. Sejumlah wang yang telah ditetapkan merupakan ganjaran hadiah kepada pemenang yang bertuah.

Di Malaysia, adalah tidak diragui lagi, bahawa perjudian nombor ekor merupakan diantara aktiviti perjudian yang terkenal, kerana tidak memerlukan modal yang besar dan mudah untuk bermain. Bukan sahaja diminati oleh masyarakat yang bukan Islam, bahkan masyarakat beragama Islam juga turut bertaruh nombor ekor pilihannya walaupun mengetahui keharaman bermain nombor ekor kerana ia adalah judi. 

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami mengambil maklum terhadap maklum balas masyarakat awam berkenaan sebuah video yang tular di media sosial yang membeli nombor ekor untuk membuat ujikaji tentang keburukan berjudi. Hasil dapatan daripada ruangan komen di laman Channel YouTube tersebut, ramai yang menyelar tindakan pemuda tersebut dan begitu juga yang mempertahankan tindakannya. Bahkan, tidak kurang juga yang mula bergaduh dengan pandangan masing-masing di laman sosial.

Di atas pekara itu, setelah kami menonton video tular tersebut, kami menyimpulkan beberapa perkara sebagai komentar melalui isi kandungannya.

Pertama, perjudian adalah suatu perkara yang haram di sisi agama Islam. Bahkan hukum ini adalah jelas sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

(Surah al-Maidah, 90)

Begitu juga, menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ تَعَالَ أُقَامِرْكَ فَلْيَتَصَدَّقْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata pada temannya: Marilah kita berjudi / bertaruh! Maka hendaklah dia bersedekah.

(Riwayat al-Bukhari, No. 4860 dan Muslim, No. 1647)

Menerusi dalil tersebut jelas menyatakan keharaman muslim untuk berjudi, bahkan jika seorang muslim mengajak seorang muslim yang lain untuk berjudi, Nabi SAW mengarahkan agar yang mengajak itu untuk bersedekah sebagai penghapus kepada perkataanya yang membawa kepada maksiat (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/107).

Kedua, sebagai seorang Muslim, kewajipan dan kepatuhan untuk mentaati hukum Allah SWT ini adalah wajib. Bahkan terdapat kaedah fiqh menyatakan bahawa:

لَا مَسَاغَ لِلاِجْتِهَادِ فِي مَورِدِ النَّصْ

Maksudnya: Tidak dibenarkan untuk berijtihad jika padaya terdapat nas yang jelas.

Atas dasar ini, ia adalah larangan bagi kita mencuba-cuba untuk mengkaji dengan alasan untuk menilai kewajaran hukuman Allah SWT yang jelas telah dinukilkan di dalam nas Ilahi. Oleh itu, maka beringatlah teguran Allah SWT bagi mereka yang sengaja menolak dan mengubah ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

Maksudnya: Dan tidaklah patut bagi para lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah SWT dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah SWT dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

(Surah al-Ahzab, 36)

Keburukan berjudi telah lama dibuktikan secara empirikal dalam kehidupan manusia sebagai perkara yang sia-sia, bahkan dosa berjudi merupakan asbab dalam membuka pintu kepada dosa-dosa yang lain. Ini terbukti, sebagaimana yang banyak dilaporkan di dalam media. Seperti contoh di dalam Buletin Utama TV3 pada 23 Jun 2010, dilaporkan seorang penjudi membunuh diri akibat kalah berjudi. Begitu juga, Harian Metro bertarikh 19 Julai 2019, penjudi menetak Isteri selepas kalah berjudi. Bahkan, Harian Metro bertarikh 27 Januari 2017, terdesak kalah judi, penjudi terpaksa merompak dan banyak lagi kes lain yang dilaporkan atas masalah berjudi.

Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.

Tambah beliau lagi, pertaruhan di dalam qimar dan maysir juga menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.

Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib 6/49 dan 12/82).

Berjudi merupakan bahana samada daripada sisi agama mahupun akal. Justeru, tiada keperluan untuk melakukan ujikaji terhadap sesuatu yg telah jelas kedudukannya.

Ketiga, niat untuk melakukan ujikaji adalah niat yang baik dan positif. Walaupun begitu, perbuatan haram dan berdosa besar tidak akan terluput lalu bertukar menjadi halal, hanyasanya berniat atas dasar kebaikkan atau dengan terma yang lebih mudah, niat yang baik tidak boleh menghalalkan cara.

Moral yang diberikan adalah satu perkara yang baik, namun begitu mafsadah (keburukan) disebabkan berjudi adalah jauh lebih tinggi berbanding kebaikkannya yang sedikit. Sepertimana firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبيِّنُ اللّهُ لَكُمُ الآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: 'Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: Yang lebih dari keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.

(Surah Al-Baqarah, 219)

Antara keburukan perbuatan ini, golongan yang lemah iman dan ahli fasiq akan menggunakannya sebagai alasan untuk menghalalkan perbuatan haram. Mereka akan cuba mengqiaskan kepada perbuatan-perbuatan haram yang lain seperti berzina, minum arak, rasuah, mengambil riba dan lain-lain. Bahkan, sudah tentu nas agama yang qat'i akan diperlekehkan dan menjadi bahan ujikaji sebelum diterima atau ditolak.

Nasihat kami, berhati-hati dalam setiap tindakan yang ingin dilakukan kerana perkara yang haram akan tetap menjadi haram, walaupun matlamatnya adalah untuk kebaikkan. Sepertimana kaedah ada menyebutkan:

الْغَايَةُ لاَ تُبَرِّرُ الْوَسِيْلَةَ إِلاَّ بِدَلِيْلٍ

“Matlamat tidak membolehkan cara kecuali terdapat dalil”

Maka demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya suci. Bahkan Ini berlaku disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan.

WallahuA’lam.