Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Maaf mengganggu Dato’, saya ada satu persoalan. Sekarang saya tinggal di Germany dan baru sahaja melahirkan seorang anak lelaki. Di Germany, bayi yang baru lahir tidak diberikan suntikan vitamin K seperti di Malaysia tetapi diberikan ubat titis di lidah bayi dan juga perlu diberikan 1 biji pil kecil stiap hari bersama susu. Soalannya, kalau anak saya hanya minum susu ibu sahaja tetapi bersama pil kecil tersebut, adakah najis bayi lelaki saya masih dikira sebagai najis mukhaffafah? Atau ubat tersebut telah menybabkan ia bertukar menjadi muttawassitah?
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Islam sangat prihatin terhadap soal kebersihan dan bersuci. Ini adalah seperti yang dinyatakan di dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda :
لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِى كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ
Maksudnya : “Tanggungjawab setiap muslim kepada Allah ialah mandi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya.” [HR al-Bukhari (856) dan Muslim (849)]
Pembahagian najis
Sepertimana yang kita ketahui, najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu najis Mukhaffafah (ringan), najis Mutawassitah (sederhana) dan najis Mughallazah (berat). Bagi mendapatkan penjelasan tambahan berkaitan ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :
- Al-Kafi li al-Fatawi (1364) : Hukum Menggunakan Wipe Baby Ketika Membersihkan Najis Bayi.
- Al-Kafi li al-Fatawi (1376) : Perbezaan Basuhan Bayi Air Kencing Bayi Lelaki.
Apakah itu najis Mukhaffafah?
Najis Mukhaffafah ialah najis yang ringan. Ia dinamakan sedemikian kerana Allah telah memberi keringanan pada hukumnya. Walau bagaimanapun, najis tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua empat syarat yang berikut :
- Ia adalah air kencing.
- Ia adalah bahan buangan daripada bayi lelaki.
- Bayi tersebut belum lagi berumur 2 tahun.
- Bayi tersebut belum lagi memakan apa-apa makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu.
Sekiranya tidak cukup salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka najis tersebut termasuk dalam kategori Mutawissatah. [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 134]
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tiada khilaf dalam kalangan para ulama berkenaan kenajisannya (najis mukhaffafah), malah sebahagian ashab kami menukilkan, para ulama telah Ijma’ akan perkara ini dan tiada seorang pun yang menyelisihinya kecuali Daud al-Zahiri. Al-Khattabi dan selainnya menyatakan bahawa bukanlah bermaksud apabila dibenarkan membersihkan air kencing bayi lelaki (bawah dua tahun) dengan hanya merenjisnya disebabkan oleh ia bukan najis, akan tetapi kerana kelonggaran (keringanan yang diberikan oleh syarak) bagi membersihkannya. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (3/195)]
Hikmah perbezaan air kencing kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan
Para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan hikmah kepada perbezaan ini. Antara pendapat-pendapat mereka :
- Ada antara mereka yang mengatakan bahawa perkara tersebut bersifat ta‘abudi kerana terdapatnya nas dalam hal itu.
- Manakala sebahagian yang lain menyatakan bahawa perbezaan tersebut adalah disebabkan air kencing kanak-kanak lelaki lebih cair berbanding kanak-kanak perempuan.
- Dan ada juga yang mengatakan kerana asal kejadian lelaki adalah daripada air dan tanah (Nabi Adam), manakala asal kejadian perempuan adalah daripada daging dan darah (Hawa’).
- Kerana lelaki baligh dengan air yang bersih iaitu Mani manakala perempuan baligh dengan air yang najis iaitu darah haid.
- Kanak-kanak lelaki lebih banyak dibawa bersama berbanding kanak-kanak perempuan. Oleh sebab itu, diberi keringanan pada air kencingnya.
[Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 134 dan Fathu al-Wahhab (1/25)]
Cara membersihkan najis Mukhaffafah
Ummul Mukminin Aisyah R.Anha pernah berkata :
أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَبِيٍّ، فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ إِيَّاهُ
Maksudnya : “Pernah seorang bayi lelaki dibawakan kepada Rasulullah SAW, lalu bayi tersebut kencing ke atas bajunya. Baginda kemudiannya meminta air dan melalukan (menuang dan merenjis) tempat najis tersebut dengan air” [HR al-Bukhari (222)]
Ada di dalam riwayat yang lain datang dengan lafaz :
فَدَعَا بِمَاءٍ فَصَبَّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya : “Baginda SAW meminta air dan menuangkan air ke atasnya (tempat air kencing)” [HR Muslim (286)]
Dan ada riwayat yang lain dengan lafaz :
فَدَعَا بِمَاءٍ فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ
Maksudnya : “Baginda SAW meminta air lalu merenjiskannya tanpa membasuhnya.” [HR al-Bukhari (2021) dan Muslim (287)]
Syeikh Mustafa Dibb al-Bugha ada memberi komentar berkenaan hadis di atas bahawa lafaz (فَأَتْبَعَهُ إِيَّاهُ) bermaksud menuangkan air pada tempat air kencing tersebut dan merenjisnya. [Lihat : Sahih Bukhari (1/54)]
Manakala Ibnu Hajar al-Asqalani pula menyatakan bahawa :
أَتْبَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَوْلَ الَّذِي عَلَى الثَّوْبِ الْمَاءَ يَصُبُّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya : “Rasulullah SAW mengambil air dan menuangkannya ke atas (kesan) air kencing yang terdapat di atas baju.” [Lihat : Fathu al-Bari (1/326)]
Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff berpendapat bahawa najis Mukhaffafah boleh dibersihkan dengan merenjis air ke atasnya (kesan air kencing tersebut) dengan syarat air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing, dan tidak disyaratkan air tersebut mengalir sehinggalah hilang ain najis serta sifat-sifatnya (bau, rasa dan warna). [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 134] Perkara ini juga dilihat bertepatan sebagaimana yang telah dipilih dan dipersetujui oleh Imam al-Nawawi ketika mana mendefinisikan al-Nadhu (النَّضْح) iaitu menggenangi dan memperbanyakkan air sekalipun air tersebut tidak mengalir. [Lihat : al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (3/195)]
Begitu juga, Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori berpendapat ia boleh dibersihkan dengan memercikkan air ke atasnya sekira-kira rata dan melebihinya (air tersebut mesti lebih banyak daripada air kencing) sekalipun tidak mengalir. [Lihat : Fathu al-Wahhab (1/25)]
Syeikh Ahmad bin Umar al-Syatiri menyebut cara membersihkan najis Mukhaffafah cukup dengan hanya memercikkan air ke atasnya dengan syarat air tersebut lebih banyak daripadanya. Kemudian, beliau menyatakan bahawa sebahagian ulama mensyaratkan supaya hilang ain najis dan sifat-sifatnya, manakala sebahagian yang lain tidak mensyaratkannya. [Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hal. 99-100]
Manakala Syeikh Daud al-Fatani menyatakan di dalam kitabnya bahawa air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan dan minum selain daripada susu secara mengenyang dan sebelum cukup 2 tahun cara menyucinya hanya dengan dipercikkan air di atasnya sekira-kira rata, setelah dilapkannya sehingga tidak ada basah yang bercerai padanya dan dituangkan air di atasnya walaupun tidak mengalir. [Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/87)]
Berbalik kepada persoalan di atas, titik perbincangan adalah pada makna lafaz hadis (لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ) sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ummu Qais binti Mihsan R.Anha :
أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا صَغِيرٍ، لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya : “Dia menemui Rasulullah SAW dengan membawa anak lelakinya yang masih kecil dan tidak makan apa-apa makanan.” [HR al-Bukhari (2021) dan Muslim (287)]
Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa makna makanan tersebut ialah apa yang selain susu yang disusuinya, kurma (yang dimasukan) ketika mentahniknya, madu yang dijilatnya ketika rawatan dan lain-lain. Iaitu makanan-makanan tadi selain daripada susu tidak boleh mengenyangkannya. [Lihat : Fathu al-Bari (1/326)] Ini juga adalah merupakan pendapat Imam al-Nawawi yang menyebut bahawa boleh membersihkan air kencing anak lelaki (kurang 2 tahun) dengan cara al-Nadh (النَّضْح) selagimana anak tersebut masih menyusu, adapun setelah dia mula memakan makanan yang mengenyangkannya, maka wajib membasuh air kencingnya tanpa khilaf (seperti najis-najis lain). [al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (3/195)]
Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menyebut bahawa tidak memberi kesan (air kencing masih dikira sebagai najis mukhaffafah) sekiranya anak tersebut ditahnik dengan kurma atau madu. Begitulah juga, dengan ubat dan apa yang diberikan bagi merawatnya seperti garam dan gula. [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 134]
Kesimpulannya
Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
- Najis Mukhaffafah ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan dan minum selain daripada susu secara mengenyang dan sebelum cukup 2 tahun. Adapun tahinya adalah termasuk di dalam kategori najis Mutawassitah dan bukannya Mukhaffafah.
- Cara menyucikan najis mukhaffafah adalah dengan dipercikkan air ke atasnya dengan memastikan percikkan tersebut mengenai semua kawasan air kencing tersebut. Dan disyaratkan air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing walaupun tidak mengalir. Kami mengesyorkan jika tiada sebarang kesulitan, supaya dilap terlebih dahulu air kencing tersebut sehingga kering. Kemudian, barulah memercikan air ke atasnya sehingga hilang ain najis dan sifat-sifatnya kerana ini lebih ahwat (berhati-hati) dan keluar daripada khilaf.
- Kanak-kanak lelaki yang masih menyusu (sebagai makanan utamanya) tetapi telah diberi makan ubat atau kurma ketika mentahniknya atau apa-apa yang seumpamanya, selagimana makanan tersebut tidak mengenyangkannya, air kencingnya masih dikira sebagai najis Mukhaffafah.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya serta mengamalkan syariahNya dengan sebaik mungkin.