Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-349 : HUKUM MENGGUNAKAN DANA ZAKAT UNTUK PROGRAM MOTIVASI ANAK-ANAK ASNAF DAN KAKITANGAN BANK

if0349.png

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Kami merupakan sebuah institusi perbankan ingin bertanya soalan, adakah dibolehkan menggunakan dana zakat bagi menganjurkan program motivasi kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin berserta dengan anak-anak kakitangan bank?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT telah menetapkan lapan golongan asnaf yang diberikan zakat kepada mereka di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Secara asasnya, zakat hendaklah diberikan kepada golongan asnaf yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam ayat di atas. Jika zakat diberikan kepada golongan yang tidak berhak memilikinya, maka ia tidak sah. Justeru, tidak boleh untuk diberikan zakat kepada seseorang kecuali setelah diketahui bahawa dia berhak menerimanya dengan tergolong dalam salah satu asnaf yang telah disebutkan.

Begitu juga, tidak boleh seseorang yang tidak tergolong dalam asnaf untuk menerima sumbangan zakat dalam keadaan dia mengetahuinya. Jika dia mengambilnya juga maka dia telah melakukan satu kezaliman kerana ia adalah hak orang fakir dan miskin. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.

(Surah al-Nisa’:29)

Oleh itu, seharusnya zakat diberikan kepada golongan asnaf yang layak mendapatnya dengan mengikut keutamaannya. Dalam meletakkan keutamaan pembahagian zakat ini, para ulama’ membahagikan golongan asnaf kepada dua kelompok berdasarkan turutannya li (ل) dan fi (في) di dalam ayat , iaitu:

  1. Asnaf Muqaddam (terawal dan didahulukan) : fakir, miskin, amil dan muallaf.
  1. Asnaf Muakkhar (terakhir dan dikemudiankan) : riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil.

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain, oleh kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir: 2:175)

Daripada apa yang dimaklumkan berkaitan program motivasi yang ingin diadakan tersebut, kami mendapati ia merupakan satu program yang sangat baik dan bermanfaat buat anak-anak yang terlibat bagi mengisi masa lapang dalam cuti sekolah ini. Jumlah peserta yang bakal terlibat dalam program tersebut ialah seramai 70 orang pelajar daripada anak-anak asnaf dan seramai 30 orang lagi pelajar daripada anak-anak kakitangan bank.

Justeru itu, anak-anak asnaf berhak untuk mendapat manfaat daripada dana zakat tersebut sebagai asnaf fakir dan miskin. Manakala, anak-anak kakitangan bank pula, mereka layak untuk menyertai program tersebut sebagai asnaf fisabilillah dalam menuntut ilmu. Hal ini sepertimana disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى جَوَازِ إعْطَاءِ الزَّكَاةِ لِطَالِبِ الْعِلْمِ , وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ , وَالْحَنَابِلَةُ , وَهُوَ مَا يُفْهَمُ مِنْ مَذْهَبِ الْمَالِكِيَّةِ ... , وَذَهَبَ بَعْضُ الْحَنَفِيَّةِ إلَى جَوَازِ أَخْذِ طَالِبِ الْعِلْمِ الزَّكَاةَ وَلَوْ كَانَ غَنِيًّا إذَا فَرَّغَ نَفْسَهُ لإِفَادَةِ الْعِلْمِ وَاسْتِفَادَتِهِ , لِعَجْزِهِ عَنْ الْكَسْبِ

Maksudnya: Para fuqaha’ bersepakat tentang keharusan memberikan wang zakat kepada penuntut ilmu. Perkara ini seperti yang telah dijelaskan oleh mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali, serta begitu juga yang difahami daripada mazhab Maliki.. Sebahagian daripada ulama’ mazhab Hanafi berpendapat bahawa harus seorang penuntut ilmu mengambil wang zakat walaupun dia seorang yang kaya, jika sekiranya dia menfokuskan diri untuk memperoleh ilmu pengetahuan, dan juga disebabkan kekangan untuk dia mencari pendapatan. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28:337)

Walau bagaimanapun, kami ingin meletakkan beberapa garis panduan atau dhawabith berkaitan perkara ini, antaranya ialah:

  • Sebaik-baiknya hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada anak-anak kakitangan yang kurang berkemampuan juga supaya dana zakat tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan yang lebih memerlukan.
  • Keperluan asasi seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan sebagainya bagi golongan asnaf fakir dan miskin hendaklah dipastikan bahawa ia sudah dipenuhi dan diselesaikan terlebih dahulu sebelum digunakan wang zakat untuk tujuan yang lain.
  • Program motivasi yang ingin dijalankan tersebut hendaklah betul-betul memberi manfaat dan impak yang besar kepada para pelajar yang terlibat supaya wang zakat yang diamanahkan tersebut dapat dimanfaatkan secara efisyen dan berkesan.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, secara tuntasnya kami menyatakan bahawa diharuskan dan tidak menjadi masalah untuk menggunakan dana zakat bagi melaksanakan program motivasi bagi anak-anak pelajar daripada golongan asnaf dan kakitangan bank tersebut, khususnya kepada kakitangan-kakitangan yang kurang berkemampuan sebagai asnaf fisabilillah.

Begitu juga, amatlah dinasihatkan supaya diambil berat dawabith yang telah diberikan di atas. Hendaklah kita menunaikan amanah untuk menyalurkan harta zakat tersebut kepada golongan yang berhak secara adil dan sebaiknya, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ 

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

(Surah al-Nisa’ : 58)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.