Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-415: BOLEHKAH MEMBACA BASMALAH KETIKA MEMBACA SURAH AL-TAUBAH

if415

Soalan

Assalamualaikum Dr. berkenaan dengan surah al-Taubah kenapakah tidak dimulakan dengan lafaz Bismillah seperti surah-surah yang lain. Adakah dibolehkan sekiranya kita membaca Bismillah ketika membaca surah ini. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Surah al-Taubah di turunkan di Madinah melainkan dua ayat yang terakhir. Surah ini terkandung di dalamnya 130 ayat. Pada pendapat yang lain 129 ayat. Pada surah ini terdapat 2497 kalimah dan 10,887 haruf di dalamnya. Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut di dalam tafsirnya bahawa nama-nama lain surah al-Taubah adalah Bara’ah, al-Muqashqishah, al-Buhusah, al-Muba’sirah, al-Hafirah, al-Fadhihah, dan surah al-Azab. (Lihat Siraj al-Munir, 1/586)

Surah ini diturunkan semasa dan selepas perang Tabuk. Imam Qurtubi menaqalkan kenyataan Imam al-Qusyairi Abu Nasr Abd al-Rahim menyatakan bahawa, pada permulaan surah ini menceritakan berkenaan golongan kuffar melanggar perjanjian terhadap orang Islam. Selain itu, di dalamnya juga membongkarkan rahsia perilaku golongan Munafik. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/61)

Sebab-sebab Tidak Dimulakan Lafaz Basmalah Pada Surah al-Taubah

Perbezaan surah al-Taubah dengan surah-surah yang lain adalah pada permulaannya tidak dimulai dengan lafaz Basmalah. Para ulama berbeza pendapat berkenaan dengan sebab tidak diletakkan lafaz Basmalah pada permulaannya. Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya, terdapat lima sebab dalam hal ini di antaranya ialah:

  • Pandangan pertama menyatakan bahawa, golongan Arab pada zaman Jahiliyyah apabila di antara mereka terdapat kaum yang melakukan perjanjian kemudian ingin memutuskan perjanjian itu, maka mereka tidak akan menulis lafaz basmalah pada surat untuk memutuskan perjanjian itu. Oleh itu, surah Bara’ah (al-Taubah) diturunkan bertujuan untuk memutuskan perjanjian di antara Baginda Nabi SAW dengan kaum Musyrikin. Di mana Baginda Nabi SAW mengutuskan Saidina Ali RA membaca surah ini kepada mereka tanpa memulakannya dengan lafaz Basmalah.
  • Pandangan yang kedua, Imam Qurtubi menukilkan athar daripada Ibnu Abbas RA, bahawa ia bertanya kepada Saidina Usman RA berkenaan dengan tidak diletakkan lafaz Basmalah pada Surah al-Taubah. Maka Saidina Usman RA menceritakan bahawa ketika diturunkan sesuatu ayat maka Baginda SAW akan memanggil tukang tulisnya untuk menulis dan meletakkan sesuatu surah serta ayat pada tempat yang ditentukan oleh Baginda SAW. Saidina Usman menceritakan lagi bahawa Surah al-Anfal merupakan surah yang terawal diturunkan dan surah Bara’ah (al-Taubah) merupakan surah yang terakhir diturunkan di dalam al-Quran. Begitu juga, isi kandungan serta penceritaan di dalam kedua surah ini adalah hampir sama. Selain itu, Baginda Nabi SAW tidak menjelaskan kepadanya bahawa surah al-Anfal dan Surah al-Taubah merupakan satu surah yang sama atau tidak. Oleh itu, Saidina Usman RA berpendapat (menurut sangkaannya yang kuat) bahawa surah al-Taubah merupakan sebahagian daripada surah al-Anfal, oleh sebab itulah Saidina Usman RA tidak meletakkan di antara keduanya lafaz Basmalah.
  • Mengikut pandangan yang ketiga, terdapat riwayat daripada Saidina Usman RA, menyatakan bahawa surah al-Taubah tidak tertulis baginya lafaz Basmalah kerana surah ini merupakan kesinambungan daripada surah al-Baqarah oleh kerana itulah tidak ditulis di antaranya lafaz Basmalah. Begitu juga apa yang disebut oleh Said bin Jubair RA, menyatakan surah al-Taubah menyerupai surah al-Baqarah.
  • Imam Qurtubi menukilkan pandangan Abu Ismah dan selainnya, mereka menyatakan, pada zaman Saidina Usman ketika dihimpunkan al-Quran, terdapat perselisihan para sahabat Rasullullah SAW berkenaan dengan surah al-Taubah. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa surah al-Taubah dan al-Anfal merupakan satu surah dan sesetengah daripada mereka menyatakan dua surah yang berbeza. Oleh itu, Saidina Usman mengambil jalan tengah dengan tidak mencantumkan kedua-dua surah ini kemudian beliau tidak meletakkan lafaz Basmalah. Dan ini bertujuan untuk membenarkan pendapat kedua-duanya.
  • Pandangan kelima, Imam Qurtubi menukilkan riwayat dairpada Abdullah bin Abbas RA ketika beliau bertanya kepada Saidina Ali RA berkenaan hal tidak ditulis lafaz Basmalah pada surah al-Taubah. Justeru Saidina Ali RA menyatakan bahawa lafaz Basmalah merupakan lafaz keamanan dan surah al-Taubah diturunkan kerana peperangan. Al-Mubarrid menyatakan bahawa tidak boleh dihimpunkan di antara keduanya (iaitu Basmalah dan Surah al-Taubah). Kerana Lafaz Basmalah merupakan rahmat dan Bara’ah di turunkan kerana kemarahan.

Justeru, Imam Qurtubi menyimpulkan di dalam tafsirnya bahawa mengikut pandangan yang sahih, sesungguhnya tidak ditulis lafaz Basmalah pada surah al-Taubah kerana wahyu daripada Jibri AS tidak di datangkan lafaz Basmalah ketika ayat ini diturunkan.

(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/61-63; Tafsir al-Munir, 10/92)

Basmalah Ketika Membaca al-Quran

Lafaz Basmalah merupakan lafaz yang diucapkan untuk mensucikan Allah SWT. Basmalah disunatkan menyebutnya ketika memulakan sesuatu urusan atau amalan harian bagi mendapat keberkatan Allah SWT. Ini seperti sabda Nabi SAW:

كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ

Maksudnya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.

Riwayat Ibnu Majah (1894)

Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya, perkara yang penting di dalam hadis di atas maksud terputus di dalam hadis di atas adalah kurangnnya keberkatan dalam melakukan sesuatu perbuatan. Para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Di dalam hal membaca al-Quran, para ulama menganjurkan supaya membaca lafaz Ta’awuz dan lafaz Basmalah.

Ini seperti mana Firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

(Surah al-Nahl, 98)

Begitu juga, dianjurkan untuk membaca Basmalah pada memulakan bacaan surah seperti yang dilakukan Baginda Nabi SAW di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA katanya, ketika Nabi SAW terjaga dari tidurnya lalu Baginda SAW tersenyum. Maka kami bertanya, Kenapakah kamu tersenyum wahai Rasulullah? Kemudian Rasullullah SAW bersabda:

‏"‏ أُنْزِلَتْ عَلَىَّ آنِفًا سُورَةٌ ‏"‏ ‏.‏ فَقَرَأَ ‏"‏ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  (إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ * فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ * إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ)

Maksudnya: Baru sahaja diturunkan ke atas aku satu surah. Lalu Baginda SAW membaca “Basmalah” kemudian Baginda SAW terus menyambung dengan bacaan surah al-Kauthar.

(Riwayat Muslim, 400)

Imam Nawawi menyatakan di dalam syarahnya bahawa, Imam Muslim meletakkan hadis ini di dalam bab hujah bagi sesiapa yang menyatakan lafaz Basmalah salah satu daripada ayat permulaan bagi setiap surah melainkan surah Bara’ah. (Lihat Syarah al-Nawawi ala Muslim, 4/112)

Di dalam hal membaca lafaz Basmalah di awal surah al-Taubah, Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya, bahawa selayaknya untuk dijaga dengan membaca lafaz Basmalah pada setiap permulaan surah kecuali surah Bara’ah (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilatul al-Quran, 1/81)

Begitu juga yang dinukilkan oleh Ibnu Hajar al-Haithami pandangan al-Ja’bari menyatakan, disyariatkan meninggalkan bacaan lafaz Basmalah pada permulaan surah al-Taubah kerana diturunkannya disebabkan peperangan. Dan terkandung di dalamnya keburukan sifat golongan munafik. Oleh itu, tidak disyariatkan membaca Basmalah pada pertengahan surah seperti membaca pada awalnya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/52)

Selain itu, di dalam kitab Raudah al-Zakirin menyatakan bahawa para ulama Qura’ bersepakat bahawa digalakkan membaca Basmalah pada permulaan bagi setiap surah kecuali surah al-Bara’ah (al-Taubah). Berkaitan dengan membaca Basmalah pada permulaan surah al-Taubah, ulama berbeza pendapat berkenaan dengannya.

  • Ibnu Hajar dan Khatib Syirbini mengharamkan pembacaan Basmalah pada awal surah al-Taubah disebabkan ia tidak ditulis pada mushaf. Ini kerana ia diturunkan ketika peperangan dan makruh membacanya ketika di pertengahan surah.
  • Imam al-Ramli memakruhkan pembacaan Basmalah di awal surah dan sunat dipertengahan surah.

(Lihat Raudah al-Zakirin fi Ahkam Tilawah al-Kitab al-Mubin, hlm 58)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan hujah yang diberikan, dapat kami simpulkan di sini bahawa membaca lafaz Basmalah ketika hendak memulakan surah al-Taubah adalah tidak dituntut oleh syarak kerana tidak ditulis padanya di dalam al-Quran. Selain itu, sebab diturunkan surah ini bertujuan untuk peperangan dan lafaz Basmalah merupakan lafaz rahmah. Oleh itu, tidak sepatutnya dihimpunkan kedua-dua di dalam satu masa yang sama.

Justeru sebaiknya kita disarankan membaca lafaz Ta’awuz pada permulaan bacaan surah al-Taubah. Ini seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam Firman-Nya:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

(Surah al-Nahl, 98)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.