Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-440 : HUKUM PERNIAGAAN MEJA PENCERAMAH MELALUI TEMPAHAN

if440

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya bercadang untuk membuat perniagaan menjual meja kuliah untuk pengajar di masjid, surau dan madrasah. Caranya ialah saya mempromosikan tempahan kepada orang ramai dan pihak yang berminat akan melakukan tempahan kepada saya dengan memberikan wang rm400. Kemudian, saya akan mengambil RM100 dan RM300 saya berikan kepada rakan saya yang menyediakan perkhidmatan membuat meja. Setelah siap dibuat, meja berkenaan akan diberikan kepada pelanggan. Soalan saya, adakah cara ini dibenarkan kerana ada pihak yang memberitahu bahawa cara saya ini salah kerana saya hanya untuk atas angin dan menjual barang yang tidak ada di tangan saya? Pihak berkenaan mendakwa sepatutnya saya membeli terlebih dahulu meja berkenaan kemudian barulah jual.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kepada Junjungan Nabiﷺ, para isteri dan keluarga baginda ﷺ, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda ﷺ hingga ke Hari Akhirat.

 

Larangan Menjual Barang Yang Tidak Wujud

Benar, hukum asal bagi jual beli mestilah barang jualan itu wujud. Fakta ini disebutkan dalam syarat barang jualan. Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/12) menghuraikan seperti berikut:

“Barangan jualan hendaklah wujud ketika akad dilakukan. Tidak harus menjual barangan yang tidak wujud.  Barangan yang tidak wujud tidak boleh dijual. Contohnya, penjual yang mahu menjual buah-buahan di pokok yang sedang atau akan berbuah begitu juga anak kambing dalam kandungan atau akan dikandung. Dalilnya adalah larangan Nabi ﷺ untuk menjual barangan yang tidak wujud. Para penulis kitab Sunan meriwayatkan, Hakim bin Hizam RA berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ يَأْتِينِى الرَّجُلُ فَيُرِيدُ مِنِّى الْبَيْعَ لَيْسَ عِنْدِى أَفَأَبْتَاعُهُ لَهُ مِنَ السُّوقِ فَقَالَ: لاَ تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Ada seorang lelaki datang meminta saya menjualkan kepadanya barang yang saya tiada (saya bertindak menjual kepadanya). Bolehkah saya beli barang tersebut di pasar untuk diserahkan kepadanya. Baginda bersabda: Jangan engkau jual barangan yang tiada padamu.”

Riwayat Abu Daud (3503)

Dan demikian juga, jual beli dengan cara ini termasuk dalam kategori jual beli berisiko  (al-Gharar) kerana barangan tersebut mungkin wujud dan mungkin juga tidak. Sedangkan Rasulullah ﷺ melarang jual beli gharar berlaku.”

Larangan tersebut ialah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullahmelarang jual beli hasah (tikam menggunakan batu) dan jual beli gharar (yang tidak jelas barang jualannya).”

Riwayat Muslim (1513)

Tambahan lagi terdapat larangan terhadap seseorang yang menjual sesuatu yang dibelinya daripada orang, sebelum dia menerimanya. Diriwayatkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma berkata, Nabi ﷺ bersabda:

مَنِ ابْتَاعَ طَعَامًا فَلاَ يَبِعْهُ حَتَّى يَقْبِضَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membeli sesuatu makanan janganlah dia menjualnya sebelum dia sendiri menerimanya.”

Riwayat al-Bukhari (2133)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَمَّا الَّذِى نَهَى عَنْهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَهْوَ الطَّعَامُ أَنْ يُبَاعَ حَتَّى يُقْبَضَ

Maksudnya: “Apa yang dilarang oleh Nabiialah makanan yang dijual sebelum diterima.”

Ibn Abbas R.A berkata: “Aku merasakan semua benda termasuk dalam larangan itu.”

Riwayat al-Bukhari (2028 & 2029) dan Muslim (1525 & 1527)    

Bai` Salam: Suatu Pengecualian

Namun begitu, atas faktor maslahat dan keperluan masyarakat, Islam juga mengharuskan jual beli salam atau salaf. Bai` Salam ini ditakrifkan sebagai:

بيع شيء موصوف في الذمة بلفظ السلم أو السلف

Maksudnya: “Jual beli sesuatu barang, yang disifatkan, pada tanggungan, dengan lafaz salam atau salaf (yakni bayaran yang didahulukan).”

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Buyu` (hlm. 47) oleh Syeikh Hasan al-Kaf

Dalam kontrak ini, penjualan barang yang tidak ada dalam majlis akad diharuskan dengan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syarat ialah hendaklah sighah atau lafaz kontrak semasa majlis akad itu jelas menyebut kriteria barang jualan, masa penyerahan dan pemberian, serta lafaz salam atau salaf yang jelas menunjukkan niat untuk suatu kontrak pendahuluan modal.

Contohnya, pembeli berkata: “Aku serahkan kepadamu RM100,000.00 ini untuk mendapatkan sebuah kereta keluaran Jepun daripada Syarikat sekian, daripada jenis sekian, model tahun sekian, yang mana engkau akan serahkan kepadaku pada bulan Mei yang akan datang, di tempat sekian.” Kemudian penjual berkata: “Aku terima.”

Keharusan kontrak ini seperti mana yang diriwayatkan bahawa ketika Nabi ﷺ tiba di Madinah, penduduk Madinah mengamalkan jual beli salam dalam jual beli buah-buahan selama setahun atau dua tahun. Baginda bersabda:

مَنْ أَسْلَفَ فِى شَىْءٍ فَفِى كَيْلٍ مَعْلُومٍ وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berjual beli salaf (salam) hendaklah dia berjual beli dengan sukatan yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan tempoh yang dimaklumi.”

Riwayat al-Bukhari (2125) dan Muslim (1604)

Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abza dan Abdullah bin Abi Aufa R.Anhuma, mereka berkata:

كُنَّا نُصِيبُ الْمَغَانِمَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ يَأْتِينَا أَنْبَاطٌ مِنْ أَنْبَاطِ الشَّأْمِ فَنُسْلِفُهُمْ فِى الْحِنْطَةِ وَالشَّعِيرِ وَالزَّبِيبِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى. قَالَ قُلْتُ أَكَانَ لَهُمْ زَرْعٌ ، أَوْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ زَرْعٌ قَالاَ مَا كُنَّا نَسْأَلُهُمْ عَنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Ketika suatu peperangan bersama Rasulullah ﷺ, kami beroleh bahagian daripada harta rampasan perang. Ketika itu kaum Anbal dari Syam datang menemui kami. Kami berjual salaf (salam) dengan mereka untuk mendapatkan gandum, barli dan minyak dalam tempoh tertentu. Mereka berdua ditanya: Adakah mereka menanamnya atau tidak? Mereka berdua menjawab: Kami tidak pula bertanya mereka tentang perkara itu.”

Riwayat al-Bukhari (2128)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Aku bersaksi bahawa Allah telah menghalalkan jual beli salaf yang dijamin (jual beli salam). Allah juga telah menurunkan ayat yang terpanjang berkenaan dengannya kemudian dia membaca firman Allah yang bermaksud:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Rujuk Musnad al-Imam al-Syafie (no. 597); Tafsir al-Quran al-Azim (1/722) oleh Imam Ibn Khathir.

Ayat ini dijadikan dalil bagi menunjukkan jual beli salam adalah sah menurut syara’ kerana jual beli salam termasuk dalam bahagian hutang, sementara ayat ini menerima dan membenarkan hutang. Dengan itu, jual beli salam juga dibenarkan. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (3/46)

 

Penggunaan Bai` al-Istisna` (Tempahan Pembuatan)

Sekalipun Islam mengharuskan Bai` al-Salam, namun begitu kontrak ini mempunyai syarat-syarat yang agak ketat untuk dipatuhi, contohnya mesti mempunyai lafaz salam atau salaf. Oleh itu, sebahagian ulama Syafie kontemporari mengharuskan jual beli dengan modal pendahuluan dan penyerahan bertangguh ini selama mana ada jaminan bahawa barang yang dibeli itu diserahkan berdasarkan kriteria yang dipesan. Disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (hlm. 53) dalam bab Bai` al-Istisna’ (Tempahan):

“Amalan ini merujuk kepada tindakan meminta seseorang yang berkemahiran supaya membuat sesuatu berdasarkan ciri-ciri tertentu yang berkaitan dengan kemahirannya, manakala bahan yang digunakan disedikan oleh pembuat.

Akad ini diamalkan secara meluas pada zaman ini. Atas dasar itu, kami merasakan hukum kontrak ini perlu dijelaskan. Sebelum menjelaskan hukum dengan lebih lanjut, di sini kami nyatakan beberapa contoh:

  • Seorang penempah meminta pembuat kasut supaya membuatkan sepasang atau beberapa pasang kasut untuknya. Manakala kuli dan segala bahan yang diperlukan disediakan oleh pembuat, bukannya penempah.
  • Demikian juga apa yang dilakukan oleh tukang kayu hari ini. Para pemilik bangunan atau seumpamanya meminta tukang kayu membuat perabot tertentu yang diperbuat daripada kayu. Bahan yang digunakan pula disediakan oleh pembuat. Mungkin perkakas ini turut menggunakan kaca, kunci dan bahan-bahan yang lain.

Banyak lagi contoh lain yang seumpama dengannya.

Akad seperti ini menjadi perdebatan di kalangan fuqaha’ dan bolehlah dikatakan di sini:

Jika akad tersebut memenuhi syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jual beli salam iaitu spesifikasi barangan dinyatakan dengan jelas, bahan yang digunakan juga dinyatakan dengan jelas, tempoh penyerahan dinyatakan, bayaran diserahkan pada ketika akad dimeterai di samping syarat-syarat lain. Jika semua syarat ini dipenuhi, kita boleh sahkan akad tersebut sebagai akad jual beli salam walaupun akad tersebut menggunakan lafaz jual beli. Sebabnya, dalam soal akad, perkara yang diambil kira ialah niat yang tersirat, dan bukan bergantung kepada lafaz dan apa yang kelihatan.

Bagi akad yang tidak memenuhi syarat jual beli salam, dan inilah yang biasa berlaku dalam akad jual beli hari ini, terutamanya dalam masalah penyerahan modal atau harga barangan yang ditempah ketika memeterai akad. Kebanyakan penempah akan hanya membayar sebahagian daripada harga yang ditetapkan kepada pembuat ketika membuat tempahan. Adakalanya mereka tidak membuat sebarang bayaran sama sekali. Setelah itu, penempah akan membayar secara ansuran atau sekaligus selepas barangan yang ditempah siap. Malah, adakalanya masih ada baki bayaran yang perlu dituntut oleh pembuat selepas itu. Inilah yang biasa dilakukan oleh orang ramai. Amalan seperti ini tidak dikira sebagai jual beli salam. Dengan itu, jual beli ini tidak sah menurut ulama’ Mazhab al-Syafie.

Walau bagaimanapun, para ulama’ mazhab Hanafi membenarkan akad ini sepertimana yang diamalkan oleh orang ramai kerana mengambil kira keperluan orang ramai. Namun dengan syarat akad tersebut dengan jelas menyatakan segala perkara berkenaan barang yang ditempah yang jika tidak dinyatakan dengan jelas mungkin boleh menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

Sebagai contoh, akad tersebut mesti menyebut tentang bahan yang digunakan dan sumbernya, spesifikasinya, kadarnya dan sebagainya.

Dengan ini, kami merasakan tidak salah menerima pandangan ulama’ mazhab Hanafi ini. Kita menerima amalan ini sebagai sah untuk memudahkan orang ramai. Apatah lagi amalan seperti ini amat diperlukan. Sebagaimana yang kami nyatakan tadi, orang ramai mengamalkan akad ini dalam kebanyakan urusan mereka. Malah setiap para imam dan fuqaha’ sendiri sentiasa berusaha mencari kebenaran dan memberikan kemudahan kepada hamba-hamba Allah mengikut cara yang diredhai oleh Allah dan bertepatan dengan sunnah Nabi ﷺ.”

Kami sebutkan di sini keputusan Mesyuarat Khas Pertama Panel Syariah Bank Negara bertarikh 13 April 2007 telah memutuskan perkara berikut struktur dan mekanisme pembiayaan projek membaharui dan menaik taraf bangunan premis perniagaan pelanggan menggunakan kontraktor untuk menjalankan kerja tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam perjanjian yang dibayar secara, berasaskan akad istisna` adalah dibenarkan.

Asas pertimbangan bagi keputusan di atas ialah keharuskan istisna` itu berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ daripada Jabir bin Abdillah:

 أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ أَجْعَلُ لَكَ شَيْئًا تَقْعُدُ عَلَيْهِ، فَإِنَّ لِي غُلاَمًا نَجَّارًا؟ قَالَ: «إِنْ شِئْتِ» فَعَمِلَتِ المِنْبَرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang wanita bertanya, "Wahai Rasulullah, bolehkah aku buatkan sesuatu untuk anda, sehingga anda boleh duduk di atasnya? Ini kerana aku mempunyai seorang hamba yang pandai dalam masalah pertukangan kayu." Baginda menjawab: "Silakan, kalau kamu mahu." Maka wanita itu membuat sebuah mimbar."

Riwayat al-Bukhari (449)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اصْطَنَعَ خَاتَمًا مِنْ ذَهَبٍ وَكَانَ يَلْبَسُهُ فَيَجْعَلُ فَصَّهُ فِي بَاطِنِ كَفِّهِ فَصَنَعَ النَّاسُ خَوَاتِيمَ ثُمَّ إِنَّهُ جَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَنَزَعَهُ فَقَالَ إِنِّي كُنْتُ أَلْبَسُ هَذَا الْخَاتِمَ وَأَجْعَلُ فَصَّهُ مِنْ دَاخِلٍ فَرَمَى بِهِ ثُمَّ قَالَ وَاللَّهِ لَا أَلْبَسُهُ أَبَدًا فَنَبَذَ النَّاسُ خَوَاتِيمَهُمْ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya Rasulullahpernah menempah orang membuat cincinnya daripada emas. Cincin itu sering baginda pakai, dan baginda letakkan batu cincinnya di bahagian dalam telapak tangannya. Orang ramai pun menirunya dan membuat cincin, kemudian beliau duduk di atas minbar dan mencabut cincinnya seraya bersabda: "Sesungguhnya aku selalu memakai cincin ini, dan aku meletakkan mata cincinnya ke bahagian dalam" kemudian beliau melemparkannya, sambil berkata: "Demi Allah, saya tidak akan memakainya selama-lamanya." Lantas para sahabat membuang cincin-cincin mereka."

Riwayat al-Bukhari (6651) dan Muslim (2091)

Majallah al-Ahkam al-`Adliyyah turut membenarkan istisna` (artikel 389) dengan syarat barang yang ditempah mestilah dipersetujui dari segi deskripsi dan sifatnya (artikel 390). Artikel 391 pula menetapkan bahawa bayaran istisna` tidak semestinya dibuat ketika akad. Istisna` dan istisna` muwazi turut dibenarkan oleh AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) selagi dilakukan menurut cara yang betul.

Rujuk Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam Edisi Kedua (Hlm. 22) oleh Bank Negara Malaysia

 

Kedudukan Penanya di dalam Akad

Kedudukan pihak yang bertanya di dalam akad boleh jadi dalam beberapa bentuk:

  • Dia sebagai muslam fih (penjual dalam bai` salam). Dia bertanggungjawab untuk mendatangkan barangan berdasarkan spesifikasi yang telah ditetapkan sewaktu majlis akad. Dia juga bertanggungjawab terhadap kerosakan yang ada pada barangan dan bukan pengilang.
  • Dia bertindak sebagai agen kepada pihak pengilang. Justeru, pengilang ialah penjual yang sebenar yang bertanggungjawab terhadap kerosakan yang ada pada barangan.

Penting untuk disebutkan bahawa menjadi orang tengah, atau simsar, antara pembeli dan penjual, boleh jadi diharamkan dan diharuskan. Tindakan menjadi orang tengah yang diharamkan ialah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.Anhuma, Perbuatan ini adalah haram berpandukan kepada hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَبِعْ حَاضِرٌ لِبَادٍ، فَقِيْلَ لاِبْنِ عَبَّاسِ: مَا قَوْلُهُ: لاَ يَبِعْ حَاضِرٌ لِبَادٍ؟ قَالَ: لاَ يَكُوْنُ سِمْسَاراً

Maksudnya: “Jangan orang tempatan menjualkan barangan orang kampung. Ibn Abbas R.Anhuma ditanya: Apakah maksud sabda Baginda: Jangan orang tempatan menjualkan barangan orang kampung. Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Jangan jadi orang tengah.”

Riwayat al-Bukhari (2050) dan Muslim (1521)

Berkata para pengarang al-Fiqh al-Manhaji (3/37): “Punca perbuatan ini dilarang dan diharamkan ialah perbuatan ini menyulitkan orang ramai. Namun perlu diingatkan di sini, hukum ini tidak melibatkan apa yang dilakukan oleh orang tengah pada hari ini yang menjualkan barangan yang diambil daripada pengusaha dan dibawa ke bandar. Ini kerana tidak wujud rungutan yang mendakwa amalan ini menyulitkan orang ramai. Malah perbuatan ini boleh memudahkan pengusaha dan juga pengguna.”

Oleh itu larangan menjadi orang tengah atau simsar dalam hadis Rasulullah ﷺ itu tidak terpakai di sini.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa cara perniagaan yang dibuat oleh penanya itu diharuskan oleh Hukum Syarak berdasarkan konsep Bai` al-Istisna’ dan Bai` al-Salam. Tidak timbul isu makan duit di atas angin kerana penjual itu seperti penghutang yang mempunyai dzimmah (tanggungjawab) untuk mendatangkan barang tempahan berdasarkan spesifikasi, waktu dan tempat penyerahan yang telah dipersetujui, jika dibuat atas akad bai` salam/istisna`. Manakala jika perniagaan dibuat atas dasar akad wakalah dan samsarah, maka bayaran yang diambil itu boleh dianggap sebagai ju`alah (upah) atas tenaga buruh yang dikeluarkan oleh agen kepada pengilang. Akhir sekali, kami mencadangkan agar dokumen tempahan, seperti borang, mestilah jelas dan terang menyatakan akad tersebut supaya hak penjual dan pembeli masing-masing terjaga. Wallahua’lam.