Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-463 : ADAKAH DISUNATKAN MENYEMBELIH IKAN YANG BESAR?

IF 463 IKAN BESAR

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Adakah benar bahawa kita disunatkan untuk menyembelih ikan yang besar? Kalau benar, bagaimanakah caranya? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW :

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu  menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.” Riwayat Muslim (1955)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa hadis ini adalah merupakan dalil mengenai kewajipan berlaku ihsan dalam setiap keadaan sehinggakan pada saat mencabut nyawa manusia mahupun haiwan ternakan pun, turut dituntut agar berlaku ihsan iaitu mematikannya atau menyembelihnya dengan cara yang terbaik. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/550)

Bangkai ikan bukan najis

Mengenai perkara ini Nabi SAW ada bersabda :

أُحِلَّت لنا ميتتانِ ودمانِ الميتتانِ الحوتُ والجرادُ والدَّمانِ الكبدُ والطِّحالُ

Maksudnya : “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang, manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.” Riwayat Ahmad (5690) dan Ibn Majah (3314)

Ikan dan belalang tidak berhajat kepada sembelihan kerana bangkai kedua-duanya adalah suci lagi halal sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadis di atas. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/174) Malah, al-Khatib al-Syirbini telah menukilkan bahawa telah berlaku ijma’ mengenai halalnya bangkai ikan dan belalang. Selain itu juga, kerana pada adat kebiasaan kedua-dua haiwan itu tidak mungkin boleh disembelih, maka telah gugur (kewajipan) sembelihan tersebut. Oleh itu, sama ada kedua-duanya mati secara bersebab atau tidak, dan sama ada (dijumpai mati) dalam keadaan terapung (atas air) ataupun tenggelam (ia adalah halal). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/98-99)

Hukum menyembelih ikan

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Imam al-Mawardi mengatakan bahawa adapun ikan tidak wajib menyembelihnya sekalipun ia boleh disembelih dan dapat hidup lama (luar air) selepas ditangkap. Diharuskan untuk menunggunya sehingga mati (dengan sendirinya) dan tidak makruh berbuat demikian. Begitu juga, diharuskan untuk menyegerakan penyembelihannya (mematikannya)  dan juga tidak makruh berbuat demikian. Oleh itu, terdapat dua pendapat mengenai hukum sunat daripadanya :

  • Membiarkannya mati dengan sendirinya adalah lebih baik kerana matinya itu adalah merupakan sembelihannya.
  • Menyembelihnya adalah lebih baik kerana menyegerakannya untuk berehat (mati) daripada lambat mati (terseksa).

(Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/63)

Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya pendapat yang tepat daripada kedua-dua pendapat tersebut sebagaimana katanya :

قَالَ أَصْحَابُنَا وَيُكْرَهُ ذَبْحُ السَّمَكِ إلَّا أَنْ يَكُونَ كَبِيرًا يَطُولُ بَقَاؤُهُ فَوَجْهَانِ أَصَحُّهُمَا يُسْتَحَبُّ ذَبْحُهُ رَاحَةً لَهُ وَالثَّانِي يُسْتَحَبُّ تَرْكُهُ لِيَمُوتَ بِنَفْسِه

Maksudnya : “Ulama-ulama kami (mazhab Syafie) berkata bahawa dimakruhkan untuk menyembelih ikan melainkan ikan itu besar serta dapat hidup lama (di luar air). Ada dua pendapat mengenai ini. Pendapat yang paling sahih ialah disunatkan untuk menyembelih ikan itu bagi merehatkannya (mematikannya). Manakala pendapat yang kedua pula disunatkan untuk membiarkannya agar mati dengan sendirinya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/72)

Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disunatkan untuk menyembelih ikan besar yang mana dapat hidup lama di luar air (lambat mati) bagi merehatkannya (mematikannya), dan makruh hukumnya menyembelih ikan kecil kerana ia adalah perbuatan yang sia-sia dan bersusah payah tanpa sebarang faedah. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/99)

Cara menyembelih ikan besar

Kemudian timbul pula persoalan, sekiranya ikan besar sunat untuk disembelih, bagaimanakah cara sembelihannya?

Syeikh Sulaiman al-Jamal menyebutkan di dalam hasyiahnya bahawa :

فَيُسَنُّ ذَبْحُهَا أَيْ مِنْ ذَيْلِهَا مَا لَمْ تَكُنْ عَلَى صُورَةِ حَيَوَانٍ يُذْبَحُ وَإِلَّا فَتُذْبَحُ مِنْ رَقَبَتِهَا... فَالْمُرَادُ بِالذَّبْحِ الْقَتْلُ

Maksudnya : “Disunatkan menyembelih ikan iaitu pada bahagian hujungnya (ekornya) selagimana mana ikan tersebut tidak menyerupai haiwan yang disembelih (menurut kebiasaan), dan sekiranya tidak (yakni bentuknya seperti haiwan yang disembelih) maka ia akan disembelih pada bahagian lehernya… Sembelihan yang dimaksudkan di sini ialah mematikannya (membunuhnya).” (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/269-270)

Dalam kenyataannya yang lain, beliau menyatakan sesiapa yang mahu menyembelih ikan, adalah lebih baik penyembelihan itu pada bahagian hujungnya (ekornya). Ini bagi bentuk ikan sebagaimana yang telah diketahui umum. Adapun mana-mana ikan yang tidak menyerupai bentuk ikan sebagaimana yang telah diketahui umum seperti ikan yang menyerupai keldai atau manusia. Maka, hendaklah penyembelihan itu pada lehernya atau bahagian lubbah (sekitar pangkal leher) sebagaimana haiwan-haiwan darat yang lain. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/239)

Syeikh al-Bujairami pula menyebutkan sebab sembelihan tersebut berlaku pada bahagian hujungnya :

فَيُسَنُّ ذَبْحُهَا أَيْ مِنْ الذَّيْلِ لِأَنَّهُ أَصْفَى لِلدَّمِ

Maksudnya : “Disunatkan untuk menyembelih ikan iaitu pada bahagian hujungnya (ekornya) kerana ia adalah lebih bersih kerana lebih banyak darah (yang keluar darinya).” (Lihat Hasyiah al-Bujairami, 4/326)

Oleh itu, sembelihan pada ikan besar adalah bermaksud mematikannya (membunuhnya). Ia bertujuan untuk membersihkannya dengan cara mengalirkan darah keluar daripada ikan besar tersebut bagi menyegerakan matinya. Justeru, disunatkan untuk menyembelih ikan besar pada bahagian hujungnya (ekornya) kerana pada bahagian tersebut lebih banyak darah yang keluar darinya menurut pemerhatian mereka.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Bangkai ikan sama ada kecil atau besar adalah suci dan halal dimakan serta tidak perlu kepada sembelihan bagi menghalalkannya (untuk dimakan) sebagaimana yang telah dinukilkan bahawa para ulama telah Ijma’ mengenai perkara tersebut.
  • Walau bagaimanapun, disunatkan untuk menyembelih ikan besar yang mana lambat mati bagi menyegerakan matinya (merehatkannya). Akan tetapi, makruh hukumnya menyembelih ikan yang kecil kerana perkara tersebut adalah sia-sia dan bersusah payah tanpa faedah.
  • Kami berpendapat bahawa cara sembelihannya tidak terhad hanya kepada bahagian hujungnya (yakni ekornya) sahaja. Tetapi mana-mana bahagian yang dapat mengeluarkan darahnya (dengan banyak) dan menyegerakan matinya adalah lebih baik dan utama seperti bahagian hujungnya atau lain-lain. Ini menepati saranan agama agar berlaku ihsan kepada haiwan sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.