Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Sepertimana yang kita ketahui, negara telah mengeluarkan arahan supaya rakyat tidak keluar rumah (perintah berkurung) bagi mengekang penularan Covid-19. Semasa dalam perintah berkurung ini, bolehkah kita menunaikan solat Jumaat di rumah dengan mengambil pendapat ulama Hanafi berkenaan pendapat minima bilangan jemaah? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)
Syarat sah solat Jumaat secara berjemaah
Terdapat beberapa syarat yang disebutkan oleh para ulama yang menjadi syarat sah solat Jumaat. Antara syarat-syarat tersebut, ada yang mereka sepakati dan ada juga yang mereka berselisih akannya.
Kami melihat persoalan ini berkait dengan sekurang-kurangnya dua syarat sah solat Jumaat iaitu bilangan minima jemaah dan masjid sebagai tempat solat Jumaat.
Sebelum kami membahaskan lebih lanjut mengenai dua syarat tersebut, kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah dilaksanakan secara berjemaah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya : Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit. Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/248)
Adakah masjid syarat sah solat Jumaat?
Jumhur ulama kecuali Maliki, tidak mensyaratkan solat Jumaat mesti dilaksanakan di dalam bangunan masjid. (Lihat Fatawa Syar’iyah wa Buhuth Islamiah, 1/274) Imam al-Nawawi secara jelas menyatakan bahawa :
وَلَا يُشْتَرَطُ إِقَامَتُهَا فِي مَسْجِدٍ وَ لَكِنْ تَجُوزُ فِي سَاحَةٍ مَكْشُوفَةٍ... وَسَوَاءٌ صَلُّوهَا فِي رُكْنٍ أَمْ سَاحَةٍ -وَلَوْ انْهَدَمَتْ أَبْنِيَةُ القَرْيَةِ أَوْ البَلْدَةِ- فَأَقَامَ أَهْلُهَا عَلَى عِمَارَتِهَا لَزِمَتْهُمْ الجُمُعَةُ فِيهَا سَوَاءٌ كَانُوا فِي سَقَائِفِ وَ مَظَالٍ أَمْ لَا. لِأَنَّهُ مَحَلُّ الاسْتِيطَانِ.
Maksudnya : “Tidak disyaratkan untuk mendirikannya (solat Jumaat) di dalam masjid, bahkan harus untuk mendirikannya di tempat lapang yang terbuka… samada mereka mendirikan solat tersebut di penjuru atau di lapangan - jika sekiranya bangunan di tempat tersebut telah hancur- kemudian penduduknya mengimarahkannya semula, maka wajib bagi mereka menunaikan solat Jumaat di dalamnya, sama ada dilakukan di bawah bumbung ataupun tidak. Ini kerana tempat tersebut menjadi tempat bermastautin.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/501)
Kami telah membahaskan perkara ini secara panjang lebar di dalam ruangan al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-1321.[1]
Kadar bilangan Jemaah solat Jumaat
Sekalipun, para ulama sepakat bahawa syarat sah solat Jumaat hendaklah dilakukan secara berjemaah. Namun, mereka telah berselisih pada kadar bilangan jemaah yang menjadi had penentuan sahnya solat Jumaat kepada beberapa pendapat.
Menurut Abu Hanifah dan Muhammad al-Syaibani, bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah empat orang termasuk Imam. Akan tetapi, Abu Yusuf menyatakan bahawa bilangan jemaah solat Jumaat ialah tiga orang termasuk Imam. (Lihat Kanz al-Daqaiq, hlm. 189; Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 1/268 dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/504) Mereka berdalilkan bahawa :
لأنه عدد يزيد على أقل الجمع المطلق
Maksudnya : “Kerana ia adalah merupakan bilangan yang melebihi had minima bagi kata jamak (plural)”. (Lihat Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, 1/268 dan al-Nahr al-Faiq Syarh Kanz al-Daqaiq, 1/360)
Manakala ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah 12 orang lelaki yang bermastautin dan kekal bersama Imam dari awal khutbah sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/248-249) Mereka berhujahkan dengan riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A yang mengatakan bahawa Nabi SAW sedang menyampaikan khutbah Jumaat dalam keadaan berdiri. Tiba-tiba datang satu rombongan dagang dari Syam, maka para jemaah telah bergegas ke arah rombongan itu sehingga tidak ada lagi yang tinggal bersamanya (mendengar khutbah tersebut) melainkan dua belas orang lelaki. Maka, turunlah ayat 11 surah al-Jumu‘ah. Riwayat Muslim (863)
Ulama mazhab Syafie dan Hanbali pula meletakan syarat bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah seramai 40 orang atau lebih. Ini juga adalah merupakan pendapat ‘Ubaidullah bin Abdullah bn ‘Utbah, dan salah satu riwayat Umar bin Abdul Aziz. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/503; al-Umm, 1/219; dan al-Raudh al-Murbi’, hlm. 151) Empat puluh orang lelaki tersebut mestilah memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202) Juga bilangan 40 orang itu hendaklah berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163) Antara hujah mereka ialah riwayat daripada Abd al-Rahman bin Ka’ab bin Malik yang menyebutkan bahawa jumlah jemaah solat Jumaat yang pertama di Madinah ialah 40 orang lelaki. Riwayat al-Daraqutni (1585)
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, meskipun seseorang itu ingin menunaikan solat Jumaat di rumahnya dengan mengambil pendapat ulama mazhab Hanafi pada soal bilangan minima jemaah solat, harus diingat ulama mazhab Hanafi juga telah meletakkan syarat sah solat Jumaat ialah mendapat keizinan pemerintah. Juga mendapat keizinan am untuk melaksanakan solat Jumaat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/250)
Ibn Nujaim al-Misr al-Hanafi menyebutkan bahawa syarat sah solat Jumaat ialah pelaksanaannya mestilah diumumkan sehinggakan kalau pemerintah menutup pintu kubunya (tidak membenarkan orang luar) dan menunaikan solat Jumaat di dalamnya bersama ahli-ahlinya serta askar-askarnya sahaja, solat Jumaat tersebut tidak sah… sekiranya pintu dibuka dan diberi keizinan untuk orang ramai masuk (menunaikan solat Jumaat bersama), solat Jumaat tersebut sah tetapi makruh kerana ia tidak menunaikan hak Masjid Jamek. (Lihat al-Bahr al-Raiq, 2/162-163)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa perlunya kepada keizinan am bagi menunaikan solat Jumaat (menurut mazhab Hanafi) kerana setiap perhimpunan memerlukan keizinan (pemerintah) bagi menghadirinya. Oleh itu, tidak akan berlaku sesuatu perhimpunan melainkan dengan keizinan (pemerintah). Begitu juga, solat Jumaat ini adalah merupakan syiar Islam dan keistimewaan umat ini, maka pelaksanaannya mestilah diumumkan (kepada orang ramai). (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/250)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat di rumah bersama ahli keluarga sahaja adalah tidak boleh dan tidak sah. Hal ini kerana perkara tersebut tidak memenuhi syarat-syarat sah solat Jumaat sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama terutamanya mazhab Hanafi yang meletakkan keizinan pemerintah sebagai syarat sah solat Jumaat. Lebih-lebih lagi, perbuatan tersebut itu juga tidak menunjukkan ciri solat Jumaat serta tidak memenuhi hikmah utamanya iaitu pertemuan setiap peringkat orang Islam di dalam satu kariah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/199) Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan bahawa :
أن الجمعة تتطلب الاجتماع
Maksudnya : “Sesungguhnya solat Jumaat menuntut kepada perhimpunan manusia.” (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 2/249)
Selain itu juga, larangan ini bertujuan mengambil langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kekeliruan buat umat Islam di negara ini, yang kebanyakannya adalah bermazhab syafie. Oleh itu, sepanjang perintah berkurung ini, hendaklah menggantikannya dengan solat Zohor yang dilaksanakan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.
Mematuhi arahan pemerintah yang melarang mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh perintah berkurung ini adalah wajib kerana ia melibatkan maslahah umat Islam iaitu mengekang penularan wabak penyakit berjangkit. Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya : “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”
Surah Al-Nisa’ (59)
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3556-al-kafi-1321-hukum-melaksanakan-solat-jumaat-di-halaman-masjid-atau-tanah-lapang.