Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-500 : HUKUM MENJUAL KENDERAAN YANG SUDAH DITEMPAH TANPA DEPOSIT KEPADA PEMBELI LAIN

IF500

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin menjual kereta dan telah iklankannya di laman web menjual kereta. Kereta tersebut sudah mendapat respon dari seseorang yang berminat untuk membelinya melalui web tersebut. Selepas perbincangan dan tawar-menawar, kami sudah bersetuju dengan harga tertentu tanpa sebarang deposit, cuma disebabkan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kami sepakat akan meneruskan proses selepas tempoh ini.

Namun, baru-baru ini, ada jiran tetangga saya ingin membelinya. Dia mampu untuk menyerahkan wang dengan segera dan saya juga mampu menyerahkan kereta dengan mudah kepadanya. Tambahan pula, dia mahu membeli dengan harga asal yang lebih tinggi daripada harga yang telah ditawarkan kepada penempah pertama tadi.

Persoalan saya, bolehkah saya menjual kereta tersebut kepada jiran saya tersebut, walaupun sudah bersetuju pada awalnya untuk memberi kepada penempah pertama?

Mohon pencerahan berkaitan perkara ini. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

Pada asasnya, Allah SWT melarang umat Islam untuk memakan harta orang secara batil dan telah menetapkan bahawa jual-beli hendaklah dilakukan atas dasar suka sama suka. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

(Surah al-Nisa: 29)

Begitu juga dalam sesuatu akad seseorang itu haruslah menepati syarat-syarat yang telah dipersetujuinya, kecuali jika syarat tersebut mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram. Ini berdasarkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: Kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram.

Hadith riwayat al-Tirmidzi: 1352

Apabila sesuatu barang sudah dijual atau dipersetujui untuk dijual kepada seseorang, maka orang lain tidak boleh untuk menjual barang yang sama di atas jualan saudaranya tersebut selama mana masih dalam tempoh khiyar. Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَبِيعُ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ

Maksudnya: Jangan seseorang itu menjual sesuatu barang di atas jualan kawannya.

Hadith riwayat al-Bukhari (2139) dan Muslim (1413)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَخْطُبُ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ وَلَا يَسُومُ عَلَى سَوْمِ أَخِيهِ

Maksudnya: Janganlah seseorang meminang di atas pinangan saudaranya, dan janganlah seseorang membeli di atas belian saudaranya.

Hadith riwayat Muslim: (1408)

Hal ini sama seperti perbuatan seseorang membeli di atas belian orang lain. Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa, haram juga membeli di atas belian orang lain, seperti seseorang berkata kepada penjual, 'batalkan akad ini, aku akan membelinya dengan harga yang lebih tinggi', atau dengan lafaz yang seumpamanya.

Adapun yang dimaksud dengan al-saum (السوم) di dalam hadith, apabila pemilik barang dan orang yang ingin membelinya masing-masing bersetuju dalam jual-beli, tetapi masih tidak menyempurnakan akadnya, maka apabila seseorang berkata kepada penjual, 'jualkannya kepada aku', haram hukumnya jika sudah ditetapkan harga. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim, 10/158)

Namun begitu, jika sekiranya ia tetap dilakukan juga, dengan maksud ia dijual kepada pembeli yang lain, maka jumhur ulama' mengatakan akad jual-beli tersebut adalah sah, walaupun ianya haram dan pelakunya berdosa. (Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9: 217)

Hal ini kerana, hikmah daripada pengharaman tersebut adalah bagi mengelakkan persengketaan, permusuhan dan dendam dalam kalangan umat Islam akibat daripada perbuatan tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum menjual sesuatu barang yang sudah ditempah kepada pembeli yang lain adalah haram. Jika sekiranya ia tetap dijual kepada pembeli tersebut, maka jual-beli tersebut sah walaupun kedua-dua penjual dan pembeli tersebut berdosa kerana telah menyakiti dan menzalimi penempah pertama.

Dalam situasi seperti ini, sebaik-baiknya hendaklah diminta keizinan daripada penempah pertama terlebih dahulu dan berbincang sebelum menjualnya kepada orang lain. Ini kerana sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah melunasi syarat dan janji yang telah dijanjikan. Firman Allah SWT:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

(Surah al-Isra': 34)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.