Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-504: HUKUM PUSAKA BAGI WANITA YANG DICERAIKAN

irsyad504

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanyakan satu soalan berkenaan pusaka. Saya telah diceraikan oleh suami saya dengan talak satu, namun dalam tempoh iddah saya ini, bekas suami saya telah meninggal dunia, justeru soalan saya, adakah saya boleh mewarisi harta pusakanya meskipun saya telah diceraikannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

 وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌۚ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَۚ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍۚ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمۚ مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍۗ 

Maksudnya: Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. 

Surah al-Nisa’ (12)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa suami isteri berhak mewarisi harta peninggalan pasangannya mengikut kepada kadar-kadar yang ditentukan. Imam al-Qurtubi memberi tafsiran mengenai ayat ini bahawa wanita mewarisi ¼ harta peninggalan suaminya sekiranya dia tidak mempunyai anak. Manakala, sekiranya suami meninggalkan anak, maka bahagian isteri menjadi 1/8. Dan kadar ini juga terpakai ke atas poligami dengan bahagian yang sama, bermakna sama ada seorang isteri atau dua atau tiga atau empat, kesemuanya berkongsi hukum yang sama. Ini kerana Allah S.W.T tidak membezakan di antara hukum bagi seorang dan ramai dari kalangan isteri. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/76].

Berdasarkan ayat kedua belas ini, secara mafhumnya dapat kita ketahui bahawa isteri boleh mewarisi harta pusaka suaminya melalui perkahwinan yang sah. Dan sedia maklum bahawa perkahwinan merupakan salah satu sebab kepada perwarisan. Ini juga sepertimana yang ditekankan oleh Imam al-Rahabi dalam matannya:

أسباب ميراث الورى ثلاثه ... كل يفيد ربه الوراثه

وهي نكاح وولاء ونسب ... مابعدهن للمواريث سبب

Maksudnya:

Sebab mewarisi pusaka manusia ada tiga,

Semua yang ada sebab ini akan mewarisi pusaka,

Iaitu pernikahan, wala’ dan keturunan,

Tiada yang lain selain tiga sebab ini.

[Lihat: Matan al-Rahabiyyah; hlm.3]

Imam al-Syirbini mengatakan di dalam kitabnya berkenaan sebab perwarisan yang kedua iaitu pernikahan:

ثَانِيهَا (نِكَاحٌ) صَحِيحٌ وَلَوْ بِلَا وَطْءٍ فَيَرِثُ بِهِ كُلٌّ مِنْ الزَّوْجَيْنِ الْآخَرَ فِي فَرْضٍ فَقَطْ

Maksudnya: Keduanya (iaitu pernikahan) yang sah (di sisi syarak) walaupun belum bersetubuh, maka kedua-duanya (suami isteri) boleh mewarisi antara satu sama lain pada kadar yang telah ditetapkan iaitu secara fardh sahaja.

[Lihat: Mughni al-Muhtaj; 4/9]

Maka, pernikahan yang tidak sah tidak membolehkan berlakunya perwarisan pusaka. Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, berkenaan dengan wanita yang telah diceraikan, adakah dia masih boleh mewarisi harta pusaka bekas suaminya.

Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (5/76) menukilkan dalam kitab mereka berkenaan talak raj’ie (talak yang boleh dirujuk semula)[1], bahawa isteri yang diceraikan oleh suami mereka dengan talak satu, kemudian si suami meninggal, maka isteri berhak mewarisi harta pusaka suaminya selama mana dalam tempoh iddah. Mereka menambah lagi, bahawa harta pusaka tidak boleh diwarisi antara suami isteri sekiranya pernikahan mereka itu ialah pernikahan yang rosak (fasid) walaupun telah berlakunya persetubuhan mahupun khalwat antara mereka berdua seperti contoh pernikahan tanpa wali, atau pernikahan tanpa saksi, begitu juga nikah mut’ah. Selain itu, perwarisan juga tidak boleh berlaku disebabkan perbuatan zina dan juga disebabkan wat’ie syubhah (persetubuhan syubhah).

Perkara ini juga disebut oleh Dr Muhammad al-Zuhaili di dalam kitabnya, katanya sebab perwarisan yang kedua ini iaitu pernikahan, disyaratkan wujud ikatan pernikahan sama ada secara hakiki yakni isteri masih lagi dalam perkahwinan bersama si suami dan juga hukmi yakni isteri yang diceraikan dengan talak raj’ie dan bekas suaminya itu meninggal dalam tempoh iddahnya. Faedah lain di sini juga adalah sekiranya isteri yang telah diceraikan secara talak raj’ie meninggal dalam tempoh iddahnya, maka suami berhak juga mewarisi harta peninggalan bekas isterinya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/350].

Hal ini juga kami ada bahaskan dalam satu artikel khas kami yang bertajuk AL-KAFI #1054: STATUS IDDAH DAN HARTA PUSAKA BAGI WANITA YANG DITALAK SATU KEMUDIAN MATI SUAMINYA.

Antara isu lain yang timbul ialah bagaimana pula dengan talak ba’in. Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili menambah lagi dalam tajuk yang sama berkenannya dengan berkata bahawa perempuan yang diceraikan oleh suaminya dengan talak ba’in, maka dia tidak boleh mewarisi harta bekas suaminya sekiranya bekas suaminya itu meninggal dunia semasa tempoh iddahnya sedang berlangsung. Begitu juga bekas suami tidak boleh mewarisi harta bekas isteri yang meninggal dunia sekalipun tempoh iddahnya masih belum tamat. Ini kerana bainunah memutuskan hubungan pernikahan yang sememangnya menjadi sebab kepada perwarisan. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/351].

Dr Shalih Fauzan juga menukilkan perkara yang sama dalam kitabnya di satu bahagian khas yang bertajuk “mirath al-mutallaqah” iaitu pusaka bagi perempuan yang diceraikan. Kata beliau: “Perempuan yang diceraikan secara keseluruhannya ada tiga jenis iaitu:

  • Perempuan yang diceraikan secara talak raj’ie sama ada talak tersebut dilafazkan dalam keadaan sihat mahupun sakit.
  • Perempuan yang diceraikan secara talak ba’in yang talaknya itu dilafazkan ketika suaminya sihat.
  • Perempuan yang diceraikan secara talak ba’in yang talaknya itu dilafazkan ketika suaminya dalam keadaan sakit yang boleh membawa kepada kematian (marad al-maut).

Daripada ketiga-tiga jenis ini, syeikh seterusnya menyatakan mereka yang berhak mewarisi dan tidak berhak mewarisi harta pusaka bekas pasangan mereka:

  • Perempuan yang ditalak raj’ie berhak menerima pusaka secara sepakat ulama’.
  • Perempuan yang ditalak ba’in dalam keadaan sihat, suaminya tidak berhak menerima pusaka secara ijma’ kerana putusnya hubungan perkahwinan.
  • Perempuan yang ditalak ba’in ketika suaminya sakit membawa kematian dalam keadaan tidak ditohmah untuk menghalang pusaka (bagi isterinya) tidak berhak mewarisinya juga. 
  • Perempuan yang ditalak ba’in ketika suaminya sakit membawa kematian dalam keadaan ditohmah untuk menghalang pusakanya (bagi si isteri) menjadi khilaf ulama’:
  • - Perempuan tersebut tidak berhak mewarisi kerana telah diceraikan secara ba’in sebelum kematian suaminya, maka terputus perwarisan pusaka bekas suaminya. Inilah pendapat yang sahih dari dua pendapat Imam al-Syafie. [Lihat juga: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/62].
  • - Dia berhak mewarisi selama mana dalam iddah. Inilah pendapat mazhab Hanafi.
  • - Dia berhak mewarisi, sama ada dalam iddah atau selepasnya, selama mana dia tidak berkahwin atau murtad. Inilah pendapat ulama’ Hanbali.
  • - Dia berhak mewarisi pada masa iddah atau selepasnya, sama ada perempuan itu sudah berkahwin atau tidak. Inilah pendapat mazhab Maliki.

[Lihat: al-Tahqiqat al-Mardhiyyah; hlm.33-34]

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, isteri yang diceraikan oleh suami secara talak raj’ie berhak mewarisi harta peninggalan suaminya yang telah mati selagi mana isteri dalam tempoh iddah. Begitu juga si suami berhak mewarisi harta pusaka bekas isterinya yang diceraikan dengan jenis yang sama dan dalam tempoh yang sama.

Manakala bagi talak ba’in, isteri tidak berhak mewarisi harta peninggalan suami sama ada talak tersebut dilafazkan dalam keadaan sihat atau sakit yang boleh membawa kepada maut. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan keimanan dan juga hati kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

 

[1] Lihat artikel kami yang bertajuk AL-KAFI #1447: BOLEHKAH BERKAHWIN SEMULA JIKA DICERAIKAN DENGAN CARA FASAKH untuk mengetahui lebih lanjut akan takrifan jenis-jenis talak, melalui laman web kami di link: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3837-al-kafi-1447-bolehkah-berkahwin-semula-jika-diceraikan-dengan-cara-fasakh, laman web diakses pada 30 Mac 2020.