Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-511: HUKUM JUAL BELI KETIKA WAKTU JUMAAT DI MUSIM COVID-19

irsyad511

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan berkenaan jual beli ketika Jumaat. Seperti yang sedia maklum, bahawa jual beli sewaktu Jumaat adalah dilarang sama sekali bagi orang lelaki yang mukallaf, namun persoalan saya, dalam situasi masa kini, di waktu wabak COVID-19 melanda dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan yang memberi kesan kepada aktiviti-aktiviti Masjid termasuklah solat Jumaat dan juga berjemaah terpaksa ditutup ekoran daripadanya, maka jual beli ketika waktu Jumaat ini, adakah dibenarkan atau bagaimana? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah al-Jumu’ah (9)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T menyatakan suruhan kepada setiap lelaki muslim yang mukallaf agar segera bergerak ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan juga larangan daripada melakukan sebarang transaksi jual beli ketika itu. Imam al-Qurtubi menukilkan di dalam tafsirnya, bahawa Allah SWT melarang melakukan jual beli pada waktu tersebut bagi mereka yang diperintahkan untuk melaksanakan kewajipan solat Jumaat. Meskipun, dalam ayat hanya digunakan lafaz البيع, namun ia sudah memberi makna keseluruhan kerana penjualan tidak akan terjadi tanpa adanya pembelian (الشراء), lantaran itu hanya disebutkan salah satu daripadanya. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 18/107].

Imam al-Qurtubi menambah lagi: Barangsiapa yang tidak diwajibkan untuk menghadiri solat Jumaat, maka dia tidak dihalang untuk melakukan jual beli. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 18/107]. Mereka yang tidak diwajibkan itu ada disebut di dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِى جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِىٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap orang Islam secara berjemaah melainkan kepada 4 golongan iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Maka, jelas di sini bahawa larangan jual beli tersebut adalah pada individu lelaki muslim yang diwajibkan solat Jumaat. Adapun, sekiranya individu tersebut bukanlah dalam kalangan mereka yang diwajibkan Jumaat, Imam al-Nawawi berkata:

إذَا تَبَايَعَ رَجُلَانِ لَيْسَا مِنْ أَهْلِ فَرْضِ الْجُمُعَةِ لَمْ يَحْرُمْ بِحَالٍ وَلَمْ يُكْرَهْ

Maksudnya: Sekiranya dua orang lelaki yang tidak diwajibkan solat Jumaat melakukan transaksi jual beli sesama mereka berdua, maka ia tidak diharamkan pada masa Jumaat dan tidak pula makruh.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 4/500]

Berdasarkan kepada keumuman soalan yang diajukan, ia berkenaan dengan jual beli yang dilakukan sewaktu solat Jumaat. Kami ada menjawab persoalan berkenaan waktu larangan jual beli ketika Jumaat melalui sebuah artikel yang bertajuk, AL-KAFI #1382: WAKTU LARANGAN JUAL BELI PADA HARI JUMAAT[1].  

Seperti yang sedia maklum bahawa tiada larangan untuk melakukan jual beli sebelum gelincirnya matahari pada hari Jumaat dan juga selepas selesai menunaikan solat Jumaat. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 1/500]. Ini juga berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

Surah al-Jumu’ah (10)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, yakni hukum melakukan jual beli bagi lelaki yang mukallaf ketika waktu Jumaat dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan atas sebab penularan wabak COVID-19 yang berleluasa. Bertitik tolak daripada PKP ini, solat berjemaah dan juga solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan di masjid bagi mencegah dari merebaknya wabak ini ke seluruh manusia. Hukum berkenaan solat jumaat dan juga solat berjemaah juga ada kami terangkan dalam artikel kami yang bertajuk AL-KAFI #1657: HUKUM SOLAT JUMAAT DALAM SUASANA COVID-19[2].

Berdasarkan kepada soalan ini, perlunya kita melihat kepada illah dan juga sebab pengharaman jual beli ketika Jumaat. Seperti yang dinyatakan di atas, dapat kita lihat bahawa ‘illah atau sebab kepada pengharaman ini adalah suruhan agar segera bergerak ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Imam al-Tabari berkata bahawa suruhan meninggalkan jual beli itu ketika diseru dalam khutbah untuk menunaikan solat Jumaat. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 23/383].

Imam al-Qurtubi berkata, setiap perkara yang menyibukkan diri seseorang itu daripada Jumaat, maka ia adalah haram secara syarak. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 18/108].

Imam al-Razi menukilkan di dalam tafsirnya bahawa al-Farra’ berkata sesungguhnya diharamkan jual beli ketika diseru (mendengar azan) bagi menunaikan solat Jumaat di tempat perhimpunan. [Lihat: Mafatih al-Ghaib; 30/542].

Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menukilkan di dalam tafsirnya bahawa terdapat lafaz balaghah pada ayat ini iaitu pada lafaz وذروا البيع, iaitu lafaz majaz mursal, yakni lafaz jual beli adalah mutlak, namun dimaksudkan di sini adalah setiap jenis perbuatan yang melalaikan dan menyibukkan (diri seseorang itu daripada bersegera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat). [Lihat: Tafsir al-Munir; 28/194].

Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut bahawa dikhususkan jual beli kerana ia disebut di dalam al-Quran, dan diqiyaskan juga ke atasnya pada perkara selain daripadanya yang menyibukkan diri seseorang daripada bersegera bagi menunaikan solat Jumaat. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 1/501].

Berdasarkan kepada semua penjelasan di atas, dapat kita perhatikan di sini, bahawa pengharaman jual beli tersebut adalah pada waktu tertentu iaitu selepas azan yang kedua yakni selepas imam mula duduk di atas kerusi mimbar, sehinggalah selesai menunaikan solat. Dan pengharaman ini juga setelah diteliti adalah atas sebab kerana jual beli ini menyibukkan seseorang daripada bersegera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, kerana solat Jumaat waktunya agak terhad berbanding waktu jual beli yang luas. Disebabkan itu, perbuatan-perbuatan lain yang menyibukkan dan melalaikan seseorang itu ketika itu juga adalah haram hukumnya kerana waktu itu sepatutnya adalah waktu untuk mengingati Allah S.W.T dengan mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat.

Imam Ibn Qudamah menyebut di dalam kitabnya:

فإن الله تعالى إنما نهى عن البيع من أمره بالسعي، فغير المخاطب بالسعي لا يتناوله النهي، ولأن تحريم البيع معلل بما يحصل به من الاشتغال عن الجمعة، وهذا معدوم في حقهم.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah S.W.T ketikamana melarang daripada melakukan jual beli melalui suruhannya agar bersegera (ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat), maka bagi selain daripada mereka yang disuruh dengan penyegeraan tersebut tidak terkena hukum larangan ke atas mereka, kerana pengharaman ataupun larangan jual beli adalah disebabkan oleh apa-apa yang mendatangkan kesibukan dan gangguan daripada Jumaat, dan perkara ini nyata tidak terpakai ke atas mereka.

[Lihat: al-Mughni; 2/220]

Perkara ini juga disebut oleh al-Syeikh Kamal Humair, dalam satu perbincangan, beliau ditanya akan hukum jual beli pada zaman ditangguhkan solat jumaat disebabkan oleh wabak COVID-19. Beliau menjawab bahawa pengharaman tersebut adalah pengharaman yang bersebab, dan sebab bagi pengharaman tersebut adalah kerana padanya terdapat kesibukan yang menyibukkan seseorang dari bersegera menunaikan solat Jumaat[3].

Syeikh al-Khaslan juga apabila ditanya soalan yang sama, beliau menjawab, ayat ini adalah ketika diseru untuk menunaikan solat Jumaat yakni ketika hendak didirikan solat Jumaat, namun berdasarkan situasi kini, dalam keadaan solat Jumaat tidak didirikan maka ia kembali kepada solat zohor, maka disebabkan itu, ia tidak termasuk dalam konteks larangan jual beli[4].

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan kepada penjelasan-penjelasan dan juga pendapat-pendapat yang telah dinyatakan di atas, maka hukum berjual beli ketika waktu Jumaat di masa tiada dilaksanakan solat Jumaat ekoran penularan wabak COVID-19 dan juga penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hukumnya adalah harus yakni dibolehkan. Akhir kalam, kami mendoakan agar kita semua diberikan oleh Allah S.W.T kefahaman dalam memahami agamaNya, moga Allah S.W.T mengurniakan keikhlasan dan keringanan dalam diri kita untuk beribadah kepadaNya serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

 

[1] https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3711-al-kafi-1382-waktu-larangan-jual-beli-pada-hari-jumaat, Laman web diakses pada 17 April 2020.

[2] https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4318-al-kafi-1657-hukum-solat-jumaat-dalam-suasana-covid-19, Laman web diakses pada 17 April 2020.

[3] https://www.youtube.com/watch?v=sfuuzHVk5XU, Laman web diakses pada 17 April 2020.

[4] https://www.youtube.com/watch?v=eDPdfQTJ2L8, Laman web diakses pada 17 April 2020.