Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-546: STATUS HUKUM DAGING IMPORT YANG DIBELI SEBELUM TIMBUL ISU SINDIKET KARTEL DAGING

546.PNG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya nak tanya berkenaan sekarang sedang hangat isu daging import yang diragui status halalnya. Jadi, kalau kita yang masih ada lagi simpanan stok daging import yang telah dibeli sebelum berlaku isu bagaimana ya? Kalau yakin halal bolehkah dimakan sedangkan isu ini sedang menular di seluruh negara, mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Jika daging import tersebut telah dibeli sebelum berlakunya sindiket kartel daging dan tidak bersumberkan daripada gudang terlibat maka halal untuk dimakan berpandukan kriteria tertentu. Tetapi, seandainya diyakini bersumberkan gudang yang melakukan sindiket kartel sebaiknya kita bersikap dengan sikap wara’ dan berhati-hati (ihtiyat) dengan tidak memakan daging import tersebut.

Huraian Jawapan

Muqaddimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kiamat.

Latarbelakang Isu Sindiket Kartel Daging Import

Pada 2 Disember 2020 telah timbul isu sindiket kartel daging import haram di Senai, Johor Bahru yang melibatkan aktiviti pemalsuan perlabelan logo halal. Sindiket seperti ini berlaku disebabkan sikap tidak amanah serta tamak untuk mengaut keuntungan melampau dan mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna. Berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian, syarikat pembekal terbabit menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal dan resit bayaran.[1] Daging tersebut di bawa masuk daripada empat buah negara iaitu Cina, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa tempatan, syarikat pembekal dalam masa yang sama turut mengimport daging daripada sumber yang sah. Kesemua daging yang diimport akhirnya ditempatkan di dalam suatu tempat simpanan khas sebelum dibungkus semula. Daging import tersebut akan dimasukkan ke dalam kotak sebelum ditampal logo halal palsu.[2] Selain itu, terdapat rekod resit penerimaan kemasukan daging babi juga ditemui di tempat kejadian. Namun, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjelaskan bahawa setelah penyiasatan awal dilakukan didapati tiada daging babi ditemui di tempat kejadian.[3]

Kebiasaannya, taktik jahat yang digunakan kartel daging import adalah dengan mengimport sama daging daripada sumber yang sah dan juga meletakkan daging-daging berstatus halal secara bercampur dengan daging tidak mempunyai sijil halal yang sah.[4] Perkara ini menyebabkan status halal daging tersebut diragui dan memerlukan penelitian semula.

Setelah tularnya sindiket ini di media massa, maka masyarakat selaku pengguna produk daging import mula merasa gusar dan gelisah. Hal ini terutama apabila melibatkan aspek status halal produk daging tersebut. Majoriti masyarakat di Malaysia adalah beragama Islam maka sudah pasti kejelasan status halal produk daging tersebut menjadi kebimbangan sesama mereka.

Oleh itu, terdapat persoalan yang timbul baru-baru ini kepada pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu kartel daging import haram. Soalannya, jika seseorang masih mempunyai stok daging import yang telah dibeli sebelum isu ini timbul bagaimana hendak dilakukan? Sekiranya, pengguna tersebut meyakini kehalalan daging tersebut adakah boleh terus dimakan? Sedangkan isu ini sedang menular di seluruh negara.

Hujah dan Analisis

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ…

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…”

[Al-Baqarah 2: 172]

Berdasarkan ayat di atas, jelas Allah SWT memerintahkan kepada keseluruhan umatnya yang beriman untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. Lihat Tafsir al-Sa’di, (1/81)

Perkara ini menjadi suatu keistimewaan Islam kerana Islam amat memberikan perhatian terhadap setiap aspek dalam kehidupan manusia khususnya aspek makanan. Makanan adalah aspek penting dalam tubuh badan kita, jika terdapat ketirisan dan kesilapan dalam pemakanan akan memberi kesan terhadap jasmani dan rohani. Setiap makanan yang dimakan akan menjadi darah daging kepada seseorang.

Selain itu, setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram nescaya azab neraka baginya. Oleh itu, benarlah sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai orang. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana pengembala yang membawa haiwan gembalaannya di sekitar kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki sempadan dan sempadan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat Muslim (107)

Menerusi hadis di atas, dapat difahami bahawa Islam mengajarkan kepada umatnya untuk menjauhi perkara-perkara syubhat khususnya melibatkan hal-hal pemakanan. Hal ini kerana, dibimbangi umatnya terjebak dalam perkara-perkara yang membawa kepada haram. Lihat al-Minhaj Sharh Sahih Muslim (11/28)

Lebih-lebih lagi, makanan merupakan keperluan asasi bagi manusia. Setiap yang hidup memerlukan kepada makanan demi kelangsungan hidup. Justeru, pemilihan makanan yang halal dan tidak mengandungi syubhat boleh memberikan impak yang baik terhadap pembinaan rohani dan jasmani.

Setiap individu muslim dituntut agar mencari makanan yang halal kerana di sana terdapat banyak keburukan yang akan diperolehi kesan daripada memakan makan yang tidak halal. Antaranya seperti yang disebut oleh Imam Al-Ghazali, kesemua ibadah yang dilakukan akan menjadi sia-sia apabila memakan makanan yang haram, dan memakan makanan yang halal adalah asas bagi segala ibadah. Lihat Ihya’ Ulum al-Din (4/492)

Apabila daging yang telah dibeli memang diketahui secara pasti sumbernya dan telah disahkan oleh pihak bertanggungjawab bahawa daging tersebut telah bercampur dengan perkara haram, maka ketika itu haram memakannya. Hal ini berpandukan kepada kaedah fiqh:

إذَا اجْتَمَعَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ غَلَبَ الْحَرَامُ

Maksudnya: Apabila bercampur antara yang halal dan yang haram, maka yang haram akan diutamakan.

Lihat al-Ashbah wa al-Naza’ir (1/105)

Walaupun demikian, seseorang boleh untuk meninggalkan sesuatu perbuatan atas dasar wara’ dan berhati-hati (ihtiyat), sekiranya berdepan dengan perkara-perkara yang diyakini mengandungi syubhat dan ini adalah sebaik-baik tindakan. Kerana perkara ini mampu memberikan ketenangan kepada setiap individu mukmin dalam kehidupan mereka.

Kesimpulan

Setelah meneliti isu ini, kami berpandangan bahawa daging import tersebut boleh dimakan berdasarkan hujah di atas, apatah lagi pembeli tersebut yakin dengan status halal tersebut. Tetapi, sekiranya logo halal tersebut bersumberkan daripada empat negara yang terlibat dalam sindiket kartel daging import baru-baru ini iaitu Cina, Ukraine, Brazil dan Argentina sebaiknya tidak makan. Bahkan, jika kita ragu-ragu dengan daging import tersebut, sebaiknya kita bersikap wara’ dan berhati-hati (ihtiyat) dalam hal-hal yang melibatkan pemakanan kerana sesuatu makanan yang baik mampu mendatangkan keharmonian dan ketenangan kepada rohani dan jasmani kita.

Rujukan

[1] Izwan Rozlin & Muhammad Afham Ramli, “Gudang Kartel Proses Daging Babi”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/113228/LAPORAN-KHAS/Gudang-kartel-proses-daging-babi.

[2] Izwan Rozlin & Muhammad Afham Ramli, “Kartel Ciplak Tiga Jenama Daging Australia”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/113375/LAPORAN-KHAS/Kartel-ciplak-tiga-jenama-daging-Australia.

[3] Mohd Hafiz Ismail, “Kartel Daging Haram: Tiada daging babi ditemui”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/113795/BERITA/Nasional/Kartel-daging-haram-Tiada-daging-babi-ditemui.

[4] Izwan Rozlin & Muhammad Afham Ramli, “Kartel Tukar Daging Haram Jadi Halal”, laman sesawang Sinar Harian, dicapai 12 Disember 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/112898/LAPORAN-KHAS/Kartel-tukar-daging-haram-jadi-halal.

[5] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1982), 4: 492.

[6] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Naza’ir (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1990), 1: 105.