Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-551: HUKUM CIUMAN MULUT ANTARA LELAKI DENGAN LELAKI

 

IF 551

 

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. Baru-baru ini gempar tentang seorang individu berkongsi video-video mencium mulut adik angkat yang terdiri dalam kalangan kanak-kanak di media sosial dan aksi mengundang perasaan jijik orang ramai. Boleh mohon pencerahan daripada pihak Ustaz?

Jawapan Ringkas:

Hukum lelaki mencium mulut sesama lelaki, atau perempuan mencium mulut sesama perempuan dengan syahwat atau tanpa syahwat adalah haram dan dilarang oleh syarak. Adapun mencium lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan selain daripada mulut tanpa syahwat atas tujuan untuk berbuat baik ataupun memuliakan kerana perasaan rindu ketika berjumpa atau berpisah adalah dibenarkan. Berbeza hukumnya dengan lelaki amrad yang meransang syahwat, tidak dibenarkan berjabat tangan dengannya apatah lagi menciumnya dengan tujuan berseronok (istimta’). Manakala sekiranya mencium amrad pada bahagian telapak tangan, kepala dan dahi (bukan bahagian mulut) yang tidak meransang syahwat atas tujuan untuk berbuat baik atau memuliakannya adalah dibenarkan, namun meninggalkannya adalah lebih baik.

Kami ingin menasihatkan bagi para ibu bapa untuk memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan kepada anak-anak terutamanya mengenai bahagian-bahagian penting tubuh yang tidak boleh disentuh sewenangnya oleh orang lain. Begitu juga dengan perbuatan mencium pada bahagian mulut. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergaulan anak-anak mereka bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini ini.

Huraian Jawapan:

Batas Pergaulan

Bagi meneliti persoalan ini, perkara pertama yang perlu dibincangkan adalah mengenai batas pergaulan dalam Islam. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Imam Nawawi berkata:

ستر العورة واجب

Maksudnya: Menutup aurat adalah wajib.

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/165)

Umum mengetahui batasan aurat lelaki dan perempuan adalah seperti yang dijelaskan oleh BaFadhl al-Hadrami:

عورة الرجل وَالْأمة مَا بَين السُّرَّة وَالركبَة والحرة فِي صلَاتهَا وَعند الْأَجَانِب جَمِيع بدنهَا إِلَّا الْوَجْه وَالْكَفَّيْن وَعند محارمها مَا بَين السُّرَّة وَالركبَة

Maksudnya: Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut.

(Rujuk al-Muqaddimah al-Hadramiyah 1/76)

Islam bukan sahaja menitikberatkan juga soal menutup aurat yang telah ditetapkan, malahan Islam juga melarang seseorang muslim melihat aurat seorang muslim yang lain demi menjaga kehormatan dan maruah bersama. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: Tidak boleh seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan tidak boleh bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Serta tidak boleh seorang lelaki berbaring dengan lelaki lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh seorang perempuan berbaring dengan perempuan lain di bawah selimut yang sama.

(Sahih Muslim No.338)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini menunjukkan haram seorang lelaki melihat aurat lelaki dan haramnya seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Sheikh Mubarakfuri menukilkan kenyataan Imam Nawawi di dalam karyanya Tuhfah al-Ahwazi (Larangan berbaring di dalam satu pakaian atau selimut terhadap dua lelaki) adalah larangan pengharaman sekiranya tiada lapik antara mereka. Pada hadis itu menunjukkan haram menyentuh aurat orang lain pada setiap tempat anggota badannya. Ini adalah perkara disepakati serta menjadi perkara yang diketahui umum.

(Rujuk Tuhfah al-Ahwazi Syarh Jami’ at-Tirmizi 8/63)

Syariat Islam menutup jalan yang membawa kepada perkara haram. Oleh yang demikian, larangan supaya tidak melihat aurat orang lain adalah kerana perkara tersebut akan membawa kepada perkara haram. Justeru itu, hadis ini terkandung larangan Nabi SAW terhadap lelaki untuk melihat aurat lelaki lain dan begitu juga larangan terhadap wanita untuk melihat aurat perempuan yang lain dan juga larangan terhadap lelaki berdua-duaan dengan lelaki lain dalam satu selimut.

Ini adalah kerana perkara tersebut boleh mendedahkan auratnya kepada orang lain dan menyentuh aurat antara satu sama lain. Perbuatan menyentuh aurat ini adalah dilarang sebagaimana dilarang melihatnya, bahkan lebih kuat larangannya kerana membawa kepada kerosakan yang besar seperti berzina sesama jantina.

Pengertian Amrad Dan Hukum Mengenainya

Secara fitrahnya, golongan yang akan meningkat dewasa terdapat tanda-tanda yang menunjukkan perubahan fizikal seperti tumbuh janggut dan misai bagi golongan lelaki remaja dan perubahan dari sudut bentuk fizikal di bahagian tertentu bagi golongan wanita remaja. Namun begitu, tidak semua remaja akan memiliki tanda-tanda tersebut meskipun umur sudah mencapai tahap dewasa. Remaja lelaki  tampan yang tidak memiliki tanda-tanda dewasa ini dikategorikan sebagai Amrad. Berkata Syeikh Sulaiman al-Bujairami dalam mendefinisikan perkataan amrad:

من لم تنبت لحيته ولم يصل إلى أوان إنباتها في غالب الناس

Maksudnya: Seseorang lelaki yang tidak tumbuh janggutnya dan tidak sampai waktu tumbuh janggutnya mengikut kebiasaan manusia.

(Rujuk al-Bujairami ala al-Khatib 3/324)

Berdasarkan pengertian diatas menerangkan amrad ialah sesiapa yang tidak tumbuh janggutnya pada kebiasaan waktu manusia tumbuh janggut. Menurut Syeikh Ibrahim al-Baijuri ada menambah dalam menerangkan pengertian perkataan amrad:

هو الشاب الذي لم تنبت لحيته ولا يقال لمن أسن ولا شعر بوجهه أمرد، بل يقال: له ثط

Maksudnya: Dia ialah seorang remaja lelaki yang tidak tumbuh janggutnya lagi dan tidak dikatakan kepada mereka yang sudah dewasa dan tiada bulu di wajahnya sebagai amrad bahkan dipanggil sebagai thad (orang yang sedikit janggutnya).

(Rujuk Mughni al-Muhtaj  3/176)

Pengertian diatas menerangkan bahawa amrad ialah dari kalangan remaja lelaki yang tidak tumbuh janggutnya. Menurut Syeikh Abdullah bin Muhammad al-Nabrawi dalam kitabnya juga ada menerangkan pengertian amrad:

الشاب الجميل الذي لم تنبت لحيته

Maksudnya: Seorang remaja lelaki tampan yang tidak tumbuh janggutnya.

(Rujuk:  Ikhtiyarat al-Nawawi  h.507)

Oleh yang demikian, berdasarkan pengertian-pengertian yang dikemukakan oleh para ulama fiqh dapat difahami bahawa amrad ialah mereka dari kalangan remaja lelaki yang memiliki wajah yang tampan dan menarik serta tidak tumbuh janggut mengikut kebiasaan manusia. Janggut merupakan salah satu daripada tanda-tanda usia meningkat dewasa. Namun persoalan timbul mengenai hukum lelaki berinteraksi dengan amrad ini. Menurut Imam Nawawi yang menyebutkan mengenai hal ini:

ولا يجوز النظر إلى الأمرد من غير حاجة لأنه يخاف الافتتان به كما يخاف الافتتان بالمرأة

Maksudnya: Tidak dibolehkan melihat amrad tanpa kepentingan tertentu kerana dikhuatiri akan terjadi fitnah sebagaimana terjadinya fitnah bagi perempuan (yang bersama lelaki)

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 16/133)

Berdasarkan pendapat Imam Nawawi diatas, melihat amrad tanpa keperluan adalah tidak boleh kerana berkemungkinan akan berlakunya fitnah. Imam Nawawi menjelaskan lagi mengenai larangan melihat seorang amrad, baik dengan syahwat mahupun tidak, dan juga dikhuatiri fitnah atau tidak.

وكذلك يحرم على الرجل النظر إلى وجه الأمرد إذا كان حسن الصورة سواء كان نظره بشهوة أم لا

Maksudnya: Dan begitu juga diharamkan keatas lelaki memandang kepada wajah amrad sekiranya berwajah tampan sama ada memandangnya dengan syahwat ataupun tidak.

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 4/26)

Menurut Imam Nawawi menjelaskan larangan melihat amrad adalah sebagaimana larangan melihat perempuan bukan mahram kerana amrad mempunyai kesamaan dalam merangsang syahwat sebagaimana perempuan boleh merangsang syahwat lelaki:

وَدَلِيلُهُ أَنَّهُ فِي مَعْنَى الْمَرْأَةِ فَإِنَّهُ يُشْتَهَى كَمَا تُشْتَهَى وَصُورَتُهُ فِي الْجَمَالِ كَصُورَةِ الْمَرْأَةِ بَلْ رُبَّمَا كَانَ كَثِيرٌ مِنْهُمْ أحْسَنَ صُورَةً مِنْ كَثِيرٍ مِنَ النِّسَاءِ بَلْ هُمْ فِي التَّحْرِيمِ أَوْلَى لِمَعْنًى آخَرَ وَهُوَ أَنَّهُيَتَمَكَّنُ فِي حَقِّهِمْ مِنْ طُرُقِ الشَّرِّ مالا يَتَمَكَّنُ مِنْ مِثْلِهِ فِي حَقِّ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: Dalil larangan melihat amrad adalah sebagaimana larangan melihat aurat perempuan. Sesungguhnya amrad juga boleh merangsang syahwat sepertimana perempuan boleh merangsang syahwat lelaki dan rupa paras amrad yang tampan seperti rupa paras wanita  bahkan ada sebahagian besar mereka yang lebih bagus rupa parasnya dari kebanyakan perempuan. Bahkan dalam hal melihat amrad, pengharaman itu lebih utama disebabkan makna yang lain iaitu kemungkinan besar boleh berlaku perbuatan buruk melibatkan amrad yang tidak mungkin berlaku perbuatan buruk yang melibatkan perempuan.

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 4/26)

Namun begitu, pendapat Imam Nawawi ini iaitu haram melihat dan berinteraksi dengan amrad sama ada secara syahwat ataupun tidak bukan pendapat yang muktamad. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini tentang hukum yang muktamad di dalam mazhab al-Syafi’ie adalah harus melihat dan berinteraksi dengan amrad sekiranya tidak bersyahwat, namun yang diharamkan ketika berinteraksi dan melihat amrad sekiranya dengan syahwat.

­(Rujuk: Mughni al-Muhtaj 3/131)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa berinteraksi dengan golongan amrad ini tidak boleh dipandang remeh dan bersahaja oleh golongan dewasa, hal ini kerana ulama mengharamkan interaksi bersama golongan ini kerana boleh mendatangkan fitnah mahupun merangsang syahwat.

Adapun begitu,  mendatangi mereka dengan cara bersentuhan tanpa lapis serta mencium di mulut tanpa sebab, maka perbuatan ini lebih utama diharamkan. Menurut Imam nawawi dalam kitabnya al-Majmuk Syarh al-Muhazzab ada berkata:

فأما الأمرد الحسن فيحرم بكل حال تقبيله سواء قدم من سفر أم لا والظاهر أن معانقته قريبة من تقبيله وسواء كان المقبل والمقبل صالحين أو غيرهما

Maksudnya: Maka adapun amrad yang tampan rupa parasnya maka diharamkan pada setiap keadaan untuk menciumnya sama ada baru datang dari permusafiran ataupun tidak, dan secara zahir sesungguhnya memeluk amrad lebih dekat dengan menciumnya sama ada yang mencium atau dicium dari kalangan orang yang soleh ataupun selain daripadanya.

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/638)

Justeru itu, berdasarkan penerangan teliti diatas dapat difahami bahawa haram seorang lelaki untuk memandang remaja lelaki tampan rupa paras yang tidak tumbuh janggutnya dalam keadaan syahwat yang tiada keperluan. Malahan, menyentuh dan memeluknya apatah lagi menciumnya di mulut. Hal ini kerana terdapat larangan daripada syariat terhadap perbuatan tersebut kerana ianya dapat menimbulkan fitnah serta membawa kepada kerosakan yang lebih besar dalam agama. Adapun memandang dan berinteraksi dengan mereka dalam keadaan tidak bersyahwat dan aman dari fitnah adalah dibolehkan. 

 

Hukum Mencium Mulut

Ulama’ banyak membincangkan tentang hukum mencium antaranya hukum mencium ahli keluarga atau mahram. Dan perbuatan mencium antara mahram seperti seorang ayah mencium anak perempuannya atau seorang ibu mencium anak lelakinya atau seorang abang mencium adik perempuannya adalah tidak boleh pada mulut kerana perbuatan tersebut khusus untuk suami isteri sahaja. Manakala sekiranya perbuatan mencium tersebut dilakukan pada dahi atau kepala maka ianya dibolehkan sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan al-Hakim bahawa Rasulullah s.a.w mencium Fatimah selepas pulang daripada peperangan.

 كان النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - حِينَ قَدِمَ مِنْ الْغَزْوِ فَقَبَّلَ فَاطِمَةَ

Maksudnya: Nabi s.a.w ketika pulang daripada peperangan maka baginda mencium Fatimah.

(Riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim)

Hadis tersebut menunjukkan keharusan untuk mencium sesama mahram. Namun menurut Ibn Muflih menyatakan bahawa perbuatan mencium tersebut tidak boleh dilakukan pada mulut tetapi boleh dilakukan pada dahi atau kepala.

‌وَلَكِنْ ‌لَا ‌يَفْعَلُهُ ‌عَلَى ‌الْفَمِ ‌أَبَدًا: ‌الْجَبْهَةِ ‌أَوْ ‌الرَّأْسِ.[1]

Maksudnya: Tetapi tidak boleh selama-lamanya untuk melakukannya (mencium) pada mulut: akan tetapi yang dibolehkan adalah pada dahi dan kepala.

(Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah 266/2)

Pandangan ini juga turut disokong oleh Ibn Naja dalam al-Iqna’ fi Fiqh Mazhab Imam Ahmad bahawa mencium mahram boleh selagi tidak mendatangkan syahwat tetapi ciuman tersebut tidak boleh sama sekali dilakukan pada mulut.

‌ولا ‌بأس ‌للقادم ‌من ‌سفر ‌بتقبيل ذوات المحارم إذا لم يخف على نفسه لكن لا يفعله على الفم بل الجبهة والرأس[2]

Maksudnya: Dan tidak mengapa bagi orang yang pulang dari musafir untuk mencium mahramnya sekiranya dia tidak takut ke atas dirinya (naik syahwat), tetapi tidak boleh mencium pada mulut bahkan ianya boleh pada dahi dan kepala.

(Rujuk al-Iqna’ fi Fiqh Mazhab Imam Ahmad 160/3)

Asas kepada larangan tersebut adalah kerana ciuman pada mulut boleh mendatangkan syahwat bahkan ia turut terpakai pada keadaan ciuman pada bahagian lain yang boleh mendatangkan syahwat. Sekiranya ciuman pada anggota lain tersebut seperti pada dahi dan kepala tidak mendatangkan syahwat maka ianya tidak dilarang.

(Rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin[3] 380/6; Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 130/13)

Sebagaimana telah dijelaskan di atas bahawa perbuatan mencium pada mulut tidak dibenarkan bagi sesama jantina atau sesama mahram kerana perbuatan tersebut adalah dikhususkan untuk suami isteri sahaja. Tambahan lagi, mulut juga dikira antara sebahagian daripada erogenous zone iaitu bahagian tubuh yang sensitif dan boleh menyebabkan rangsangan seksual apabila disentuh[4]. Oleh kerana itu, kita dapat lihat signifikan perbincangan para fuqaha’ tentang hukum mencium pada bahagian mulut bagi sesama jantina atau sesama mahram adalah haram kerana perbuatan tersebut mampu merangsang syahwat.

Selain itu, perbuatan tersebut juga boleh menjadi salah satu bentuk pendahuluan (mukadimah) kepada berlakunya zina. Ini kerana, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w di mana baginda menyebut zina bukan sahaja pada memasukkan kemaluan dalam kemaluan bukan melalui jalan yang halal bahkan zina juga boleh terjadi pada anggota dan perbuatan yang lain seperti zina mata, lidah, tangan dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ

Maksudnya: Allah s.w.t telah menetapkan ke atas anak Adam sebahagian daripada zina, tiada yang akan terlepas daripadanya. Zina bagi mata adalah kerana penglihatan, dan zina bagi lidah adalah percakapan, nafsu menginginkan dan mendambakan, dan alat kemaluan yang menentukan sama ada zina itu berlaku atau tidak.

(Sahih Muslim No.2657)

Imam Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menerangkan bahawa hadis di atas menyatakan bahawa zina terbahagi kepada 2 bentuk iaitu bentuk hakiki iaitu memasukkan alat kelamin ke dalam alat kelamin secara haram dan bentuk kiasan seperti melalui melihat, sentuhan, ciuman, percakapan dan sebagainya. Oleh kerana itu, segala perbuatan yang boleh membawa kepada berlakunya zina secara hakiki atau kiasan adalah dilarang.

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 206/12)

Risiko Perlakuan Ini Terhadap Kanak-Kanak

Kami turut memandang serius perkara ini sekiranya ianya dilakukan oleh seorang lelaki atau wanita dewasa terhadap kanak-kanak lelaki atau perempuan kerana perkara tersebut boleh membawa kepada mudharat yang lebih besar seperti sexual grooming. Sexual grooming merujuk kepada satu proses seorang kanak-kanak didekati oleh bakal pemangsa dengan cubaan untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak tersebut dan membolehkan pemangsa untuk melakukan perkara tidak bermoral padanya[5].

Sexual Grooming atau Child Grooming ini boleh dikategorikan sebagai penderaan seksual kanak-kanak. Menurut Norazla Abd Wahab (2018)[6], takrifan bagi penderaan seksual merangkumi tiga bahagian iaitu perbuatan sentuhan, perbuatan tanpa sentuhan dan pornografi kanak-kanak dan ini termasuklah dalam konteks perbincangan ini iaitu mencium pada bahagian mulut. Justeru, di Malaysia, kerajaan telah memperuntukkan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 bagi menangani masalah ini. Akta ini telah menerangkan skop jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan menyenaraikan pornografi, pengantunan[7] (sexual grooming) dan amang seksual sebagai kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Kesimpulan:

Hukum lelaki mencium mulut sesama lelaki, atau perempuan mencium mulut sesama perempuan dengan syahwat atau tanpa syahwat adalah haram dan dilarang oleh syarak. Adapun mencium lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan selain daripada mulut tanpa syahwat atas tujuan untuk berbuat baik ataupun memuliakan kerana perasaan rindu ketika berjumpa atau berpisah adalah dibenarkan. Berbeza hukumnya dengan lelaki amrad yang meransang syahwat, tidak dibenarkan berjabat tangan dengannya apatah lagi menciumnya dengan tujuan berseronok (istimta’). Manakala sekiranya mencium amrad pada bahagian telapak tangan, kepala dan dahi (bukan bahagian mulut) yang tidak meransang syahwat atas tujuan untuk berbuat baik atau memuliakannya adalah dibenarkan, namun meninggalkannya adalah lebih baik.

Kami ingin menasihatkan bagi para ibu bapa untuk memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan kepada anak-anak terutamanya mengenai bahagian-bahagian penting tubuh yang tidak boleh disentuh sewenangnya oleh orang lain. Begitu juga dengan perbuatan mencium pada bahagian mulut. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergaulan anak-anak mereka bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini ini.

Wallahualam.

 

[1] Al-Adab al-Syar’iyyah 266/2. Terbitan ‘Alim al-Kutub

[2] Al-Iqna’ fi Fiqh Mazhab Imam Ahmad 160/3. Dar al-Ma’rifah: Beirut

[3] Ibn Abidin. 1966. Hasyiah Ibn Abidin. Terbitan Darul Fikir: Beirut

[4] https://www.merriam-webster.com/dictionary/erogenous%20zone#:~:text=%3A%20a%20sensitive%20area%20on%20the,arousal%20when%20it%20is%20touched

[5] Samantha Craven, Sarah Brown & Elizabeth Gilchrist. 2007. Sexual grooming of children: Review of literature and theoretical considerations

[6] Norazla Abdul Wahab & Mohd Farok Mat Nor. 2018. Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017: Penambahbaikan Perundangan Berkaitan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Malaysia

[7] Antun kanak-kanak ialah sejenis aktiviti jenayah, kadangkala melalui Internet, yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan dengan tujuan untuk memujuk mereka supaya menjalinkan hubungan seksual