SOALAN
Assalamualaikum wbkth. Apakah hukum isteri reda suaminya jadi maknyak?
RINGKASAN JAWAPAN
Hukum tasyabbuh atau lelaki menyerupai perempuan dan sebaliknya adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar yang dimurkai Allah SWT. Manakalah isteri yang meredai kepada suaminya yang melakukan perkara haram turut juga berdosa. Isteri sewajarnya tidak boleh meredai dalam perkara maksiat dan perkara yang dilarang dalam Agama. Sewajarnya isteri menegur suaminya agar meninggalkan kemungkaran.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SAW. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Menurut Ibnu Manzur tasyabbuh ialah suatu objek itu menyerupai atau menyamai dengan sesuatu yang lain.
(Rujuk: Lisan al-Arab, 7/24)
Dari segi perbahasan fiqh, tasyabbuh yang bermaksud penyerupaan dalam perkara - perkara seperti berikut:
- Pakaian.
- Perhiasan.
- Percakapan dan suara.
- Gaya berjalan dan gerak badan.
- Mengubah bentuk fizikal badan.
(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 12/12)
Hukum tasyabbuh adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas al-Quran dan Hadis bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya. Antara dalil - dalil pengharaman tasyabbuh adalah firman Allah SWT:
وَلَأُضِلَّنَّهُمۡ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمۡ وَلَأٓمُرَنَّهُمۡ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلۡأَنۡعَٰمِ وَلَأٓمُرَنَّهُمۡ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلۡقَ ٱللَّهِۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيۡطَٰنَ وَلِيّٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدۡ خَسِرَ خُسۡرَانٗا مُّبِينٗا
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”.
Surah al-Nisa’ (119)
Melalui ayat lain Allah SWT berfirman:
فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ
Maksudnya: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Surah al-Rum (30)
Melalui Hadis pula, terdapat banyak hadis yang menyentuh berkaitan lelaki berpakaian wanita atau menyerupai wanita (tasyabbuh) seperti mana hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat para lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki”.
Riwayat al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) & al-Tirmizi (2785)
Ibn al-Athir berkata: al-Mutarajjilat ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. Al-Mukhannath pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan.
(Rujuk: Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/203)
Menurut riwayat yang lain:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat lelaki-lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki dalam kalangan perempuan.”
Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Daud (4097), al-Tirmizi (2784) & Ibn Majah (1904)
Di dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi menukilkan kalam Imam al-Tabari bahawa tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga menurut al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum.
(Rujuk: Tuhfah al-Ahwazi, 8/57)
Al-Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Hadis tersebut menunjukkan pengharaman perempuan menyerupai lelaki dan sebaliknya.
(Rujuk: Subul al-Salam, 2/421)
Selain itu, HARAM hukumnya bagi isteri meredai sesuatu perbuatan kufur dan maksiat yang dilakukan oleh suaminya. walaupun dirinya sendiri tidak melakukan perbuatan tersebut. Hal ini berdasarkan satu kaedah yang menyebut:
وَالرِّضَا بِالْكُفْرِ كُفْرٌ، كَمَا أَنَّ الرِّضَا بِالْفِسْقِ فِسْقٌ
Maksudnya: “Reda dengan kekufuran adalah kufur seperti juga reda kepada fasiq adalah fasiq”.
(Rujuk: Mafatih al-Ghaib al-Tafsir al-Kabir,16/16)
Sedangkan dalam Islam menyuruh supaya kita mencegah perkara kufur dan maksiat bukan meredainya. Perkara ini dinyatakan dalam sepotong hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat satu perkara mungkar maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.
Riwayat Muslim (47) dan Ibnu Majah (4013)
Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali, hadis di atas menunjukkan kewajipan mengingkari itu bergantung kepada penglihatan. Kewajipan itu mempunyai tiga martabat berdasarkan kemampuan iaitu bermula dengan kuasa, seterusnya lidah dan akhirnya dengan hati. Kewjipan mencegah dengan hati tidak mungkin terlepas daripada diri setiap muslim. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا عُمِلَتِ الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا كَمَنْ غَابَ عَنْهَا، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا
Maksudnya: “Apabila dilakukan satu kesalahan di atas muka bumi, sesiapa yang menyaksikannya lalu membencinya adalah seperti orang yang tidak berhadapan dengannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya (tidak berhadapan dengan maksiat), lalu dia reda dengan maksiat itu, adalah seperti orang yang menyaksikannya”.
Riwayat Abu Daud (4345)
Ibnu Rajab al-Hanbali mengulas hadis di atas dengan katanya:
فَمَنْ شَهِدَ الْخَطِيئَةَ، فَكَرِهَهَا قَلْبُهُ كَانَ كَمَنْ لَمْ يَشْهَدْهَا إِذَا عَجَزَ عَنْ إِنْكَارِهَا بِلِسَانِهِ وَيَدِهِ، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا وَقَدَرَ عَلَى إِنْكَارِهَا وَلَمْ يُنْكِرْهَا لِأَنَّ الرِّضَا بِالْخَطَايَا مِنْ أَقْبَحِ الْمُحَرَّمَاتِ، وَيَفُوتُ بِهِ إِنْكَارُ الْخَطِيئَةِ بِالْقَلْبِ، وَهُوَ فَرْضٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، لَا يَسْقُطُ، عَنْ أَحَدٍ فِي حَالٍ مِنَ الْأَحْوَالِ
maksudnya: “Sesiapa yang menyaksikan perbuatan mungkar lalu membencinya di dalam hatinya adalah dia seperti orang yang tidak menyaksikannya apabila dia tidak mampu mengingkarinya dengan lidah dan tangannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya lalu dia reda dengan kemungkaran itu merupakan antara seburuk-buruk perkara yang diharamkan dan terluputlah dengan reda itu tindakan mengingkari kesalahan dengan hati sedangkan ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim yang tidak akan gugur daripada seorang pun dalam apa keadaan sekalipun”.
(Rujuk: Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245)
Sehubungan dengan itu juga, seseorang yang beriman itu tidak sepatutnya mendahulukan ketaatan kepada makhluk daripada ketaatan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا
Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.
Surah al-Ahzab (36)
Maka dalam perkara ini, sewajarnya isteri tidak meredai perkara maksiat yang telah dilakukan oleh suaminya, kerana Imam al-Qurtubi menyebut satu kaedah di dalam tafsirnya:
الرِّضَا بِالْمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةً
Maksudnya: “Reda dengan perkara maksiat maka ianya juga merupakan maksiat”.
(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 4/295)
KESIMPULAN
Kesimpulannya, isteri perlulah berperanan sebagai pencegah kemungkaran yang telah dilakukan oleh suaminya yang sudah jelas bertentangan dengan hukum syarak. Pencegahan perlu dilaksanakan dengan bijaksana dan berhikmah tanpa kepada kekasaran dan pergaduhan. Sebaiknya si isteri menasihati suaminya agar menghadiri majlis-majlis ilmu dan sentiasa mendoakannya agar kembali dan bertaubat kepada Allah.