Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-567: ISU PEMERIKSAAN HAID PELAJAR WANITA; ADAKAH SELARI DENGAN DIDIKAN ISLAM?

IF 567

 

Soalan:

Assalamualaikum. Baru-baru ini hangat dibincangkan isu pemeriksaan haid pelajar wanita di sekolah-sekolah. Adakah tindakan pemeriksaan haid ini selari dengan didikan Islam?

Jawapan Ringkas:

Penerangan mengenai haid adalah perkara yang perlu dilakukan oleh penjaga dan pendidik bagi memastikan anak perempuan benar-benar memahami kriteria darah, perkara-perkara yang diharamkan, disunatkan dan digalakkan ketika haid serta cara penjagaan kebersihan diri dalam tempoh tersebut. Namun, Islam menggariskan batasan-batasan Islam dalam hal ini seperti larangan meyentuh bahagian terlarang seperti punggung dan larangan mengintip.

Semestinya para pendidik berhasrat untuk mengambil cakna soal ibadah para pelajar wanita di bawah didikannya. Namun, sikap mempercayai, menjaga hak privasi juga diambil kira. Semoga sikap berhati-hati kita mampu menarik rasa hormat serta kasih anak-anak muda kepada golongan lebih dewasa apabila kita mengiktiraf hak-hak mereka, seterusnya menjadikan mereka lebih cakna dengan hukum-hakam haid.

Huraian:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Haid merupakan satu kejadian fitrah atau semulajadi yang telah ditetapkan oleh Allah terhadap kaum wanita. Ia berlaku dalam tempoh tertentu yang mana berkait rapat dengan beberapa hukum hakam di dalam Islam, antaranya sepertimana yang diriwayatkan dalam sepotong hadis:

جَاءَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ أَبِي حُبَيْشٍ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ "لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلاَةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي ‏"

Maksudnya: Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku seorang wanita yang sering keluar darah, maka aku tidak dalam keadaan suci. Adakah aku perlu tinggalkan solat? Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, itu adalah darah penyakit dan bukan darah haid. Apabila haid (yang sebenar) keluar, tinggalkanlah solat. Sekiranya ia berhenti, basuhlah kesan darah (istihadah) dan mandilah (junub) serta dirikanlah solat.”.

Riwayat al-Bukhari (306), Muslim (322), al-Nasai’e (214) dan Ibn Majah (115)

Haid adalah salah satu petanda akil baligh bagi anak perempuan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

عَنْ عَائِشَةَ، رضى الله عنها أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ، دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ‏ "يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا ‏"‏ ‏.‏ وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ 

Maksudnya: Sayyidatina Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah masuk menemui Rasulullah SAW dalam keadaan berpakaian nipis. Maka, Baginda SAW memalingkan pandangan daripadanya seraya berkata: “Wahai Asma’, seorang wanita yang telah mengalami haid tidak boleh dilihat bahagian tubuh badannya kecuali ini dan ini” dan mengisyaratkan kepada wajah serta kedua-dua tapak tangannya.

Riwayat Abu Daud (4104)

Hal ini jelas disebutkan di kesemua kitab-kitab Fiqh bahawa apabila seorang anak perempuan mengalami haid, dia telah mencapai akil baligh. Maka, hukum taklif dipertanggungjawabkan ke atas anak perempuan yang mana menjadikan segala segala tuntutan fardu menjadi wajib ke atasnya, dan segala transaksi dan perbuatannya diambil kira dalam persoalan hukum-hakam.

Namun, persoalan yang timbul adalah, bagaimanakah didikan Islam terhadap anak perempuan yang mencapai tempoh ini?

Dr. Abdullah Nasih Ulwan menyatakan dalam kitab Tarbiatul Awlad bahawa ibu bapa perlu memberi penerangan dan penekanan kepada anak perempuan mengenai darah haid sekurang-kurangnya bermula umur 9 tahun kerana ia merupakan sekurang-kurang umur keluar haid bagi anak perempuan. [1]

Ini menunjukkan peri pentingnya didikan ilmu dan kefahaman kepada anak-anak, khususnya anak perempuan dalam memahami darah haid sebagai petanda akil baligh serta hukum hakam syarak, iaitu halal, haram, wajib dan sebagainya.

Seorang anak perempuan perlu dididik tentang cara mengenalpasti serta membezakan kriteria darah, kiraan kitaran haid, cara penjagaan kebersihan diri dalam menguruskan darah yang keluar, hukum-hakam berkaitan ibadah dan sebagainya. Perkara ini amat perlu ditekankan sama ada oleh penjaga seperti ibu bapa dan pendidik seperti guru-guru di sekolah. Tidak dinafikan bahawa penerangan, peringatan, didikan, pantauan dan sebagainya perlu dilakukan oleh orang dewasa bagi memastikan seorang anak perempuan benar-benar memahami keadaan dirinya sendiri.

Namun, berkenaan isu pemeriksaan darah haid dengan cara menyentuh bahagian punggung bagi memastikan pelajar wanita benar-benar memakai tuala wanita, meminta mereka menunjukkan tuala wanita yang terkena darah, meminta mereka mencalit sedikit darah di tuala wanita bagi menunjukkan bukti darah dan sebagainya adalah bertentangan dengan saranan Islam dalam menjaga privasi seseorang.

Sentuhan di bahagian punggung juga adalah diharamkan dalam Islam kecuali dalam situasi darurat seperti melibatkan risiko kesihatan dan nyawa. Keadaan ini sama sekali tidak termasuk dalam kategori darurat. Oleh itu, perbuatan tersebut sendiri adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Ia juga adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Merujuk kepada Seksyen 377D, Kanun Keseksaan (Akta 574), perbuatan ini boleh dimasukkan bawah kesalahan Melanggar Kesopanan. Seksyen ini menyatakan:

377D. Melanggar Kesopanan

“Mana-mana orang yang melakukan, atau bersubahat melakukan, atau mendapat atau mencuba mendapat supaya dilakukan oleh mana-mana orang, apa-apa perbuatan kelucahan melampau dengan orang lain di tempat awam atau di tempat persendirian, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun.” [2]

Maka jelas di sini bahawa perbuatan ini perlu ditinggalkan kerana ia berlawanan dengan ajaran Islam dan undang-undang di Malaysia.

Selain itu, alasan pemeriksaan tersebut dibuat bagi benar-benar memastikan bahawa pelajar tersebut dalam keadaan haid pula termasuk dalam keadaan mengintip dan mencari kesalahan serta keaiban orang lain. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;

Surah al-Hujurat (12)

Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam Tafsir al-Munir [3] menyebut berkenaan tajassus (mengintip) apabila mensyarahkan ayat ini:

فالتجسس: البحث عما هو مكتوم عنك من عيوب المسلمين وعوراتهم

Maksudnya: “Mengintip: Mencari tentang suatu yang tersembunyi daripada kamu mengenai aib orang Islam dan aurat mereka”

(Rujuk: Tafsir al-Munir, 26/255)

Namun, adakah ini bermaksud pemeriksaan dan pantauan kitaran haid tidak perlu dilakukan terhadap pelajar wanita pada usia remaja? Tidak sama sekali. Pantauan, penerangan dan didikan perlu terus dijalankan, namun tanpa melebihi had yang dibenarkan. Oleh itu pihak sekolah perlu lebih bijak dalam mencari jalan yang terbaik untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah pelajar-pelajar wanita yang menipu tanpa melibatkan pelanggaran privasi.

Selain itu penekanan terhadap fiqh wanita, terutama hukum hakam berkenaan kitaran darah haid perlu dilestarikan dalam pendidikan para pelajar wanita. Di samping itu, peringatan terus menurus tentang bahana menipu dan hukumnya di sisi agama agar para pelajar sentiasa beringat tentang keburukannya. Sesi konsultusi persendirian mengenai haid juga merupakan salah satu jalan untuk mengatasi masalah ini di samping menyediakan buku rekod haid pelajar supaya pemeriksaan secara terbit dan sopan dapat dijalankan

Kesimpulan

Penerangan mengenai haid adalah perkara yang perlu dilakukan oleh penjaga dan pendidik bagi memastikan anak perempuan benar-benar memahami kriteria darah, perkara-perkara yang diharamkan, disunatkan dan digalakkan ketika haid serta cara penjagaan kebersihan diri dalam tempoh tersebut. Namun, Islam menggariskan batasan-batasan Islam dalam hal ini seperti larangan meyentuh bahagian terlarang seperti punggung dan larangan mengintip.

Marilah bersama-sama menanamkan jiwa pendidik yang lebih mengutamakan kefahaman anak-anak muda sambil menekankan perkara-perkara yang penting untuk diketahui. Segala usaha yang telah dijalankan semestinya mendapat ganjaran pahala di sisi Allah. Semoga sikap berhati-hati kita mampu menarik rasa hormat serta kasih anak-anak muda kepada golongan lebih dewasa apabila kita mengiktiraf hak-hak mereka selaku wanita yang perlu dihargai, seterusnya menjadikan mereka lebih cakna dengan hukum-hakam berkaitan darah wanita. Moga Allah mengrniakan kita kefahaman yang benar dalam agama.

Wallahu a’lam.

Nota Hujung:

[1] Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiah al-Awlad fi al-Islam, (2011), cetakan ke-36, Kaherah: Dar al-Salam.

[2] Kanun Keseksaan (Akta 574)

[3] Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, cetakan kedua, 1418h, Damsyik: Dar al-Fikr al-Muasir.