Soalan:
Assalamualaikum WBT. Apakah hukum seorang sepupu mencium jenazah sepupunya?
Ringkasan Jawapan:
Sepupu adalah bukan mahram kepada si mati. Justeru, hukum perbuatan tersebut adalah haram.
Huraian Jawapan:
Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menziarahi orang meninggal dunia merupakan satu amalan yang sangat dituntut oleh agama kerana ia boleh mengingatkan kita kepada kematian dan dapat membantu mengurangkan kesedihan ahli keluarga si mati. Mengikut kebiasaan masyarakat kita, apabila kematian seseorang, ahli keluarganya dipanggil untuk mencium jenazah buat kali terakhir.
Mencium jenazah boleh dirujuk kepada perbuatan Rasulullah SAW sendiri. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha bahawa baginda SAW mencium jenazah Uthman bin Maz'un iaitu saudara susuan baginda:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ عُثْمَانَ بْنَ مَظْعُونٍ وَهُوَ مَيِّتٌ حَتَّى رَأَيْتُ الدُّمُوعَ تَسِيلُ
Riwayat daripada Saidatina Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencium Uthman bin Maz'un ketika dia meninggal dunia dan aku melihat bahawa air mata mengalir (dari matanya).”
Riwayat Abu Daud (3163)
Justeru, berdasarkan hadis di atas jelas bahawa perbuatan mencium jenazah adalah dibolehkan. Keharusan ini dinyatakan oleh ulama-ulama Mazhab Syafie sepertimana yang dijelaskan oleh Sheikh Sulaiman al-Jamal:
Kesimpulannya sekiranya si mati itu seorang yang soleh maka sunat menciumnya secara mutlak, jika sebaliknya (si mati bukan orang soleh) maka hukumnta harus tanpa makruh seperti ahli keluarganya atau selain mereka. Hal ini sekiranya perbuatan mencium jenazah itu tidak menyebabkan timbulnya perasaan sedih dan marah (benci) sepertimana kebiasaan halnya bagi kaum perempuan. Jika sebaliknya (wujud unsur-unsur tersebut) maka hukumnya haram (mencium jenazah) seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Ie’ab. Dan hendaklah perbuatan itu dilakukan oleh yang sama jantina agar tidak menjatuhkan maruah si mati atau hendaklah dilakukan oleh sesama mahram sahaja. (Rujuk: Sulaiman al-Jamal, Hasyiyah al-Jamal, 3/684
Justeru, berdasarkan perbahasan di atas, perbuatan mencium jenazah hanya dibolehkan bagi mereka yang sama jantina atau mahram bagi si mati sahaja. Manakala bagi ajnabi adalah tidak dibolehkan mencium atau menyentuh jenazah tersebut. Hal ini disebabkan keharusan menyentuh atau mencium seseorang adalah sama ketika dia masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab Syarh Bahjah al-Wardiah:ا
Menyentuh mayat, melafazkan qazaf atau melihatnya adalah sama (hukumnya) seperti menyentuhnya melafazkan qazaf atau melihatnya ketika hidup. Sekiranya seseorang mengikat talak ke atas isterinya iaitu (jatuh talaq) sekiranya menyentuh Zaid atau melafazkan qazaf atau melihatnya maka talak itu tetap jatuh sekiranya berlaku perkara tersebut sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia (Rujuk Syarh Bahjah al-Wardiah, 16/87).
Selain itu, kita mengetahui bahawa hukum mencium jenazah adalah sunat sekiranya si mati itu adalah orang yang soleh. Adapun bagi selainnya maka hukumnya adalah harus dan tidak makruh. Para ulama menyatakan hikmah keharusan mencium jenazah ialah untuk mengambil keberkatan daripada si mati kerana kesolehannya serta menunjukkan kasih sayang dan penghormatan kepada jenazah. Hal ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Zakariyya al-Ansari:
Dan tidak mengapa mencium wajah si mati yang soleh untuk mengambil keberkatan. (Rujuk Zakariyyah al-Ansati, Asna al-Mathalib, 4/186)
Perkara yang hampir sama dijelaskan oleh Shaikh Wahbah al-Zuhaily:
Dan diharuskan mencium si mati untuk mengambil berkat, sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan (kepada jenazah). (Rujuk Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/600.
Walau bagaimanapun, meskipun hukum mencium jenazah adalah harus, namun kita hendaklah menjaga adab-adab yang telah digariskan oleh para ulama supaya tidak terjerumus ke dalam perbuatan yang haram atau makruh. Di antara adab-adab yang disebutkan oleh para ulama ketika mencium jenazah adalah seperti berikut:
- Perbuatan tersebut hanya boleh dilakukan oleh ahli keluarga yang menjadi mahram kepada si mati sahaja.
- Jika dia bukan terdiri daripada ahli keluarga si mati atau mahramnya, maka hendaklah antara orang yang hidup dengan si mati tersebut daripada jantina yang sama. Oleh itu, tidak boleh perbuatan ini dilakukan antara perempuan dengan lelaki ajnabi dan sebaliknya.
- Perbuatan tersebut tidak menjatuhkan maruah si mati atau merendahkannya.
- Boleh mengawal perasaan ketika mencium jenazah. Sekiranya seseorang tidak dapat mengawal perasaan dukacita dan kesedihan yang keterlaluan ketika itu, maka dia tidak boleh mencium jenazah tersebut.
KESIMPULAN
Sekiranya antara yang hidup dan si mati itu berlainan jantina dan tiada hubungan mahram seperti sepupu, hukumnya haram mencium jenazah tersebut. Namun jika sesama jantina hukumnya harus selagi mana menjaga adab dan batasan syarak walaupun tiada hubungan mahram.
Wallahu A’lam.