Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Di tempat saya ada satu budaya setiap kali mengiringi jenazah di mana orang ramai akan bertakbir dan bertahlil kuat-kuat? Adakah dibolehkan budaya sebegitu rupa? Mohon penjelasan ustaz.
Ringkasan jawapan :
Perbuatan bertakbir dan bertahlil secara kuat ketika mengiringi jenazah adalah perbuatan yang makruh. Waktu tersebut adalah waktu untuk menginsafi diri dan mengingati kematian yang bakal dirasai satu hari nanti. Namun, hukumnya adalah sunat jika ianya dilakukan secara perlahan tanpa menguatkan suara. Semoga jenazah yang kita iringi dan majlis kematian yang dihadiri menjadikan kita lebih insaf dan berfikir tentang hari akhirat.
Huraian jawapan :
Mengiringi jenazah sepatutnya mengingatkan kita kepada negeri akhirat. Lambat laun kita juga akan merasai kematian. Allah SWT berfirman :
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya : “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”[1]
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, para fuqaha menghukum makruh perbuatan menguatkan suara ketika mengiringi jenazah. Perbuatan ini disebut sebagai Al-Lighat sepertimana yang dijelaskan oleh Sheikh Al-Qalyubi. Beliau menyebut :
الْأَصْوَاتُ الْمُرْتَفِعَةُ. وَيُقَالُ: فِيهِ لِغَاطٌ بِوَزْنِ كِتَابٍ وَسَوَاءٌ كَانَ بِالْقِرَاءَةِ أَوْ الذِّكْرِ أَوْ الصَّلَاةِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Lighat adalah suara yang kuat sama ada membaca Al-Quran, zikir atau selawat ke atas Nabi SAW.”[2]
Perbuatan tersebut adalah perbuatan makruh ketika mengiringi jenazah. Ini berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh Qays Bin ‘Abbad, beliau berkata :
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَكْرَهُونَ رَفْعَ الصَّوْتِ عِنْدَ الْجَنَائِزِ وَعِنْدَ الْقِتَالِ وَعِنْدَ الذِّكْرِ
Maksudnya : Para Sahabat Rasulullah SAW tidak suka menguatkan suara ketika berada di samping jenazah, ketik berperang dan ketika berzikir.”[3]
Sheikh al-Mahalli juga mejelaskan :
(ويكره اللغط في الجنازة) وعبارة الروضة في المشي معه والحديث في امور الدنيا بل المستحب الفكر في الموت وما بعده وفناء الدن
“Makruh menguatkan suara di sisi jenazah. Ibarah di dalam kitab al-Raudhah menyebut makruh menguatkan suara ketika mengiringi jenazah dan berbicara tentang hal ehwal keduniaan. Bahkan sunat untuk memikirkan kematian, apa yang akan berlaku dan kemusnahan dunia.”[4]
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
لَا تُتْبَعُ الْجِنَازَةُ بِنَارٍ وَلَا صَوْتٍ
Maksudnya : “Jangan kamu iring jenazah dengan api mahupun suara.”[5]
Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar Al-Haitami, beliau menyatakan :
(وَيُكْرَهُ اللَّغَطُ) وَهُوَ رَفْعُ الصَّوْتِ وَلَوْ بِالذِّكْرِ وَالْقِرَاءَةِ (فِي) الْمَشْيِ مَعَ (الْجِنَازَةِ) لِأَنَّ الصَّحَابَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ كَرِهُوهُ حِينَئِذٍ رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ وَكَرِهَ الْحَسَنُ وَغَيْرُهُ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَمِنْ ثَمَّ قَالَ ابْنُ عُمَرَ لِقَائِلِهِ لَا غَفَرَ اللَّهُ لَك بَلْ يَسْكُتُ مُتَفَكِّرًا فِي الْمَوْتِ وَمَا يَتَعَلَّقُ بِهِ وَفِنَاءِ الدُّنْيَا ذَاكِرًا بِلِسَانِهِ سِرًّا
“Makruh melakukan laghat iaitu menguatkan suara walaupun untuk berzikir dan membaca Al-Quran ketika berjalan bersama jenazah. Ini kerana para Sahabat RA tidak menyukainya seperti mana yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi. Al-Hasan Al-Basri dan lain-lain juga menghukumkan makruh ucapan ‘pohon keampunan untuk saudara kamu’ secara kuat. Justeru Ibn Umar menyebut kepada orang yang mengucapkannya : Tiada keampunan Allah untuk kamu bahkan sepatutnya dia diam berfikir tentang kematian dan apa yang berkaitan dengannya. Dia juga sepatutnya berfikir dengan fananya dunia sambil berzikir dengan lidahnya secara perlahan.”[6]
Menurut Ibn Hajar Al-Haitami, makruh hukumnya menguatkan suara ketika mengiringi jenazah sama ada berzikir, bertakbir apatah lagi bertahlil secara kuat. Waktu tersebut seharusnya digunakan untuk mengingati kematian dan alam akhirat. Namun, sekiranya seseorang berzikir, bertakbir dan bertahlil secara perlahan ketika mengiringi jenazah ianya adalah perkara sunat. Perkara yang sama juga dinyatakan oleh Imam Syamsuddin Al-Ramli dalam Nihayah Al-Muhtaj.[7]
Justeru,perbuatan bertakbir dan bertahlil secara kuat ketika mengiringi jenazah adalah perbuatan yang makruh. Waktu tersebut adalah waktu untuk menginsafi diri dan mengingati kematian yang bakal dirasai satu hari nanti. Namun, hukumnya adalah sunat jika ianya dilakukan secara perlahan tanpa menguatkan suara.
Nota hujung :
[1] Surah Ali Imran : 185 , Surah Al-Anbiya : 35, Surah Al-‘Ankabut : 57
[2] Al-Qalyubi, Ahmad Bin Ahmad ; ‘Umairah, Syihabuddin Ahmad, Hasyiata Al-Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh Al-Mahalli ‘ala Minhaj Al-Talibin (1995), Dar Al-Fikr, Beirut, j.1 h.406.
[3] Riwayat Al-Baihaqi no 7262, Al-Sunan Al-Kubra(2011), Markaz Hijr Li Al-Buhuth wa Al-Dirasat Al-‘Arabiyah Al-Islamiyah, j.7 h.510
[4] Jalaluddin al-Mahalli, Muhammad Bin Ahmad, Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin (2013), Dar al-Minhaj, Jedaah, j.1 h.378.
[5] Riwayat Ahmad no 9515, Musnad Imam Ahmad (2001), Muassash Al-Risalah, Beirut, j.15 h.316
[6] Ibn Hajar Al-Haitami, Ahmad Bin Muhammad, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj (1983), Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabiy, Beirut, j.3 h.187.
[7] Syamsuddin Al-Ramli, Muhammad Bin Abu Abbas Ahmad, Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj(1984), Dar Al-Fikr, Beirut, j.3 h.23