Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Maaf menganggu ustaz. Saya ada soalan tapi soalan saya ini agak rumit sedikit ustaz. Suami saya ada 3 orang adik beradik. Adik yang pertama lelaki. Adik yang kedua perempuan. Adik yang bongsu juga lelaki. Adik perempuan saya berkahwin dengan seorang duda. Duda itu mempunyai tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Adik bongsu suami saya pula minat untuk berkahwin dengan salah seorang anak perempuan tiri adik kedua suami saya. Anak-anak tiri adik perempuan suami saya tu pula panggil adik bongsu suami saya Pak Su. Boleh atau tidak adik lelaki bongsu suami saya berkahwin dengan anak tiri sulung adik perempuan suami saya. Mereka macam suka sama suka. Boleh atau tidak dari segi hukum?. Mohon pencerahan ustaz. Kalau ustaz mahu saya lakarkan saya boleh lakarkan permasalahan saya ini.
Ringkasan jawapan :
Adik lelaki kepada suami puan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak tiri kepada adik perempuan suami. Ini kerana, anak tersebut dianggap bukan mahram kepada adik lelaki suami puan. Oleh kerana itu, dari sudut aurat perlu dijaga dan antara implikasi yang lain adalah dibenarkan untuk berkahwin dengannya.
Huraian jawapan :
Allah ﷻ telah menyatakan secara terperinci perihal sebahagian golongan yang diharamkan untuk berkahwin yang disebut juga sebagai Mahram. Ini terlihat melalui firman Allah ﷻ :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٢٣﴾ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۖ كِتَابَ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ
Maksudnya : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”[1]
Bahkan Nabi ﷺ sendiri menjelaskan berkenaan perihal mahram ini. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A :
«لَا تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا، وَلَا الْعَمَّةُ عَلَى بِنْتِ أَخِيهَا، وَلَا الْمَرْأَةُ عَلَى خَالَتِهَا، وَلَا الْخَالَةُ عَلَى بِنْتِ أُخْتِهَا، وَلَا تُنْكَحُ الْكُبْرَى عَلَى الصُّغْرَى، وَلَا الصُّغْرَى عَلَى الْكُبْرَى
Maksudnya : “Seorang wanita tidak boleh dinikahi bersama mak ciknya. Begitu juga tidak boleh menikahi mak cik bersama anak saudaranya. Jangan dinikahi wanita bersama mak cik sebelah ibunya begitu juga seorang mak cik dengan anak saudaranya. Dan jangan dinikahi yang besar bersama yang kecil dan yang kecil bersama yang besar.”[2]
Justeru itu, ayat berkenaan mahram ini adalah ayat muhkam. Iaitu yang mempunyai dilalat yang jelas dan kuat yang tidak menerima sebarang takwil mahupun apa-apa penasakhan. Imam Al-Qurtubi ketika membicarakan perihal isu mahram ini, beliau menukilkan ucapan dan pandangan Imam Al-Tahawi. Imam Al-Tahawi menyebut :
وَكُلُّ هَذَا مِنَ الْمُحْكَمِ الْمُتَّفَقِ عَلَيْهِ، وَغَيْرُ جَائِزٍ نِكَاحُ وَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ بِإِجْمَاعٍ إِلَّا أُمَّهَاتِ النِّسَاءِ اللَّوَاتِي لَمْ يَدْخُلْ بِهِنَّ أَزْوَاجُهُنَّ،
“Kesemua itu merupakan ayat yang Muhkam yang disepakati. Tidak boleh untuk berkahwin dengan mana-mana wanita yang disebutkan berdasarkan ijmak yang telah diputuskan melainkan ibu-ibu para wanita yang mana yang tidak disetubuhi oleh para suami mereka.”[3]
Secara ringkasnya, mahram atau golongan yang diharamkan untuk berkahwin ada tiga keadaan. Antaranya mahram disebabkan perkahwinan. Imam Al-Nawawi menyatakan :
السَّبَبُ الثَّالِثُ: الْمُصَاهَرَةُ، فَيَحْرُمُ بِهَا عَلَى التَّأْبِيدِ أَرْبَعٌ. إِحْدَاهُنَّ: أُمُّ زَوْجَتِك وَأُمُّ زَوْجَتِكَ مِنْهَا كَأُمِّكَ مِنْكَ، وَسَوَاءٌ أُمَّهَاتُ النَّسَبِ وَالرَّضَاعِ. الثَّانِيَةُ: زَوْجَةُ ابْنِكَ وَابْنِ ابْنِكَ وَإِنْ سَفَلَ بِالنَّسَبِ وَالرَّضَاعِ، وَقَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى: (وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ) [النِّسَاءِ: ٢٣] الْمُرَادُ بِهِ أَنَّهُ لَا تَحْرُمُ زَوْجَةُ مَنْ تَبَنَّاهُ. الثَّالِثَةُ: زَوْجَةُ الْأَبِ وَالْأَجْدَادِ وَإِنْ عَلَوْا مِنْ قِبَلِ الْأَبِ وَالْأُمِّ جَمِيعًا، وَتَحْرُمُ زَوْجَةُ الْأَبِ مِنَ الرَّضَاعِ. الرَّابِعَةُ: بِنْتُ الزَّوْجَةِ، وَبِنْتُ زَوْجَتِكَ مِنْهَا كَبِنْتِكَ مِنْكَ، سَوَاءٌ بِنْتُ النَّسَبِ وَالرَّضَاعِ، وَتَحْرُمُ الثَّلَاثُ الْأُولَيَاتُ بِمُجَرَّدِ الْعَقْدِ، بِشَرْطِ أَنْ يَكُونَ صَحِيحًا. فَأَمَّا النِّكَاحُ الْفَاسِدُ، فَلَا يَتَعَلَّقُ بِهِ حُرْمَةُ الْمُصَاهَرَةِ، لِأَنَّهُ لَا يُفِيدُ حِلَّ الْمَنْكُوحَةِ، وَحُرْمَةُ غَيْرِهَا فَرْعٌ لِحِلِّهَا. وَأَمَّا الرَّابِعَةُ، وَهِيَ بِنْتُ الزَّوْجَةِ، فَلَا تَحْرُمُ إِلَّا بِالدُّخُولِ بِالزَّوْجَةِ
“ Sebab yang ketiga adalah perkahwinan. Yang diharamkan untuk berkahwin dengannya selama-lamanya ada empat golongan. Yang pertama adalah ibu kepada isteri kamu. Ibu isteri kamu adalah seperti ibu kamu sendiri. Sama ada ibu kandung dan susuan. Yang kedua, isteri kepada anak kamu atau isteri kepada cucu kamu dan ke bawah yang sabit dengan nasab dan susuan. Ini berdasarkan firman Allah : Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu[4]. Yang dimaksudkan adalah tidak diharamkan isteri kepada anak angkat. Yang ketiga, isteri kepada ayah atau datuk dan keatas (moyang dan lain-lain) dari sebelah ayah dan ibu. Begitu juga, diharamkan untuk berkahwin dengan isteri kepada ayah susuan. Yang keempat, anak perempuan kepada isteri. Anak perempuan kepada isteri kamu adalah seperti anak kamu sendiri. Sama ada anak tersebut anak kandung (isteri) atau susuan. Tiga golongan yang pertama diharamkan berkahwin dengan sejurus selepas akad dengan syarat akad (nikah) itu adalah sah. Adapun akad yang fasid, iaitu tidak termasuk dalam mahram disebabkan perkahwinan. Ini kerana, akad yang fasid itu tidak menghalalkan wanita yang dinikahi. Pengharamkan untuk berkahwin dengan yang lain adalah cabang dari sahnya akad. Manakala yang keempat, iaitu anak perempuan kepada isteri. Tidak menjadi mahram melainkan setelah ibunya disetubuhi.”[5]
Di samping itu, ada juga wanita yang menjadi mahram disebabkan nasab kekeluargaan. Imam Al-Nawawi menjelaskan :
السَّبَبُ الْأَوَّلُ: الْقَرَابَةُ وَيَحْرُمُ مِنْهَا سَبْعٌ الْأُمَّهَاتُ وَالْبَنَاتُ وَالْأَخَوَاتُ وَالْعَمَّاتُ وَالْخَالَاتُ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْت
“Sebab yang pertama adalah nasab kekeluargaan. Ada tujuh golongan yang diharamkan berkahwin dengannya. Iaitu ibu, nenek, anak perempuan, saudara perempuan, mak cik sebelah ayah (saudara perempuan ayah),mak cik sebelah ibu (saudara perempuan ibu), anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.”[6]
Kesemua golongan ini diharamkan untuk berkahwin dengan mereka selama-lamanya. Bagi mahram disebabkan nasab kekeluargaan, Imam Al-Ramli meletakkan garis panduan dalam menentukan perkara tersebut. Beliau menyatakan :
وَفِي ضَبْطِ ذَلِكَ عِبَارَتَانِ: إحْدَاهُمَا يَحْرُمُ عَلَى الرَّجُلِ أُصُولُهُ وَفُصُولُهُ وَفُصُولُ أَوَّلِ أُصُولِهِ وَأَوَّلُ فَصْلٍ مِنْ كُلِّ أَصْلٍ بَعْدَ الْأَصْلِ الْأَوَّلِ
“Dalam menentukan perkara tersebut adalah dua ibarah. Salah satunya haram kepada seorang lelaki untuk menikahi usulnya (ibu, nenek dan ke atas), anaknya (fusul), anak kepada usulnya (saudara perempuan dan anak perempuan kepada saudara lelaki atau perempuan) dan anak kepada setiap usul selepas usul yang pertama (iaitu mak cik sebelah ayah dan ibu).”[7]
Ada mahram disebabkan penyusuan. Kategori ini sama seperti mahram disebabkan nasab kekeluargaan. Ini bermakna seorang lelaki diharamkan untuk berkahwin dengan anak kandung kepada adik beradik termasuk cucu mereka. Justeru, dibenarkan untuk berkahwin dengan golongan selain daripada yang disebutkan.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, adik lelaki kepada suami puan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak tiri kepada adik perempuan suami. Ini kerana, anak tersebut bukan mahram kepada adik lelaki suami puan. Oleh kerana itu, dari sudut aurat perlu dijaga dan antara implikasi yang lain adalah dibenarkan untuk berkahwin dengannya.
Nota Hujung :
[1] Surah Al-Nisa’ : 23-24
[2] Riwayat Al-Tirmizi no 1045, Abu Daud no 2065 dan Al-Nasaie no 3294.
[3] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran,Dar Al-Kutub Al-Misriyah, Kaherah, j.5 h.106
[4] Surah Al-Nisa : 23
[5] Abu Zakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Raudhah Al-Talibin wa Umdah Al-Muftin(1991), Al-Maktab Al-Islamiy, Beirut, j.7 h.111
[6] Ibid, j.7 h.107
[7] Syamsuddin Al-Ramli, Muhammad Bin Ahmad, Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj(1983),Dar Al-Fikr, Beirut, j.6 h.271