Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-597:ADAKAH BOLEH PEMBAYAR ZAKAT MENGAMBIL LEBIHAN BAYARAN ZAKAT SEBAGAI BAYARAN UNTUK ZAKAT TAHUN HADAPAN?

duit_zakat.png

SOALAN

Assalamualaikum, saya telah membayar zakat simpanan sebanyak RM7000. Namun begitu, terdapat kesilapan di dalam pengiraan zakat saya, dimana jumlah sebenar yang perlu dibayar hanyalah RM6000. Adakah lebihan bayaran tersebut boleh di bawa kepada bayaran zakat tahun hadapan?

JAWAPAN RINGKAS

Kesimpulannya, jika seseorang itu tersalah bayar maka kebihan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai bayaran zakat untuk tahun seterusnya. Hal ini kerana zakat merupakan satu ibadat yang mempunyai niat yang khusus.

HUJAN DAN ANALISIS

Zakat merupakan satu kefarduan kepada ummat Islam. Syarat utama kewajipan zakat adalah apabila cukup nisabnya dan sampai tempoh haul (setahun qamari). Antara syarat wajib zakat ialah:

  • Islam, tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir.
  • Cukup nisab yang ditetapkan, iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat.
  • Cukup haul (setahun qamari), iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya.

(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji fi Fiqh al-Syafie, 2:8)

Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya:Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”

(Riwayat Abu Daud)

Dan Hadis Nabi Muhammad SAW yang lain:

لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat apa-apa yang kurang daripada 5 Uqiyah (200 gram) perak”

(Hadis Riwayat Muslim)

Zakat merupakan ibadah khusus yang memerlukan niat bagi setiap pelaksanaanya. Pembayaran zakat hendaklah disertakan dengan niat pembayaran. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya:

(وَتَجِبُ النِّيَّةُ) فِي الزَّكَاةِ لِلْخَبَرِ الْمَشْهُورِ

Maksudnya: “Diwajibkan niat dalam pelaksanaan zakat berdasarkan khabar (hadis) mashur”

(Rujuk Mughni al-Muhtaj 2/130)

Niat zakat tersebut akan membezakan di antara zakat wajib dan sedekah sunat. Justeru itu, setiap pembayaran zakat memerlukan niat yang baru yang khusus berdasarkan tujuan pembayaran zakat tersebut. Jika niat tersebut tidak bersifat khusus, sebagai contoh jika pembayar berniat ini adalah kefarduan hartaku. Justeru itu, niat tersebut tidak mencukupi kerana lafaznya boleh membawa maksud kepada pembayaran nazar atau kafarah seperti mana dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya:

وَلَا يَكْفِي: هَذَا فَرْضُ مَالِي) ؛ لِأَنَّ ذَلِكَ يَصْدُقُ عَلَى النَّذْرِ وَالْكَفَّارَةِ وَغَيْرِهِمَا (وَكَذَا الصَّدَقَةُ) أَيْ صَدَقَةُ مَالِي أَوْ الْمَالِ لَا يَكْفِي (فِي الْأَصَحِّ) ؛ لِأَنَّ الصَّدَقَةَ تَصْدُقُ عَلَى صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ،

Maksudnya: “Tidak memadai dengan hanya menyatakan : Ini adalah kefarduan hartaku. Hal ini kerana ia (lafaz) boleh membawa kepada maksud nazar, kafarah dan selainnya. Begitu juga sedekah iaitu ini sedekah hartaku atau harta ini adalah tidak memadai menurut pendapat yang muktamad kerana sedekah boleh membawa kepada maksud sedekah sunat”.

(Rujuk Mughni al-Muhtaj 2/130)

Dalam pada itu, Imam Nawawi menyatakan bahawa jika pembayaran zakat telah dibuat bagi harta yang hilang dari tuannya dengan sangkaan harta tersebut masih ada dan kemudiannya dia telah mendapati harta yang hilang itu telah musnah maka pembayaran tersebut dikira sebagai sedekah sunat. Perkara ini dinyatakan di dalam kitabnya:

لِأَنَّ الصَّدَقَةَ قَدْ تَقَعُ فَرْضًا وَقَدْ تَقَعُ تَطَوُّعًا فَإِذَا لَمْ تَقَعْ فَرْضًا وَقَعَتْ تَطَوُّعًا كَمَا لَوْ أَخْرَجَ زَكَاةَ مَالِهِ الْغَائِبِ ظَانًّا بَقَاءَهُ ‌فَبَانَ ‌تَالِفًا ‌فَإِنَّهُ ‌يَقَعُ ‌تَطَوُّعًا

Maksudnya: “Ini kerana sedekah adakala menjadi wajib dan adakala menjadi sunat. Jika tidak menjadi wajib (zakat) maka ia menjadi sunat seperti mana jika dia mengeluarkan zakat hartanya yang hilang yang disangka ia masih wujud, tetapi didapati telah rosak/musnah maka sedekahnya itu menjadi sunat”

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 6/150)

Seterusnya, Imam Khatib al-Syarbini juga menyatakan bahawa jika seseorang itu membayar zakat dengan menyangka hartanya masih ada sedangkan ia telah musnah maka pembayaran tersebut tidak boleh dijadikan sebagai bayaran zakat bagi harta lain yang dia miliki. Perkara ini dinyatakan di dalam kita beliau:

فَلَوْ مَلَكَ مِنْ الدَّرَاهِمِ نِصَابًا حَاضِرًا وَنِصَابًا غَائِبًا عَنْ مَحِلِّهِ، فَأَخْرَجَ خَمْسَةَ دَرَاهِمَ بِنِيَّةِ الزَّكَاةِ مُطْلَقًا ثُمَّ بَانَ تَلَفُ الْغَائِبِ فَلَهُ الْمُخْرَجُ عَنْ الْحَاضِرِ (وَلَوْ عَيَّنَ لَمْ يَقَعْ عَنْ غَيْرِهِ) وَلَوْ بَانَ الْمُعَيَّنُ تَالِفًا؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَنْوِ ذَلِكَ الْغَيْرَ،

Maksudnya: “Jika seseorang memiliki sejumlah dirham yang mencapai nisab yang wujud dan nisab yang hilang dari tempatnya lalu dia mengeluarkan 5 dirham dengan niat zakat secara mutlak kemudian ternyata harta yang hilang itu telah musnah, maka baginya zakat yang dikerluarkan untuk harta yang wujud. Jika dia menentukan (sesuatu harta untuk dizakatkan) maka ia tidak jatuh (keabsahan zakat) ke atas (harta) selain harta yang wujud, dan juga jikalau ternyata harta yang ditentukan telah musnah kerana dia tidak berniat untuk harta yang lain.

(Rujuk Mughni al-Muhtaj 2/130)

KESIMPULAN

Kesimpulannya, jika seseorang itu tersalah bayar maka kebihan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai bayaran zakat untuk tahun seterusnya. Hal ini kerana zakat merupakan satu ibadat yang mempunyai niat yang khusus.