Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-600: ADAKAH MEREKA YANG MENINGGAL KERANA COVID-19 INI BOLEH DIKLASIFIKASIKAN MATI SYAHID DAN TIDAK PERLU DIMANDIKAN

IF_600.JPG

Soalan

Assalamualaikum saya ada satu persoalan yang timbul. Benarkan mereka yang meninggal dunia kerana jangkitan covid-19 ini termasuk di dalam kategori mati syahid dan tidak perlu dimandikan. Mohon penjelasan pihak mufti. Sekian terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Jawapan pada persoalan ini sebenarnya telah dibincangkan dalam artikel IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-473: ADAKAH MEREKA YANG MENINGGAL DUNIA KERANA COVID-19 DIANGGAP MATI SYAHID?

Di sini kami kongsikan sekali lagi isu ini. kematian kerana jangkitan wabak covid-19 dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan ganjaran tersebut akan diberikan di akhirat kelak.

Oleh itu, jenazah mereka hendaklah dimandikan serta disolatkan sepertimana biasa. Walaubagaimanapun dalam fiqh ada dibincangkan oleh fuqaha mana-mana jenazah atas sebab-sebab tertentu yang boleh membawa mudarat kepada orang hidup maka tidak perlu dimandikan tetapi ditayamumkan. Dan jika tayammum pun tidak dapat dilaksanakan pada pandangan pakar maka gugurlah kedua-dua tuntutan itu. Ini akan tertakluk kepada perkembangan semasa situasi covid 19 di negara kita yang mana pihak-pihak berkaitan akan meneliti dari semaa ke semasa dan SOP pengurusan jenazah akan diperkemaskan berasaskan situasi.

Huraian Jawapan

Wabak Covid 19 yang menular di negara kita secara khususnya dan dunia secara umumnya pada hari ini merupakan salah satu wabak yang boleh menyebabkan kematian. Penularan wabak ini dengan cepat tidak mengira faktor usia, bangsa atau negara. Oleh itu setiap individu hendaklah mematuhi arahan yang dikeluarkan daripada pihak berkuasa supaya dapat menghindar daripada kemudaratan wabak tersebut. Perkara ini selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.

 Riwayat Bukhari (5707)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, timbul persoalan berkenaan adakah individu muslim yang meninggal kerana jangkitan virus covid-19 ini termasuk di dalam kategori mati syahid dan tidak perlu dimandikan. Bagi menjawab persoalan ini, terdapat pelbagai hadis yang menceritakan tentang perkara yang dinyatakan, di antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya : Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati dtimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.

Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)

Hadis ini menjelaskan bahawa individu muslim yang meninggal disebabkan taun (wabak) dikategorikan sebagai mati syahid. Perkara ini merupakan kelebihan dan kurniaan Allah SWT ke atas mereka kerana azab yang dahsyat ketika menghadapi kesakitan dan kematian tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan di dalam syarahnya bahawa:

قَالَ الْعُلَمَاءُ وَإِنَّمَا كَانَتْ هَذِهِ الْمَوْتَاتُ شَهَادَةً بِتَفَضُّلِ اللَّهِ تَعَالَى بِسَبَبِ شِدَّتِهَا وَكَثْرَةِ أَلَمِهَا

Maksudnya: Para ulama berpendapat, sesungguhnya kematian ini dianggap sebagai syahid disebabkan kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kerana mereka mengalami kesakitan yang amat dahsyat.[1]

Secara umumnya, taun ini dikategorikan sebagai wabak atau penyakit yang berjangkit bahkan kesannya yang boleh menyebabkan kematian adalah sangat cepat. Oleh itu, wabak covid-19 ini juga boleh diklasifikasikan di dalam kategori wabak seperti taun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW. Hal ini juga dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar dengan menukilkan pandangan Ibnu Arabi di dalam karyanya:

الطَّاعُون الوجع الْغَالِبُ الَّذِي يُطْفِئُ الرُّوحَ كَالذَّبْحَةِ سُمِّيَ بِذَلِكَ لِعُمُومِ مُصَابِهِ وَسُرْعَةِ قَتْلِهِ

Maksudnya: Taun  kebiasaannya memberi penderitaan yang boleh mengalami kemalangan jiwa bagaikan disembelih. Disebut seperti itu (taun) kerana secara umumnya ia adalah musibah dan penyebab kematiannya yang cepat. [2]

Oleh itu, jelasnya di sini bahawa orang Islam yang meniggal dunia disebabkan jangkitan covid-19 termasuk di dalam golongan mereka yang mati syahid sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. Akan tetapi mereka ini dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan bukannya syahid kerana peperangan di jalan Allah SWT. Oleh itu, jenazah mereka hendaklah dimandikan serta disolatkan sebagaimana biasa. Imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini di dalam kitabnya:

قَالَ الْعُلَمَاءُ الْمُرَادُ بِشَهَادَةِ هَؤُلَاءِ كُلِّهِمْ غَيْرِ الْمَقْتُولِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَنَّهُمْ يَكُونُ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ ثَوَابُ الشُّهَدَاءِ وَأَمَّا فِي الدُّنْيَا فَيُغَسَّلُونَ وَيُصَلَّى عَلَيْهِمْ

Maksudnya: Para ulama berpandangan bahawa, syahid yang dimaksudkan ke atas mereka itu bukanlah syahid kerana mereka gugur di jalan Allah. Sesungguhnya mereka itu, akan diberikan ganjaran syahid pada hari akhirat manakala di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan (tidak seperti mereka yang syahid gugur dijalan Allah).[3]

Justeru itu, jenazah yang meninggal dunia disebabkan covid-19 ini, secara asasnya wajib dimandikan seperti biasa kerana ia bukanlah dikategorikan sebagai golongan syahid dunia dan akhirat iaitu mereka yang gugur di medan peperangan. Walabagaimanapun fuqaha telah membincangkan jika terdapat keuzuran dalam memandikan seperti mudarat jangkitan dan sebagainya maka jenazah boleh ditayammumkan bagi mengganti dimandikan. Dan jika tayammum pun tidak dapat dilaksanakan maka gugurlah kedua-dua tuntutan tersebut.

الضَّرَر يُزَال

Maksudnya: kemudaratan itu hendaklah dihilangkan.[4]

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas serta perbahasan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa kematian kerana jangkitan wabak covid-19 dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan ganjaran tersebut akan diberikan di akhirat kelak.

Oleh kerana itu, jenazah mereka secara asasnya hendaklah dimandikan serta disolatkan sepertimana biasa. Namun di atas faktor keselamatan dan mengelak daripada kemudaratan serta bimbang akan menyebabkan wabak covid-19 terus tersebar maka jenazah mereka itu tidak dimandikan. Ini bermakna jenazah tersebut tidak dimandikan bukan di atas sebab syahid berperang di jalan Allah yang tidak perlu dimandikan akan tetapi disebabkan kemudaratan yang perlu dihindari. Ini tentunya akan bergantung kepada situasi semasa yang diawasi oleh pihak-pihak berkaitan dan SOP samada dimandi atau ditayammum atau gugur kedua-duanya akan berubah-rubah bergantung kepada keadaan.

Wallahu’alam.

 

[1]Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ala Muslim bin al-Hajaj, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392H, 13/65

[2]Abu al-Fadl al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari,Dar al-Ma’rifah, 1379H, 10/180

[3]Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ala Muslim bin al-Hajaj, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392H, 13/63

[4]Jalaluddin al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazair li Suyuti, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1411H, hlm. 7