Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-602: HUKUM PEMBAYAR ZAKAT MENETAPKAN SYARAT BAGI PENERIMA ZAKAT MEMBELANJAKAN WANG ZAKAT

syarat_wang_zakat.png

SOALAN

Assalamualaikum,

Saya menerima zakat daripada individu, namun begitu beliau meletakkan syarat tertentu untuk saya membelanjakan wang zakat tersebut. Adakah saya harus mengikuti syarat tersebut?

Terima kasih.

JAWAPAN RINGKAS

Penerima zakat tidak berkewajipan untuk mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh pembayar zakat ke atas perbelanjaan wang zakat, kerana wang zakat yang diterima itu adalah menjadi miliknya.

HUJAH DAN ANALISIS

Zakat merupakan satu kewajipan fardhu bagi seorang muslim yang mana ia salah satu dari rukun Islam yang lima.. Pensyariatan zakat telah ditetapkan bagi keadaan tertentu seperti zakat simpanan, zakat emas, zakat pertanian dan zakat ternakan. Dalil pensyariatan zakat jelas disebutkan di dalam al Quran, seperti mana firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Taubah ayat 60)

Allah SWT telah menetapkan 8 golongan yang layak untuk menerima zakat dan tidak boleh bagi kita untuk memberikan zakat selain dariapda 8 golongan yang telah ditetapkan. Dalam pada itu, tidak harus juga bagi pembayar zakat untuk menetapkan saluran perbelanjaan wang zakat yang telah di bayar. Imam Zakariya al-Ansari telah menyatakan di dalam kitabnya:

وَالْأَصْلُ فِي الْبَابِ {إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ} [التوبة: 60] وَأَضَافَ فِيهَا الصَّدَقَاتِ إلَى الْأَصْنَافِ الْأَرْبَعَةِ الْأُولَى فَاللَّامُ الْمِلْكِ وَإِلَى الْأَرْبَعَةِ الْأَخِيرَةِ بِفِي الظَّرْفِيَّةِ لِلْإِشْعَارِ بِإِطْلَاقِ الْمِلْكِ فِي الْأَرْبَعَةِ الْأُولَى وَتَقْيِيدِهِ فِي الْأَخِيرَةِ حَتَّى إذَا لَمْ يَحْصُلْ الصَّرْفُ فِي مَصَارِفِهَا.

Maksudnya: “Asal pada maksud (Sesungguhnya sedekah-sedekah(zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir), membawa kepada empat asnaf yang pertama berdasarkan huruf “lam” yang menunjukkan kepada pemilikan. Manakala empat golongan terakhir berdasarkan lafaz “fi zhorfiyyah”. Perkara ini dikemukakan untuk menyatakan bahawa empat golongan pertama merujuk kepada pemilikan secara mutlak. Golongan empat yang terakhir tidak dinyatakan sedemikian supaya apabila ianya tidak dapat dibelanjakan seperti yang disyaratkan maka duit zakat tersebut dikembalikan”.

(Rujuk Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib, 1/393)

Dalam pada itu, perkara ini juga di syarahkan oleh Imam al-Bujairimi di dalam kitabnya di mana 4 asnaf pertama adalah memiliki pemilikan yang mutlak ke atas wang zakat dan tidak boleh disyaratkan penggunaannya. Manakala 4 golongan terkahir pula mereka terikat dengan tujuan asal mereka menerima wang zakat tersebut, dan tidak boleh digunakan selain daripada tujuan asal mereka menerima wang zakat tersebut. Perkara ini seperti mana dinyatakan di dalam kitabnya:

(بِإِطْلَاقِ الْمِلْكِ) الْمُرَادُ أَنَّهُمْ يَمْلِكُونَهُ بِمُجَرَّدِ الْأَخْذِ مِنْ غَيْرِ شَرْطٍ قَوْلُهُ: (وَتَقْيِيدُهُ) أَيْ أَنَّهُمْ لَا يَمْلِكُونَهُ بِمُجَرَّدِ الْأَخْذِ بَلْ يُشْتَرَطُ صَرْفُهُ فِيمَا أَخَذُوهُ لَهُ

Maksudnya: “(Pemilikan mutlak) maksudnya mereka memiliki harta zakat itu kerana pemilikan mereka secara mutlak tanpa sebarang syarat (perbelanjaan). (Di ikatkanya): iaitu mereka tidak memiliki wang zakat tersebut kerana penerimaan semata-mata bahkan mereka terikat dengan syarat(tujuan) asal penerimaan wang zakat untuk dibelanjakan”.

(Rujuk Hasyiah al-Bujarimi, 2/359)

Empat golongan yang awal seperti dinyatakan di dalam dua kitab di atas ialah fakir, miskin, amil dan muallaf. Manakala 4 golongan terakhir ialah hamba, orang yang berhutang, orang yang berjuang di jalan Allah dan orang yang bermusafir.

Seterusnya, Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya al-Majmuk berkenaan hukum seseorang seseorang membayar zakat dan meletakkan syarat untuk dibayarkan kembali kepadanya sebagai pelangsai hutang. Kata beliau:

إذَا دَفَعَ الزَّكَاةَ إلَيْهِ بِشَرْطِ أَنْ يَرُدَّهَا إلَيْهِ عَنْ دَيْنِهِ فَلَا يَصِحُّ الدَّفْعُ وَلَا تَسْقُطُ الزَّكَاةُ بِالِاتِّفَاقِ

Maksudnya: “Jika dia membayar zakat kepada seseorang dengan mensyaratkannya mengembalikan wang zakat tersebut sebagai bayaran kepada hutangnya maka pembayaran zakat itu tidak sah dan dan tidak digugurkan kefarduan zakat menurut persepakatan ulama dan tidak sah penyelesaian hutang dengan cara tersebut menurut persepakatan ulama”.

(Lihat Majmuk Syarh al-Muhazzab, 6,211)

KESIMPULAN

Setelah meneliti perbahasan diatas, kami simpulkan bahawa penerima zakat tidak berkewajipan untuk mengikuti syarat yang telah diletakkan oleh pembayar zakat untuk membelanjakan wang zakat yang diterimanya. Bahkan mereka mempunyai kuasa penuh terhadap wang zakat yang diterimanya. Wallahuallam.