Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-610 : HUKUM MENGKHUSUSKAN WUDUK UNTUK SATU IBADAH SAHAJA

AF610 min

SOALAN

Assalamualaikum. Apakah hukum mengkhususkan niat wuduk untuk sesuatu ibadah sahaja? Contohnya mengkhususkan wuduk hanya untuk membaca al-Quran. Adakah wuduk itu boleh digunakan untuk ibadah-ibadah lain yang tidak diniatkan juga seperti solat fardu dan lain-lain?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum mengkhususkan niat wuduk untuk sesuatu ibadah adalah harus. Walau bagaimanapun, jika seseorang menggunakan wuduk yang sama untuk melakukan ibadah lain yang tidak diniatkannya, maka ibadah tersebut juga sah selagimana wuduknya tidak terbatal. Contoh situasi seseorang berniat wuduk bagi membaca al-Quran sahaja, kemudian dengan wuduk yang sama dia mendirikan solat sunat, solat fardu dan lain-lain, maka niat dan ibadahnya tersebut juga sah. Hal ini kerana hadasnya telah terangkat dengan wuduk tersebut. Oleh itu, dia boleh menunaikan ibadah-ibadah lain juga walaupun niat wuduk hanya dikhususkan kepada membaca al-Quran sahaja.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perbuatan berniat ketika menyapu muka merupakan salah satu daripada fardu wuduk. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Sheikh al-Islam Zakariyyah al-Ansari dengan berkata:

فروضه نية رفع حدث لغير دائمة أو وضوء أو استباحة مفتقر إليه مقرونة بأول غسل الوجه

Maksudnya: Fardu-fardu wuduk ialah niat mengangkat hadas bagi orang yang sentiasa dalam berhadas (seperti orang yang kencing tidak lawas) atau niat wuduk atau niat untuk mengharuskan ibadah yang memerlukan kepadanya (seperti memegang mushaf al-Quran, tawaf dan lain-lain), dengan disertai dengan membasuh muka (untuk kali pertama).[1] (Rujuk Manhaj al-Tullab, 1:9)

Namun begitu, timbul persoalan jika sekiranya seseorang mengkhususkan niat taharahnya mengangkat hadas tertentu atau bagi ibadah tertentu sahaja, adakah niatnya tersebut dikira sah?

Bagi menjawab persoalan tersebut, Imam al-Subki menyatakan bahawa jika seorang itu berniat mengangkat sebahagian hadas sahaja, maka hadasnya terangkat kesemuanya kerana hadas tidak berasingan antara satu sama lain. Oleh itu, cukup dengan sekali mandi wajib sahaja untuk mengangkat lebih daripada satu hadas sebagai contoh. Beliau menyebut:

لو نوى رفع بعض الأحداث فأصح الأوجه صحة وضوئه مطلقا، وعللوه بأن الحدث لا يتجزأ؛ فإذا ارتفع البعض ارتفع الكل، والغسل الواقع عن واحد واقع عن الكل.

Maksudnya: Jika seseorang itu berniat untuk mengangkat sebahagian hadas sahaja, maka mengikut pandangan yang paling sahih wuduknya sah secara mutlak. Para ulama menyatakan sebabnya ialah kerana hadas itu tidak terasing antara satu sama lain. Sekiranya terangkat sebahagian hadas maka akan terangkat keseluruhannya. Oleh itu, mandi wajib bagi satu hadas mengangkat semua hadas yang lain.[2] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair, 1:64)

Oleh yang demikian, jika seseorang mengkhususkan niat wuduknya kepada ibadah tertentu sahaja, maka ia sah untuk semua ibadah-ibadah yang lain kerana hadasnya sudah terangkat. Hal ini sepertimana yang disebutkan Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari bahawa:

(فَإِنْ عَيَّنَ) بِنِيَّتِهِ (صَلَاةً جَازَ) أَيْ صَحَّ الْوُضُوءُ لَهَا، وَلِغَيْرِهَا (وَلَوْ نَفَى غَيْرَهَا) كَأَنْ نَوَى اسْتِبَاحَةَ الظُّهْرِ، وَنَفَى غَيْرَهَا لِأَنَّ الْحَدَثَ لَا يَتَجَزَّأُ كَمَا مَرَّ.

Maksudnya: Jika seseorang yang mengambil wuduk itu mengkhususkan niatnya kepada solat tertentu sahaja, maka harus hukumnya. Maksudnya sah wuduknya bagi solat tersebut dan ibadah selainnya, walaupun dia menafikan ibadah-ibadah lain seperti dia berniat dengan wuduknya untuk membolehkan dia solat Zohor contohnya, kemudian dia menafikan selain daripadanya (solat-solat yang lain). Hal ini kerana hadas tidak terasing antara satu sama lain sepertimana yang telah diterangkan.[3] (Rujuk Asna al-Matalib, 1:29)

Begitu juga apa yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj bahawa:

فَإِذَا نَوَاهَا فَقَدْ نَوَى غَايَةَ الْقَصْدِ، وَشَمِلَ إطْلَاقُهُ مَا لَوْ نَوَى اسْتِبَاحَةَ صَلَاةٍ مُعَيَّنَةٍ كَالظُّهْرِ فَإِنَّهُ يَصِحُّ لَهَا وَلِغَيْرِهَا، وَإِنْ نَفَاهُ عَلَى الْأَصَحِّ كَأَنْ نَوَى اسْتِبَاحَةَ الظُّهْرِ وَنَفَى غَيْرَهَا؛ لِأَنَّ الْحَدَثَ لَا يَتَجَزَّأُ  كَمَا مَرَّ.

Maksudnya: Jika dia telah berniat untuknya (ibadah-ibadah yang memerlukan kepada wuduk), maka dia telah berniat dengan sempurna. Niatnya secara mutlak tersebut turut merangkumi apa sahaja ibadah yang mensyaratkan wuduk tertentu, contohnya jika dia berniat wuduk untuk membolehkan dia mendirikan solat tertentu seperti solat Zohor, maka ia sah untuk solat itu dan ibadah selainnya walaupun dia menafikan ibadah yang lain tersebut mengikut pandangan yang lebih sahih seperti dia berniat wuduk untuk solat Zohor dan menafikan ibadah yang lain. Hal ini kerana hadas tidak terasing antara satu sama lain sepertimana yang telah diterangkan. [4] (Rujuk Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:168)

Kesimpulan daripada petikan di atas, dapat difahami jika seseorang mengkhususkan niat wuduknya untuk ibadah tertentu dan menafikan ibadah lain selainnya seperti berkata, “Aku berniat mengambil wuduk untuk solat Zohor sahaja dan tidak untuk ibadah yang lain’, maka wuduknya itu sah untuk solat Zohor dan ibadah-ibadah yang lain juga. Ini kerana walaupun dia mengkhususkan wuduknya hanya kepada ibadah tertentu sahaja, namun hadasnya telah terangkat dengan satu wuduk tersebut dan tidak perlu berwuduk bagi setiap hadas kerana hadas tidak berasingan antara satu sama lain.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Ansari, Zakariyya, 1997, Manhaj al-Tullab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld.1 hlmn. 9

[2] Al-Subki, Tajuddin, 1991, al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1 hlmn. 64

[3] Al-Ansari, Zakariyya, t.t, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 29.

[4] Al-Syarbini, Syamsuddin al-Khatib, 1994, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Maani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld.1 hlmn. 168.