Soalan:
Apakah hukum bagi sesetengah orang yang gemar menunjukkan gambar perut memboyot di media sosial atau biasanya dipanggil baby bump?
Ringkasan Jawapan:
Baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
Selain itu, hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam kerana ia boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.
Huraian Jawapan:
Aurat menurut syarak adalah anggota tubuh yang wajib ditutupi dan apa-apa yang diharamkan melihat kepadanya. (Rujuk: Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/633).
Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/185). Jadi, aurat adalah bahagian tubuh wanita atau lelaki yang wajib ditutupi dan haram untuk dibuka atau diperlihatkan kepada orang lain.
Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana yang telah disepakati oleh para ulama berdasarkan firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”.
Surah al-Nur (31)
Shaikh Wahbah al-Zuhaili berkata ketika menghuraikan maksud " وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ" menyatakan:
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka iaitu bahagian yang tersembunyi atau tempat letak perhiasan iaitu selain daripada muka dan tapak tangan (Rujuk al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, 18/211).
Di sisi Mazhab Syafie, terdapat dua pandangan dalam menentukan kadar aurat wanita:
Pandangan Pertama: Seluruh tubuh wanita adalah aurat.
Imam al-Bujairimi berkata:
“Aurat wanita yang merdeka iaitu di dalam solat. Adapun auratnya di luar iaitu di sisi lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya termasuk muka dan kedua tapak tangan walaupun ketika aman daripada fitnah”. (Rujuk al-Bujairimi, Hasyiyah al-Bujairimi, 1/450).
Pandangan kedua: Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan.
Disebutkan di dalam kitab Nihayah al-Mathlab:
Berdasarkan firman Allah SWT: Lafaz {إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا}, maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya. Kebanyakan para ahli tafsir berkata: yang dimaksudkan di sini ialah bahagian muka dan kedua tapak tangan. Hal ini disebabkan keduanya boleh dibuka ketika solat. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan bagi para wanita untuk menutupnya. (Rujuk: Nihayah al-Mathlab, 12/31)
Imam Zakariyya al-Ansori berkata:
Dan aurat perempuan merdeka di dalam solat dan di hadapan lelaki anjabi sekalipun di luar (solat) ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan bahagian dalam dan luar sehingga ke pergelangan dua tapak tangan berdasarkan firman Allah
{وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا}. Ibn Abbas dan selainnya berkata ‘lafaz selain daripadanya’ ialah muka dan kedua tapak tangannya, dan keduanya bukanlah aurat kerana terdapat keperluan untuk menzahirkannya. (Rujuk Zakariyya al-Ansori, Asna al-Mathalib, 1/176).
Justeru, jelas sekali bahawa baby bump atau kawasan perut wanita mengandung adalah termasuk dalam aurat yang wajib ditutup oleh para wanita. Para ulama’ menggariskan syarat-syarat menutup aurat adalah seperti berikut:
1. Pakaian hendaklah menutup seluruh aurat wanita.
2. Pakaian tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata dalam masalah ini:
“Dan syarat pakaian (untuk menutup aurat) ialah apa yang boleh menutup dan tidak menampakkan warna kulit”. (Rujuk Ibn Hajar al-Haitami, Minhaj al-Qowim, 1/115)
3. Pakaian tidak ketat (longgar) sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh. Sekiranya syarat ini tidak dipatuhi maka fungsi pakaian tersebut tidak tercapai kerana sekalipun kelihatan wanita itu berpakaian tetapi sebenarnya dia telanjang.
Dalam hal ini Nabi SAW bersabda:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ
يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: “Ada dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat, satu kaum yang mempunyai cambuk seperti ekor lembu, dengannya mereka memukul manusia dan wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, yang akan cenderung (kepada kejahatan) dan membuat suami mereka cenderung ke arahnya. Kepala mereka akan seperti bonggol unta yang condong ke satu sisi. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula mencium baunya dan sungguh bau syurga itu dapat dicium dari jarak demikian dan demikian”.
Riwayat Muslim (2128)
4. Pakaian tidak menyerupai jantina yang lain iaitu pakaian yang digunakan bukan yang khusus daripada kebiasaan pakaian yang dipakai oleh jantina yang lain.
Dalam hal ini Nabi SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”.
Riwayat Abu Daud (4098)
Justeru, jelas sekali bahawa baby bump atau bahagian perut yang memboyot pada wanita mengandung adalah aurat. Oleh itu, para wanita mestilah menjaga aurat di kawasan berkenaan dengan mengenakan pakaian yang bersesuaian iaitu labuh dan longgar supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
Selain itu, hukum menayangkan gambar perut memboyot di media sosial adalah tidak selari dengan etika ajaran Islam apatah lagi sekiranya gambar yang ditunjukkan dalam keadaan wanita berkenaan memakai pakaian yang ketat dan nipis sehingga menampakkan bentuk perut. Hal ini juga boleh mengundang fitnah dalam kalangan lelaki ajnabi khususnya dan membawa kepada masalah moral dan akhlak.
Oleh itu, kaum wanita perlu berusaha untuk mengelakkan sebarang fitnah daripada berlaku. Ini berdasarkan satu kaedah:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh laluan-laluan tohmahan, maka dia akan ditohmah”.
Oleh yang demikian, sebarang perkara yang berisiko menimbulkan fitnah hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan boleh membawa kesan yang buruk pada masa-masa akan datang.
Wallahu a’lam.