Soalan
Assalammualaikum, Apakah hukum memakai pendakap gigi (braces) dan memakai sarung gigi (veneer) ? Mohon penjelasan S.S Mufti, Terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Hukum memasang pendakap gigi (braces) mahupun sarung gigi (veneer) adalah dibolehkan bagi tujuan rawatan disebabkan aib pada kerosakan gigi selain dapat mengembalikan fungsi gigi yang asal. Adapun, tiada keperluan untuk memasang sarung gigi atau pendakap gigi sekiranya tiada keaiban yang ketara pada gigi.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat
Veneer (Sarung Gigi) Dan Braces (Pendakap Gigi)
Veneer (sarung gigi) ialah bahan lapisan buatan yang digunakan untuk dilekatkan ke atas permukaan gigi untuk memperbaiki penampilan struktur gigi dari sudut bentuk, panjang, atau lebar gigi, warna selain dapat melindungi permukaan gigi daripada kerosakan. Veneer mempunyai pelbagai fungsi yang digunakan untuk perubatan seperti memanjangkan gigi yang pendek akibat haus, mengisi segitiga hitam di antara gigi akibat renggang, memberikan warna, bentuk, simetri yang seragam, membuat gigi kelihatan lurus dan menguatkan gigi yang usang. Dua jenis bahan utama yang digunakan untuk membuat veneer ialah composite dan porcelain. [1]Oleh itu, individu yang mengalami masalah gigi seperti patah, retak, jarang dan kuning sesuai menjalankan rawatan veneer gigi.
Sementara itu, pendakap gigi (braces) ialah alat yang digunakan untuk meluruskan (menjajarkan) gigi, dan memperbaiki jurang gigi.[2] Pakar Ortodontik menyatakan ia merupakan satu rawatan yang dibuat berdasarkan pengkelasan pergigian supaya susunan gigi yang dianggap tidak normal dan tidak terurus dibetulkan kepada susunan yang betul.[3] Pendakap gigi juga membaiki kedudukan gigitan gigi di dalam sesebuah rahang.[4]
Pada asalnya perbuatan merubah anggota asal manusia tanpa keperluan (hajiyyah) adalah diharamkan oleh syarak. Hal tersebut berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan Allah SWT".
Riwayat Muslim 2125
Ibn Hajar telah mensyarahkann hadis di atas seperti berikut:
وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ يُفْهَمُ مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَةَ مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْنِ فَلَوِ احْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ
“Wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan difahami daripada hadis bahawa ia adalah perbuatan tercela, dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika ianya dilakukan kerana keperluan perubatan maka diharuskan ( Lihat Fath al-Bari 10/372)[5]
Sementara itu, Imam al-Nawawi memberi makna perkataan " لِلْحُسْن " :
وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم
“Wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan “li husn” memberi makna mereka buat perkara tersebut hanya untuk kecantikan dan di dalam hadis ini mengisyaratkan bahawa yang haram itu adalah apa yang dilakukan untuk tujuan kecantikan. Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim,14/107). [6]
Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan pengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan rawatan.
PENUTUP
Kesimpulannya, berdasarkan dalil yang dikemukakan, hukum memakai pendakap gigi ( braces) mahupun sarung gigi (veneer) adalah harus bagi tujuan rawatan gigi yang rosak seperti patah, jarang dan retak agar dapat mengembalikan fungsi gigi yang asal. Adapun, tiada keperluan memakai veneer mahupun pendakap sekiranya tiada sebarang aib pada gigi atau hanya semata-mata untuk kecantikan. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Veneer_(dentistry)
[2] https://en.wikipedia.org/wiki/Dental_braces
[3] http://www.inomedik.com/2018/01/24/rawatan-ortodontik-pendakap-gigi/
[4] https://thediagnosa.com/pendakap-gigi-braces-kegunaan-dan-penjagaan/
[5] Al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar Abu al-Fadhl al-Asqalani, (1379), Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari , Bayrūt: Dār al-Ma’rifah , jld. 10 p. 372.
[6] Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf (1392), al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ihya’ at turath al-‘Arabi, . Cet ke 2: Jld.14 p: 107