Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-664 : HUKUM TREND UNBOXING BY HUSBAND

664

 

Soalan:

Assalamualaikum, apa pandangan pejabat mufti tentang trend unboxing by husband yang viral baru-baru ini?

 

Jawapan Ringkas:

Islam melarang perbuatan yang boleh menjurus kepada perkara haram. Perbuatan unboxing by husband jelas boleh menimbulkan fitnah dan rangsangan yang tidak baik kepada masyarakat awam khususnya anak muda yang beragama Islam. Selain itu juga, aksi ini dilihat seoalah-olah mendedahkan perlakuan intim suami isteri yang boleh membangkitkan syahwat orang lain bahkan ia bertentangan dengan kehendak syarak. Sedangkan hal ini tidak wajar dipamerkan kepada orang lain apatah lagi untuk tontonan orang ramai. Justeru, trend unboxing by husband adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan syarak dan dilarang sama sekali dilakukan oleh pasangan suami isteri.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga hari kesudahan.

Perkataan Unboxing asalnya diguna pakai untuk membuka kotak atau bungkusan hadiah. Namun, dalam isu ini istilah tersebut digunakan oleh segelintir pasangan suami isteri yang baru berkahwin dengan cara memaparkan aksi pengantin lelaki membantu membuka tudung pengantin perempuan sebagai simbolik mukadimah hubungan menjadi halal. Tambahan lagi, perbuatan antara suami isteri tersebut dirakam dan di muat naik dalam media sosial.

 

Trend ini adalah satu trend yang buruk yang berpunca daripada kegilaan untuk menarik perhatian warga internet melalui muat naik kandungan media sosial (online content) dengan mendedahkan perkara-perkara yang sensasi termasuk hal-hal peribadi untuk tontonan khalayak ramai. Trend ini juga boleh menyebabkan orang yang menonton terpengaruh untuk melakukan perkara yang sama bahkan boleh berlarutan sehingga ke tahap yang lebih teruk.

 

Islam melarang perbuatan suami isteri bercerita tentang perlakuan hubungan intim mereka kepada orang lain. Hal ini adalah bersandarkan kepada sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا ‏

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling teruk di sisi Allah pada hari Kiamat adalah seorang lelaki yang menggauli isterinya dan isterinya datang kepadanya, kemudian lelaki itu menyebarkan rahsia isterinya tersebut.

Riwayat Muslim (1437)

 

Para ulama menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan tentang hubungan suami isteri adalah haram. Perkara tersebut termasuk seperti menceritakan perkara istimta’ (bersedap-sedapan), sifat-sifat yang terperinci, percakapan dan perbuatan intim antara suami isteri. Tambahan lagi, setiap perbuatan dan percakapan antara pasangan adalah amanah yang perlu dijaga. Oleh itu, perbuatan menceritakan apa yang berlaku antara pasangan kepada orang lain membuka pekung dan juga mengkhianati pasangan. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 8/10[1]; Syarh Masabih al-Sunnah lil Imam al-Baghawi 583/3[2])

 

Selain itu, Rasulullah SAW membuat perumpamaan bagi orang yang tidak mempunyai rasa malu dan menceritakan mengenai hubungan seksual mereka baik suami atau isteri pada orang luar sebagai syaitan betina dan syaitan jantan yang melakukan hubungan seksual sambil dilihat oleh orang ramai. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: هَلْ فِيكُمْ رَجُلٌ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ أَغْلَقَ بَابَهُ وَأَرْخَى سِتْرَهُ، ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُحَدِّثُ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ بِأَهْلِي كَذَا، وَفَعَلْتُ بِأَهْلِي كَذَا؟ فَسَكَتُوا فَأَقْبَلَ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ: هَلْ مِنْكُنَّ مَنْ تُحَدِّثُ؟ فَجَثَتْ فَتَاةٌ كَعَابٌ عَلَى إِحْدَى رُكْبَتَيْهَا، وَتَطَاوَلَتْ لِيَرَاهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَسْمَعَ كَلاَمَهَا، فَقَالَتْ: إِي وَاللَّهِ إِنَّهُمْ لَيُحَدِّثُونَ، وَإِنَّهُنَّ لَيُحَدِّثْنَ، قَالَ: هَلْ تَدْرُونَ مَا مَثَلُ مَنْ فَعَلَ ذَلِكَ؟ إِنَّ مَثَلَ مَنْ فَعَلَ ذَلِكَ مَثَلُ شَيْطَانٍ وَشَيْطَانَةٍ لَقِيَ أَحَدُهُمَا صَاحِبَهُ بِالسِّكَّةِ، قَضَى حَاجَتَهُ مِنْهَا وَالنَّاسُ يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ.

Maksudnya: Rasulullah s.a.w berkata (kepada kumpulan lelaki): “Adakah dari kalangan kamu apabila datang kepada keluarganya dia menutup pintunya dan melonggarkan tabirnya kemudian dia keluar dan dia bercerita dan dia berkata: Aku melakukan sekian-sekian pada isteriku begitu dan begini?” Lalu mereka diam. Maka baginda berpaling kepada kumpulan wanita dan berkata: “Adakah ada daripada kalangan kamu yang bercerita?” Maka seorang budak perempuan duduk di atas kedua-dua lututnya dan meninggikan kepalanya supaya Rasulullah s.a.w dapat melihatnya dan mendengar kata-katanya dan berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada dalam kalangan lelaki yang bercerita dan ada dalam kalangan wanita yang bercerita.” Maka Baginda berkata: “Adakah kamu tahu apakah perumpamaan bagi siapa yang lakukan perkara itu? Perumpamaan bagi orang yang melakukan perkara itu adalah seperti syaitan jantan dan syaitan betina, mereka berjumpa salah seorangnya di lorong dan menunaikan hajatnya (melakukan persetubuhan) dan manusia melihat perlakuan mereka itu.

Riwayat Abu Daud (2174)

 

Menurut Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autor, kedua-dua hadis yang telah dinyatakan menjadi dalil kepada pengharaman perbuatan menceritakan rahsia-rahsia yang berlaku antara suami isteri seperti perbuatan jimak serta permulaan kepada jimak. (Rujuk Nail al-Author 237/6[3])

 

Oleh hal yang demikian, trend unboxing by husband adalah sama seperti menceritakan mukadimah atau permulaan perbuatan jimak kepada orang lain. Disebabkan itu, trend sebegini adalah haram dan tidak boleh dilakukan.

 

Mungkin pelaku berniat baik untuk menggambarkan nikmat perkahwinan kerana hubungan mereka telah sah, namun begitu mudarat yang datang daripada perbuatan tersebut adalah lebih besar iaitu akan menggalakkan maksiat. Hubungan intim suami isteri adalah wilayah peribadi dan tak sepatutnya diceritakan bahkan dipertontonkan kepada orang ramai.

 

Rasulullah SAW juga pernah memberi ancaman kepada orang yang tidak mempunyai rasa malu melakukan dosa maka dia perlu bersedia untuk menanggung azabnya. Sabda baginda:

إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.

Riwayat al-Bukhari (3296)

 

Allah SWT suka kepada hamba-hambaNya mempunyai sifat malu, sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَلِيمٌ حَيِيٌّ سِتِّيرٌ يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسَّتْرَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemurah, Maha Kekal dan Maha Penutup. Dia menyukai sifat malu dan menutup aib.

Riwayat al-Nasaie (406)

 

Seorang suami perlulah memainkan peranan dalam memastikan pasangannya tidak melakukan perkara yang melanggar syariat dan menjaga kehormatannya. Sekiranya seorang suami tidak melakukan tanggungjawabnya itu dibimbangi akan tergolong dalam kalangan lelaki dayus sebagaimana sabda Rasulullah SAW berikut:

ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا: الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ، وَمُدْمِنُ الْخَمْر. فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَمَا الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ؟ قَالَ: الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga selamanya iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagihan arak.” Lalu para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Kami tahu tentang orang yang ketagihan arak, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Rasulullah menjawab: “Lelaki dayus adalah lelaki yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)”.

Riwayat al-Baihaqi dalam Sya’b al-Iman (10799)

 

Kesimpulan:

Kesimpulannya ialah, suami seharusnya membimbing isteri dan keluarga ke arah kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT bukan membawa mereka ke lembah maksiat. Islam mendidik umatnya agar setiap pasangan suami isteri saling menutup aib di antara satu sama lain, agar tidak diketahui oleh orang lain. Trend unboxing by husband ini jelas memaparkan dan menceritakan mukadimah malam pertama kepada khalayak ramai yang boleh menimbulkan fitnah. Justeru,  hukumnya adalah haram dan bertentangan dengan syarak yang wajib ditinggalkan.

[1] وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ تَحْرِيمُ إِفْشَاءِ الرَّجُلِ مَا يَجْرِي بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ مِنْ أُمُورِ الِاسْتِمْتَاعِ وَوَصْفِ تَفَاصِيلِ ذَلِكَ وَمَا يَجْرِي مِنَ الْمَرْأَةِ فِيهِ مِنْ قَوْلٍ أَوْ فِعْلٍ وَنَحْوِهِ

[2] أن أفعال كلٍّ من الزوجين وأقوالَهما أمانة مودعة عند الآخر، فمن أفشى منهما ما كرهه الآخرُ وأشاعه فقد خانه

[3] والحديثان يدلان على تحريم إفشاء أحد الزوجين لما يقع بينهما من أمور الجماع؛ وذلك لأن كون الفاعل لذلك من أشر الناس، وكونه بمنزلة شيطان لقي شيطانة فقضى حاجته منها والناس ينظرون: من أعظم الأدلة الدالة على تحريم نشر أحد الزوجين للأسرار الواقعة بينهما الراجعة إلى الوطء ومقدماته