Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-671: APAKAH HUKUM MEMAKAI RETAINER UNTUK RAWATAN GIGI

if_671.JPG

Soalan

Assalamualaikum, Apakah hukun memakai retainer kekal. Retainer ialah alat yang digunakan selepas selesai memakai braces. Retainer kekal pulak besi yang ditanam di dalam gigi untuk mengelak kan gigi dari bergerak semula.

Ringkasan Jawapan

Secara asasnya hukum mengubah anggota badan dengan tujuan kecantikan adalah dilarang oleh syarak. Namun untuk tujuan perubatan supaya dapat menghilangkan keaiban dan kecacatan, maka perbuatan tersebut diharuskan. Oleh itu hukum memakai dan menggunakan Retainer sebagai rawatan pemulihan kedudukan gigi yang rosak adalah diharuskan dan dibenarkan syarak

Huraian Jawapan

Retainer merupakan alat bantuan ortodontik dalam merawat masalah gigi tidak normal dan tidak tersusun. Alat ini digunakan untuk mengekalkan dan menstabilkan gigi setelah menjalani rawatan gigi. Terdapat pelbagai jenis alat retainer yang digunakan di antaranya Hawley Retainer, Vacuum-Formed Retainer (VFR) dan Removable Wrap araund Retainer. Penggunaan alat ini mengikut tempoh masa yang bersesuaian, terdapat di antaranya digunakan dalam tempoh yang singkat dan mengambil masa 3 hingga 6 bulan dan ada juga retainer yang digunakan dalam jangka masa yang panjang iaitu sehingga selesai proses penumbuhan gigi.[1]

Secara asalnya hukum mengubah anggota badan manusia adalah diharamkan oleh syarak. Allah SWT melaknat mereka yang mengubah anggota badan tanpa keperluan yang mendesak seperti mereka yang menjarangkan gigi untuk kecantikan. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَي

Maksudnya: Allah melaknat wanita mencacah tatu, wanita yang meminta dilukiskan tatu, wanita yang mencukur bulu kening, wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah SWT

Riwayat al-Bukhari (5931)

Walaubagaimanapun jika atas tujuan perubatan atau kecacatan serta keaiban, maka hukumnya adalah diharuskan oleh syarak. Pengharamannya adalah berdasarkan tujuan kecantikan semata-mata. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam syarahnya:

أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم

Maksudnya: Sesungguhnya yang haram itu adalah perkara yang dilakukan bertujuan kecantikan. Namun jika kerana hajat untuk merawat atau disebabkan keaiban pada gigi dan seumpamanya maka tidak menjadi masalah. Wallahu’alam.[2]

Pada hadis yang lain, Baginda Nabi SAW tidak melarang Arfajah bin As’ad menggunakan hidung yang diperbuat daripada perak kerana hidungnya terpotong ketika dalam peperangan. Malah Baginda Nabi SAW menyarankannya supaya digantikan hidung peraknya itu kepada hidung yang diperbuat daripada emas kerana ia lebih baik. Kisah ini menggambarkan bahawa syarak tidak melarang mengubah anggota badan kerana tujuan perubatan dan menghilangkan keaiban. Kisah ini diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Tarafah RA:

أَنَّ جَدَّهُ، عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلاَبِ فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya: Sesungguhnya datuknya ‘Arfajah bin As’ad terpotong hidungnya pada peperangan al-Kilab. Lalu digantikan hidungnya dengan perak namun ia menjadi busuk. Maka Baginda Nabi SAW memerintahkannya supaya digantikan dengan hidung yang diperbuat daripada emas.

Riwayat Abu Daud (4232)

Berdasarkan huraian di atas hukum memakai dan menggunakan Retainer sebagai rawatan pemulihan kedudukan gigi yang rosak adalah diharuskan dan dibenarkan syarak.

[1] Istaria Iskandar, Evalusi Hasil Perawatan Ortodonti Setelah Pemasangan Retainer Pada Pasien Maloksi Klas 1 Tanpa Pencabutan di Klinik PPDGS Ortodonti RSGM FKG USU, Fakultas Kedoktoran Gigi Universitas Sumatera Utara Medan 2018.

[2] Abu Zakaria Mahyuddin yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Bairut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1392) 14/106