Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-678: HUKUM MEMBELI KERETA MENGGUNAKAN HASIL MENANG LOTERI

678

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, suatu masa dulu saya pernah menang loteri. Duit yang saya dapat itu saya gunakan untuk beli kereta yang saya pakai sekarang. Sekarang saya sudah bertaubat. Soalan saya, apakah hukum belian kereta tersebut, adakah sah atau perlu disucikan?

 

Jawapan Ringkas

Islam melarang umatnya terlibat dengan aktiviti judi. Sekiranya telah terlibat dengan aktiviti tersebut, maka dia perlu bertaubat dan bersihkan hasil keuntungan daripada judi. Berikut adalah beberapa cara untuk membersihkan harta tersebut:

  1. Keluarkan duit dengan jumlah yang dimenangi dan disalurkan kepada baitulmal untuk kegunaan maslahat awam ataupun kepada fakir miskin.
  2. Kereta tersebut dijual dengan harga semasa kemudian perlu ditambah dengan wang lain bagi mencukupkan jumlah harta haram (wang loteri) yang perlu dibersihkan.
  3. Sekiranya sudah tidak berkemampuan untuk menggantikan jumlah yang dimenangi secara pukal, maka dia perlu berusaha untuk membersihkannya secara ansuran sehingga cukup jumlah yang dimenangi.

 

Huraian Jawapan

Loteri adalah termasuk dalam kategori judi. Judi adalah suatu aktiviti yang amat dilarang dalam Islam. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Surah al-Maidah (90)

 

Rasulullah SAW juga telah bersabda bahawa segala bentuk judi adalah diharamkan. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal atau nard).

Riwayat Abu Daud (3696)

 

Seorang muslim tidak boleh makan dan minum atau mengambil manfaat daripada harta yang diperoleh secara haram. Rasulullah SAW telah memberi ancaman keras bahawa orang yang makan daripada hasil harta yang haram tempatnya adalah di neraka. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: Tidak ada daging yang tumbuh daripada sumber yang haram kecuali neraka adalah utama baginya.

Riwayat al-Tirmizi (614)

 

Para ulama telah menetapkan bahawa harta yang diperoleh daripada sumber yang haram tidak boleh digunakan dan perlu dibersihkan. Sekiranya diketahui pemilik asal harta tersebut, maka perlu dikembalikan kepada pemilik asalnya. Namun, bagi harta yang tidak diketahui siapa pemiliknya (seperti hasil judi dan riba) harta tersebut boleh dibersihkan dengan cara menyalurkannya kepada baitulmal untuk kegunaan maslahat umum ataupun kepada fakir miskin. (Rujuk Majalah Majma’ al-Fiqh al-Islami 1228/3[1]; Fatawa Ibn Solah 401/1[2]; al-Furu’ wa Tashih al-Furu’ 398/4[3]; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 407/39[4])

 

Adapun berkenaan kereta yang telah dibeli menggunakan duit menang loteri, kereta tersebut tidak menjadi haram kerana pengharaman tersebut adalah pada nilai hasil judi tersebut. Sebagai contoh, Ali menang loteri sebanyak RM100,000 dan dia membeli kereta dengannya. Apabila hendak bertaubat, Ali perlu membersihkan nilai RM100,000 yang diperoleh secara haram itu. Ini kerana harta haram itu adalah pada nilai RM100,000 yang dimenangi.

 

Kesimpulan

Islam melarang umatnya terlibat dengan aktiviti judi. Sekiranya telah terlibat dengan aktiviti tersebut, maka dia perlu bertaubat dan bersihkan hasil keuntungan daripada judi.

 

Wallahualam.

[1] لا يجوز للمسلم المكلف أكل ‌المال ‌الحرام، ولا لبس اللباس الحرام، ولا سكنى المسكن الحرام، ولا استعمال أي شيء مما ينتفع به من الحرام

[2] إِذا لم يعرف صَاحب ‌المَال ‌الْحَرَام وَلَا يَرْجُو أَن يعرفهُ فليتصدق بِهِ عَن أَصْحَابه وَإِذا لم يكن لِعِيَالِهِ شَيْء جَازَ أَن يتَصَدَّق عَلَيْهِم لكفايتهم من ذَلِك ‌المَال ‌الْحَرَام

[3] والواجب في ‌المال ‌الحرام التوبة وإخراجه على الفور، يدفعه إلى صاحبه أو وارثه، فإن لم يعرفه أو عجز دفعه إلى الحاكم

[4] ‌مَا ‌يَكْسِبُهُ ‌الْمُقَامِرُ هُوَ كَسْبٌ خَبِيثٌ، وَهُوَ مِنَ الْمَال الْحَرَامِ مِثْل كَسْبِ الْمُخَادِعِ وَالْمُقَامِرِ، وَالْوَاجِبُ فِي الْكَسْبِ الْخَبِيثِ تَفْرِيغُ الذِّمَّةِ مِنْهُ بِرَدِّهِ إِلَى أَرْبَابِهِ إِنْ عَلِمُوا وَإِلَاّ إِلَى الْفُقَرَاءِ