SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang amalan sujud sejadah dalam solat subuh hari Jumaat. Di surau berdekatan rumah saya ada mengamalkannya dengan membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan. Namun, masalahnya solat subuh pada hari itu saya terlewat untuk menghantar anak ke sekolah dan pergi kerja. Soalan saya, manakah yang lebih utama sama ada mengamalkan amalan tersebut atau meraikan makmum yang ada urusan?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Dalam situasi ini, perlu diraikan keperluan makmum sepertimana yang disebutkan dalam hadis berkaitan teguran Nabi SAW kepada Mu’adz Ibn Jabal. Namun begitu, dalam masa yang sama imam juga boleh mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan membaca sebahagian surah al-Sajadah atau ayat sajadah sahaja pada rakaat pertama dan sebahagian surah al-Insan pada rakaat yang kedua.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertama, sujud sejadah dalam solat subuh Jumaat adalah sunat di sisi mazhab al-Syafie. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi[1] berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW sering membaca pada solat subuh hari Jumaat surah al-Sajadah (الم تَنْزِيلُ)dan surah al-Insan (وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ).
Riwayat al-Bukhari (891) dan Muslim (879)
Dalam hal ini, disunatkan untuk membaca keseluruhan surah tersebut dan mengamalkannya secara berterusan.[2] Walau bagaimanapun, jika terdapat kekangan untuk melakukannya seperti kesuntukan masa, memberatkan para jemaah dan seumpamanya, maka perlulah diambil kira perkara-perkara tersebut sebelum melaksanakannya.
Rasulullah SAW telah menegur Muadz Ibn Jabal kerana beliau membaca bacaan surah yang terlalu panjang dalam solat berjemaah sehingga sebahagian jemaah mengadu kepada Baginda SAW. Sabda Baginda SAW:
يَا مُعَاذُ لَا تَكُنْ فَتَّانًا فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَكَ الْكَبِيرُ وَالضَّعِيفُ وَذُو الْحَاجَةِ وَالْمُسَافِرُ
Maksudnya: Wahai Mu’adz, janganlah kamu menimbulkan fitnah. Sesungguhnya terdapat dalam jemaah yang solat di belakang kamu dalam kalangan orang tua, orang sakit, orang yang mempunyai urusan dan musafir.
Riwayat Abu Daud (791)
Para ulama menyatakan bahawa dalam hadis ini terdapat anjuran dan galakan bagi meraikan keperluan umat Islam dengan meringankan solat berjemaah. Hal ini bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan perkara yang tidak baik dalam kalangan masyarakat. Adapun jika dalam keadaan yang mengizinkan seperti para makmum tidak ramai dan mereka semua reda jika solat dipanjangkan, maka ketika itu diharuskan untuk memanjangkan solat.[3]
Oleh yang demikian, jika imam ingin melaksanakan amalan sujud sejadah subuh Jumaat dan dalam masa yang sama perlu meraikan makmum yang mempunyai urusan, maka sebagai solusinya imam boleh membaca sebahagian daripada surah sajdah atau mengikut kemampuannya. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli bahawa:
وَشَمَلَ ذَلِكَ مَا إذَا كَانَ إمَامًا لِغَيْرِ مَحْصُورِينَ وَلَوْ ضَاقَ الْوَقْتُ عَنْ قِرَاءَةِ جَمِيعِهَا قَرَأَ مَا أَمْكَنَ مِنْهَا وَلَوْ آيَةَ السَّجْدَةِ، وَكَذَا فِي الْأُخْرَى يَقْرَأُ مَا أَمْكَنَهُ مِنْ هَلْ أَتَى، فَإِنْ قَرَأَ غَيْرَ ذَلِكَ كَانَ تَارِكًا لَلسُّنَّةِ قَالَهُ الْفَارِقِيُّ وَغَيْرُهُ، وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ وَإِنْ نُوزِعَ فِيهِ.
Maksudnya: Hukum sunat ini juga termasuk kepada seseorang yang menjadi imam kepada jemaah yang tidak mempunyai keuzuran(seperti tua dan sakit). Jika kesuntukan masa untuk membaca keseluruhan surah al-Sajadah, maka hendaklah imam membaca apa yang termampu baginya walaupun dengan hanya membaca ayat sejadah sahaja. Begitu juga pada rakaat kedua, hendaklah imam membaca apa yang termampu daripada surah al-Insan. Jika imam membaca selain kedua-duanya (surah al-Sajadah dan al-Insan), maka sesungguhnya dia telah meninggalkan sunnah Nabi SAW. Al-Fariqi dan lain-lain menyatakan bahawa ini adalah pandangan yang muktamad walaupun terdapat pertikaian tentangnya.[4] (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 1:495)
Apabila imam melakukan sedemikian, maka dia telah menyeimbangkan antara tuntutan untuk mengamalkan sunnah Rasulullah SAW tersebut dan meraikan keperluan para makmum yang solat dibelakangnya, insya-Allah.
WaAllahu a’lam.
RUJUKAN
[1] وَاتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ يُسَنُّ فِي صُبْحِ يَوْمِ الْجُمُعَةِ (الم تَنْزِيلُ) فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى (وَهَلْ أَتَى) فِي الثَّانِيَةِ لِلْحَدِيثِ الصَّحِيحِ السَّابِقِ.
Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 3, hlmn. 385.
[2] وَيُسَنُّ الْمُدَاوَمَةُ عَلَيْهِمَا وَلَا نَظَرَ إلَى كَوْنِ الْعَامَّةِ قَدْ تَعْتَقِدُ وُجُوبَهُمَا خِلَافًا لِمَنْ نَظَرَ إلَى ذَلِكَ.
Al-Ramli, Syamsuddin, 1984, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 495.
[3] (فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَك الْكَبِير وَالضَّعِيف وَذُو الْحَاجَة وَالْمُسَافِر): فِيهِ اِسْتِحْبَاب تَخْفِيف الصَّلَاة مُرَاعَاة لِحَالِ الْمَأْمُومِينَ وَأَمَّا مَنْ قَالَ لَا يُكْرَه التَّطْوِيل إِذَا عَلِمَ رِضَا الْمَأْمُومِينَ فَيُشْكِل عَلَيْهِ أَنَّ الْإِمَام قَدْ لَا يَعْلَم حَال مَنْ يَأْتِي فَيَأْتَمّ بِهِ بَعْد دُخُوله فِي الصَّلَاة كَمَا فِي حَدِيث الْبَاب ، فَعَلَى هَذَا يُكْرَه التَّطْوِيل مُطْلَقًا إِلَّا إِذَا فُرِضَ فِي مُصَلٍّ بِقَوْمٍ مَحْصُورِينَ رَاضِينَ بِالتَّطْوِيلِ فِي مَكَان لَا يَدْخُلهُ غَيْرهمْ.
Abadi, Syams al-Haq al-Azhim, 1968, ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Salafiah, Madinah, jld. 3, hlmn. 9.
[4] Al-Ramli, Syamsuddin, 1984, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 495.
قَالَ الْفَارِقِيُّ وَغَيْرُهُ فَإِنْ ضَاقَ الْوَقْتُ عَنْ قِرَاءَةِ جَمِيعِهَا قَرَأَ بِمَا أَمْكَنَ مِنْهَا وَلَوْ لِآيَةِ السَّجْدَةِ، وَكَذَا فِي الْأُخْرَى يَقْرَأُ مَا أَمْكَنَهُ مِنْ {هَلْ أَتَى} [الإنسان: 1] فَإِنْ قَرَأَ غَيْرَ ذَلِكَ كَانَ تَارِكًا لِلسُّنَّةِ.
Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Matalib Fi Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn. 155.