Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-740: HUKUM MEMBERI RASUAH DALAM KEADAAN TERDESAK

Screenshot 2022 12 28 at 4.21.14 PM min

Soalan:

Apakah hukum memberi rasuah dalam keadaan terdesak, contohnya rasuah untuk mendapatkan hak yang terhalang, seperti memberi suapan kepada seorang pegawai untuk mempercepatkan urusan yang mendesak?

Ringkasan Jawapan

Rasuah itu hukum asalnya adalah haram untuk diberi atau diterima secara mutlak dalam semua keadaan. Namun para ulama memberikan pengecualian dalam beberapa keadaan untuk seseorang itu memberikan rasuah bagi mendapatkan haknya yang terhalang, dan yang dikira berdosa hanyalah yang menerima atau meminta, bukan yang memberi. 

Meskipun demikian, peraturan negara menetapkan bahawa kedua-dua perbuatan memberi dan menerima rasuah itu sebagai kesalahan di bawah undang-undang yang akan membawa kepada hukuman. Oleh yang demikian, hukum asal tetap terpakai, bahawa rasuah itu haram hukumnya dalam semua keadaan, serta mengambil kira kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rasuah dan pengharamannya

Hukum rasuah jelas pengharamannya melalui banyak nas syarak, antaranya firman Allah SWT:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)

Surah al-Maidah (42)

Dalam sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah 

Rukhsah yang diberikan sebahagian ulama dalam isu rasuah

Namun, terdapat juga sebahagian ulama yang memberikan keringanan dalam keadaan tertentu berhubung dengan perbuatan memberi rasuah atau suapan dalam keadaan yang mendesak. Ini selaras dengan prinsip keringanan dalam keadaan darurat yang mendasari ajaran Islam. Firman Allah SWT:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu yang haram kerana terdesak, bukannya kerana dia sendiri menginginkannya dan tidak juga untuk melampaui batas, maka tiada dosa ke atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah al-Baqarah (173)

Menurut Syeikh ‘Abd al-Rahman Ba’lawi:

وأما الرشوة فحرام مطلقاً، سواء كانت لأجل الحكم بغير الحق وهي أشد حرمة، أو ليحكم بالحق ولولاها لما قضى به ولا أعلم فيها خلافاً لكنها أخفّ من الأولى، وقد لع النبي الراشي والمرتشي والرائش أي الساعي بينهما، نعم إنما يحرم على الراشي إذا توصل بها إلى أخذ ما ليس له، أو إبطال حق عليه، أما لو حيل بينه وبين حقه وعلم أنه لا يصل إليه إلا بسحت يبذله لقاض سوء فالوزر خاص بالمرتشي

Maksudnya: Adapun rasuah, maka hukumnya adalah haram secara mutlak, sama ada ia diterima oleh hakim untuk dia berhukum secara zalim – dan merupakan seberat-berat pengharaman – atau untuk hakim itu berhukum dengan kebenaran, yang jika tidak kerana rasuah itu nescaya dia tidak akan berhukum dengannya. Aku tidak mengetahui adanya khilaf padanya, namun pengharamannya adalah lebih ringan berbanding yang pertama. Sesungguhnya Nabi SAW telah melaknat pemberi dan peminta rasuah serta perantara antara kedua-duanya. Benar, yang diharamkan ke atas pemberi rasuah itu adalah apabila ia bertujuan untuk mendapatkan apa yang bukan miliknya, atau membatalkan hak orang lain ke atasnya. Adapun jika untuk mendapatkan haknya yang terhalang daripadanya, dan dia mengetahui tiada jalan lain untuk mendapatkannya melainkan dengan merasuah hakim yang jahat, maka dosa hanyalah ke atas yang meminta rasuah.[1]

Imam al-Suyuti pula ketika menjelaskan satu kaedah fiqh yang berbunyi:

ما حَرُمَ أَخْذُهَ حَرُمَ إعْطاؤُه

Maksudnya: Suatu yang haram diambil, haram juga diberikan.

Menurut beliau, salah satu contoh yang dikecualikan daripada kaedah ini adalah merasuah hakim untuk mendapatkan haknya.[2]

Selain itu, Ibn Taimiyyah pula berfatwa:

فَأَمَّا إذَا أَهْدَى لَهُ هَدِيَّةً لِيَكُفَّ ظُلْمَهُ عَنْهُ أَوْ لِيُعْطِيَهُ حَقَّهُ الْوَاجِبَ كَانَتْ هَذِهِ الْهَدِيَّةُ حَرَامًا عَلَى الْآخِذِ، وَجَازَ لِلدَّافِعِ أَنْ يَدْفَعَهَا إلَيْهِ

Maksudnya: Adapun jika seseorang itu memberikan kepada ulil amri satu pemberian untuk menyekat kezalimannya ke atasnya, atau supaya ulil amri itu memberikan hak yang wajib diberikan kepadanya, maka pemberian itu hukumnya haram ke atas penerima, dan harus kepada pemberi untuk diberikan.[3]

Hal yang sama turut dipersetujui oleh Ibn Hazm:

فَأَمَّا مَنْ مُنِعَ مِنْ حَقِّهِ فَأَعْطَى لِيَدْفَعَ عَنْ نَفْسِهِ الظُّلْمَ فَذَلِكَ مُبَاحٌ لِلْمُعْطِي، وَأَمَّا الْآخِذُ فَآثِمٌ

Maksudnya: Adapun seseorang yang terhalang daripada haknya, lalu dia memberi rasuah untuk mengelak kezaliman ke atas dirinya, hal tersebut diharuskan kepada pemberi, namun haram ke atas penerima rasuah itu.[4]

Melawan kebejatan rasuah

Namun demikian, meskipun terdapat banyak fatwa yang memberi keringanan dalam keadaan tertentu untuk memberi suapan dalam keadaan mendesak, konteks dan realiti semasa perlu diambil kira. Dalam sebuah negara, prinsip kedaulatan undang-undang mestilah dihormati dan dipertahankan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), sebarang perbuatan menerima, meminta, memberi dan menawarkan rasuah atau suapan merupakan satu kesalahan. 

Dalam membantu kerajaan untuk membasmi rasuah  seluruh lapisan rakyat perlu menggembleng tenaga bagi membentuk sebuah masyarakat antirasuah yang mapan. Mapan dalam erti kata ia tidak akan bertoleransi dengan apa jua bentuk rasuah tanpa mengira kecil atau besar amaun yang terlibat, serta pelakunya orang besar atau orang kecil; semuanya ditentang sehabis kudrat.

Pemikir ulung tanah air, Syed Hussein Alatas dalam bukunya “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” telah merakamkan pandangan beliau akan langkah yang wajib diambil untuk membanteras rasuah:

“…membangkitkan sebanyak mungkin orang untuk melawan rasuah, membangunkan kesedaran intelektual melawan rasuah, memperingatkan para pemuda akan bahaya rasuah bagi masyarakat manusia, menjadikan rasuah sebagai inti percakapan, membuang rasa hormat dan kepercayaan kepada orang yang rasuah...”[5]

Justeru, sejajar dengan usaha membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan mengambil kira kerosakan yang berlaku akibat jenayah ini, kami berpandangan hukum asal rasuah tetap terpakai, iaitu ia haram diberi dan diterima dalam apa jua keadaan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, rasuah itu hukum asalnya adalah haram untuk diberi atau diterima secara mutlak dalam semua keadaan. Namun ada sebahagian yang ulama memberikan pengecualian dalam beberapa keadaan untuk seseorang itu memberikan rasuah bagi mendapatkan haknya yang terhalang, dan yang dikira berdosa hanyalah yang menerima atau meminta, bukan yang memberi. 

Meskipun demikian, peraturan negara menetapkan bahawa kedua-dua perbuatan memberi dan menerima rasuah itu sebagai kesalahan di bawah undang-undang yang akan membawa kepada hukuman. Oleh yang demikian, hukum asal tetap terpakai, bahawa rasuah itu haram hukumnya dalam semua keadaan, serta mengambil kira kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara. Maka wajib ke atas seseorang yang berhadapan dengan situasi pemerasan dan rasuah untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa dan tidak melibatkan diri sama sekali dalam jenayah rasuah.

Wallahu a’lam.

[1] ‘Abd al-Rahman bin Muhammad Ba’lawi (2016) Ghayah Talkhis al-Murad min Fatawa Ibn Ziyad (Dicetak bersama dengan kitab Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhis Fatawa Ba’dh A’immah min al-Ulama’ al-Muta’akkhirin dan Ithmid al-‘Ainain fi Ba’dhi Ikhtilaf al-Syaikhain, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hal. 562.

[2] Rujuk al-Suyuti, Jalaluddin (1990) al-Asybah wa al-Naza’ir, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hal. 150

[3] Rujuk Ibn Taimiyyah, Taqiyuddin Abu al-‘Abbas (1987) al-Fatawa al-Kubra, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/174

[4] Rujuk Ibn Hazm al-Andalusi (t.t) Al-Muhalla bi al-Athar, Beirut: Dar al-Fikr, 8/118

[5] Rujuk Alattas, Syed Hussein (2002) Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Kedua hal. 301-302