Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-751: SAMBUTAN HARI AGAMA SEDUNIA DAN ANCAMAN PLURALISME AGAMA

SAMBUTAN HARI AGAMA SEDUNIA DAN ANCAMAN PLURALISME AGAMA

 

SOALAN

Mohon penjelasan pihak tuan berkenaan sambutan Hari Agama Sedunia.

RINGKASAN JAWAPAN

Sambutan Hari Agama Sedunia merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh penganut ajaran Bahai di Amerika Syarikat. Sambutan ini bertujuan untuk mempopularkan ajaran Bahai sebagai idea universal berdasarkan prinsip-prinsip keesaan tuhan, kesatuan agama, dan mempersatukan seluruh manusia. Agenda ini boleh menjurus ke arah fahaman Pluralisme Agama yang mengancam pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Oleh itu, hukum menyambut Perayaan Hari Agama Sedunia bagi umat Islam adalah haram. Seluruh umat Islam diseru untuk tidak terlibat atau mengambil bahagian dalam sambutan Perayaan Hari Agama Sedunia atau apa jua inisiatif yang mengangkat idea Pluralisme Agama.

 

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan

Sambutan Hari Agama Sedunia yang diadakan pada setiap hari ahad, minggu ketiga pada bulan Januari. Sambutan ini merupakan inisiatif penganut ajaran Bahai di Amerika Syarikat yang mengangkat idea-idea kebersamaan dalam prinsip dan ajaran setiap agama.[1] Sebahagian penulisan menyatakan bahawa sambutan Hari Agama Sedunia bertujuan untuk mempopularkan idea universal iaitu kesatuan semua agama (the oneness of the world religions).[2] Selain itu, kepercayaan Bahai menjelaskan lagi kesatuan agama menerusi pandangan bahawa semua agama berkongsi matlamat kerohanian yang sama (common spiritual goals). [3]

Ancaman Pluralisme Agama

Agenda ini boleh menjurus ke arah pemahaman yang menyamaratakan kebenaran dan keabsahan semua agama atau dalam istilah yang sering digunakan sekarang ini iaitu Pluralisme Agama, Kesatuan Transenden Agama-Agama (Transcendent Unity of Religions) dan seumpamanya.[4] Agenda ini juga memperlihatkan bahawa tiada agama yang sempurna dan berhak melakukan penilaian ke atas satu sama lain.[5] Tambahan lagi, agenda ini mengajukan pemisahan daripada kerangka agama dalam menilai agama-agama lain.[6]

Larangan Terhadap Kefahaman Pluralisme Agama

Pluralisme Agama dan segala jenama yang mengangkat idea penyamarataan kebenaran semua agama ini, bercanggah dengan pandangan ulama yang muktabar dan tidak bertepatan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ

Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam

Surah Ali-Imran (19)

Menurut Ibn Kathir, Allah SWT menyatakan bahawa hanya Islam yang diterima sebagai agama di sisi-Nya. Islam merupakan agama yang dibawa oleh para rasul sebagai utusan Allah pada setiap zaman. Lalu, di akhiri dengan risalah Nabi Muhammad SAW sebagai penutup bagi jalan-jalan lain menuju kepada-Nya. Oleh yang demikian, sesiapa yang menggunakan jalan selain daripada syariat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, maka hal itu tidak diterima oleh Allah SWT.[7]

Ayat ini selari dengan firman Allah SWT:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَام دِينًا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Surah Ali Imran (85)

Menurut al-Tabari, terdapat di kalangan masyarakat agama-agama lain yang mendakwa bahawa mereka adalah orang-orang Islam. Lalu, ayat di atas memerintahkan mereka menunaikan haji sekiranya mereka benar. Ini kerana sebahagian daripada sunnah Islam adalah haji. Kemudian mereka enggan, maka Allah membantah hujah mereka.[8]

Begitu juga sabda Baginda SAW:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِي وَلاَ نَصْرَانِي ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ

Maksudnya: Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggaman-Nya! Tidaklah seseorang dalam kalangan umat ini sama ada Yahudi dan Nasrani yang mendengar tentang diriku, kemudian dia meninggal dan tidak beriman dengan agama yang aku diutus untuk menyampaikannya, kecuali dia pasti termasuk dalam kalangan penghuni neraka.

Riwayat Muslim

Hadis di atas menjelaskan bahawa perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup bagi nabi dan rasul sebelumnya telah memansuhkan agama-agama yang terdahulu. Bahkan, Islam menyeru ahli kitab, orang-orang musyrik dan setiap orang untuk beriman kepada risalah Islam yang dibawa oleh Baginda SAW. Kemudian, sekiranya risalah Islam telah sampai kepada mereka, lalu mereka mati dalam keadaan kekal dengan berpaling daripada kebenaran Islam, maka mereka termasuk dalam golongan kafir yang kekal dalam neraka.[9] Perkara ini menunjukkan bahawa setiap masyarakat selepas perutusan Nabi Muhammad SAW hingga hari kiamat perlu mengikuti agama Islam.[10]

Selain itu, idea penyamarataan kebenaran semua agama termasuk dalam kekeliruan hakikat kebenaran. Ia ditolak oleh ulama Ahli Sunnah Waljamaah terhadap golongan Sufastaiyyah(sophism) yang menafikan ilmu dan semua hakikat walaupun ia terang dan jelas. Idea ini juga menyatakan bahawa kekeliruan hakikat kebenaran bergantung kepada kehendak manusia masing-masing dan bersifat subjektif yang kadangkala bertentangan antara satu sama lain.[11] Oleh itu, keadaan ini menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang tidak disandarkan pada sangkaan (zann), spekulasi dan andaian tetapi bersandarkan kepada ilmu dan kepastian.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-88 yang bersidang pada 19 November 2014 telah berbincang dan mengambil keputusan menyokong keputusan Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan mengharamkan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Manakala, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25 – 27 Julai 2006 telah menggariskan dan menetapkan bahawa pluralisme agama adalah sebuah fahaman yang sesat untuk diamalkan.

Penutup

Oleh hal yang demikian, hukum menyambut Perayaan Hari Agama Sedunia bagi umat Islam adalah haram. Seluruh umat Islam diseru untuk tidak terlibat atau mengambil bahagian dalam menyambut Perayaan Hari Agama Sedunia atau apa-apa inisiatif yang mengangkat idea Pluralisme Agama. Walau bagaimanapun, seluruh umat Islam sama sekali tidak boleh berlaku zalim kepada sesiapa sahaja, bahkan hendaklah berlaku adil dan menunaikan tanggungjawab serta memberi hak sesama manusia. Ini kerana Islam memiliki ciri-ciri universal sebagai agama yang realistik dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan: 

[1] Esslemont, John, Bahá'u'lláh and the New Era. (Wilmette: Bahá'í Publishing Trust, 1980), 117-118.

[2] Hatcher, W.S.; Martin, J.D., The Bahá'í Faith: The Emerging Global Religion. (New York, NY: Harper & Row, 1998), 219.

[3] Fazel, Seena. "Religious Pluralism and the Bahá’í Faith." Interreligious Insight 1, no. 3 (2003): 42-49.

[4] Schuon, The Transcendent Unity of Religions, (Illinois: Theosopichal Publishing House, 1984), 12.

[5] F. Knitter, No Other Name, (London: SCM Press Ltd. 1985), 11.

[6] Hick, God and the Universe of Faith, (London: The Macmillan Press Ltd., 1988), 133.

[7] Ibn kathir, Ismail Ibn Umar, Tafsir Al-Quran Al-Azim, (Riyadh: Dar Tayyibah Li al-Nashr wa al-TawzI’, 1999), 2: 25. Teks asal:

إخبار من الله تعالى بأنه لا دين عنده يقبله من أحد سوى الإسلام ، وهو اتباع الرسل فيما بعثهم الله به في كل حين ، حتى ختموا بمحمد صلى الله عليه وسلم ، الذي سد جميع الطرق إليه إلا من جهة محمد صلى الله عليه وسلم ، فمن لقي الله بعد بعثته محمدا صلى الله عليه وسلم بدين على غير شريعته ، فليس بمتقبل

[8] Muhamad Ibn jarir al-Tabari, Tafsir al-Tabari Jami’ al-Bayan an tawil ay al-Quran, (T.tp: Dar Hajr li al-Tibaat wa al-Nashr wa al-Tawzie wa al-I’lan, 2001), 5: 555. Teks asal:

وذُكر أنّ أهل كل ملة ادّعوا أنهم هم المسلمون، لما نـزلت هذه الآية، فأمرهم الله بالحج إن كانوا صادقين، لأن من سُنة الإسلام الحج، فامتنعوا، فأدحض الله بذلك حجتهم

[9] Musa Shahin Lashin, Fath al-Mun'im Sharh Sahih Muslim, (Beirut: Dar Shuruk, 2002), 1: 489. Teks asal:

بعث محمد صلى الله عليه وسلم إلى الناس كافة، بشيرا ونذيرا، وهاديا إلى الله بإذنه وسراجا منيرا، بعض خاتم الأنبياء والمرسلين، ناسخا لملل السابقين، داعيا أهل الكتاب إلى الإيمان برسالته، محذرا من كفرانها والصد عنها، كما حذر المشركين ودعاهم إلى الإسلام، فكل من بلغته الدعوة [صاحب كتاب] يجب عليه الإيمان به، ويحرم عليه البقاء على ما هو عليه، سواء كان على ملة بدلت، أو على ملة لم تبدل، ومن سمع برسالة محمد صلى الله عليه وسلم وبمعجزاته ثم أصر على كفره، ومات على ذلك فهو من الكافرين المخلدين في النار

[10] Al-Harari, Muhammad Amin Ibn Abdullah, Al-Kaukab al-Wahhaj Fi Sharh Sahih Muslim, (Riyad: Dar Minhaj, 2009), 4: 86. Teks asal:

أمة الدعوة ممن هو موجود في زمنه صلى الله عليه وسلم وبعده إلى يوم القيامة فكلهم يجب عليهم الدخول في دينه وطاعته

[11] Al-Baghdadi, Abu Mansur ‘Abd al-Qahir bin Tahir al-Tamimi, Al-Farq Bayn Al-Firaq wa Bayan al-Firqah al-Najiyah Min Hum, (Bayrut: Dar al-Afaq Al-Jadidah, 1982M/1402H), 311. Teks asal:

فقد اجْمَعُوا على اثبات الْعُلُوم معانى قَائِمَة بالعلماء وَقَالُوا بتضليل نفاة الْعلم وَسَائِر الاعراض وبتجهيل السوفسطائية الَّذين ينفون الْعلم وينفون حقائق الاشياء كلهَا وعدوهم معاندين لما قد علموه بِالضَّرُورَةِ وَكَذَلِكَ السوفسطائية الَّذين شكوا فى وجود الْحَقَائِق وَكَذَلِكَ الَّذين قَالُوا مِنْهُم بَان حقائق الاشياء تَابِعَة للاعتقاد وصححوا جَمِيع الاعتقادات مَعَ تضادها وتنافيها وَهَذِه الْفرق الثَّلَاث كلهَا كفرة معاندة لموجبات الْعُقُول الضرورية