Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE - 788: ADAKAH SEDEKAH SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SEMBUNYI?

 

 

SEDEKAH

 

SOALAN                    

Assalammualaikum. Biasanya wang sumbangan dibuat majlis dengan penyampaian cek. Bukankah tangan kanan memberi, tangan kiri tak tahu?   Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Pembayaran zakat mahupun wang sumbangan untuk apa-apa projek infak yang diagihkan untuk pembangunan, kebajikan dan jihad dalam agama selayaknya diuar-uarkan   kepada umum. Sementara itu, sedekah sunat bagi golongan si fakir miskin yang memerlukan bantuan kewangan lebih afdal diberikan secara sembunyi daripada menghebahkan agar memelihara sebarang aib dan maruah mereka. Adapun, sedekah secara terbuka dapat memberi galakkan kepada masyarakat, namun pada masa yang sama perlu menjaga niat kerana perkara tersebut dikhuatiri boleh menerbitkan perasaan riyak untuk menunjuk-nunjukkan sesuatu amalan. Walau bagaimanapun kedua-kedua cara sedekah tersebut mendapat pahala atas amalan jariahnnya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Secara umumnya, sedekah merangkumi kategori fardu (zakat) dan sunat. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT.

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya:Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah (271)

Potongan ayat (إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ) , : “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu” merujuk kepada sedekah fardu. Sementara, potongan ayat (وَإِنْ تُخْفُوهَا): “Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu” merujuk kepada sedekah sunat.[1] 

Para ulama tafsir bersepakat bahawa ayat ini berkaitan sedekah sunat dengan pemberian secara sembunyi lebih afdal daripada menguar-uarkan kepada umum. Begitu juga, tidak menunjuk-nunjuk dalam melaksanakan amal ibadah sunat untuk menjauhi diri daripada timbul perasaan riyak. Namun, bagi sedekah wajib (zakat) lebih baik berikan secara terang-terangan berbanding sedekah sunat yang perlu diberikan secara sembunyi. [2]

Seterusnya, mereka yang memberi sedekah sunat sebagai amalan tambahan, maka ia termasuk antara golongan yang mendapat naungan Allah SWT berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bersabda bahawa Rasulullah SAW bersabda

وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ

Maksudnya : “Dan seseorang yang bersedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan tangan kanannya”.

Riwayat Bukhari 1423

Hadis ini menjelaskan tentang kelebihan bersedekah secara sembunyi. Ulama berpandangan sedekah sembunyi lebih baik untuk memelihara nilai keikhlasan dan menjauhi perasaan riyak. Sementara sedekah wajib iaitu zakat lebih baik di uar-uarkan kepada umum.[3]

Walau bagaimanapun, amalan sedekah yang dilakukan sama ada secara sembunyi mahupun terang-terangan tetap akan mendapat ganjaran pahala asalkan menjaga niat daripada riyak. berdasarkan firman Allah SWT. [4]

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ‏

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. “

Surah al-Baqarah (274)

Menurut Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, kategori sedekah wajib, perbelanjaan kebajikan, infak kemaslahatan umum seperti pembinaan sekolah, hospital, perbelanjaan pada jalan agama, jihad, sedekah pada pertubuhan sukarelawan sewajarnya di uar-uarkan kepada umum dengan niat mengalakkan orang ramai turut bersedekah selain dapat menarik minat masyarakat.  Manakala, sedekah kepada golongan fakir yang sangat berhajat memerlukan bantuan kewangan, maka lebih baik sedekah itu dilakukan secara sembunyi daripada pengentahuan umum tanpa diberikan secara terang-terangan. Hal ini dapat menutup keadaan aib fakir miskin dan memelihara maruah mereka.   [5]

Kelebihan amalan bersedekah adalah ganjaran pahala  berterusan walaupun pemberi sedekah meninggal dunia berdasarkan   hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

‏ إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang insan, terputuslah amalnya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”

 

Riwayat Muslim (1631)

PENUTUP

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, amalan bersedekah mempunyai kelebihan dan ganjaran pahala sama ada pemberian secara sembunyi mahupun terang-terangan. Namun, pemberian secara terbuka mahupun sembunyi berdasarkan jenis sedekah tersebut. Sebagai contoh sedekah fardu mahupun sumbangan pembangunan untuk agama lebih baik diberikan secara terbuka untuk memberi galakkan kepada orang ramai. Sementara itu, sedekah sunat diberikan secara sembunyi kepda fakir miskin yang berhajat  tanpa perlu menghebahkan kepada media sosial bagi menutup keadaan aib  dan maruah mereka. 

 

 

RUJUKAN

[1] Abu Mansor al-Maturidi, Tafsir al-Maturidi ( Bayrut : Dar al-Kutub al-Imiyyah, 2005m ) 2/ 264

وقال غيرهم: (إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ)، هي الفريضة، (وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ) هي التطوع

al-Tabari. Abu Jaafar, Tafsir al-Tabari Jami’ al-Bayan An -Ta’wil Al-Quran (Dar al-Hajr, 2001m) 5/ 14

يَقُولُ: وَإِنْ تَسْتُرُوهَا فَلَمْ تُعْلِنُوهَا {وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ} [البقرة: 271] يَعْنِي: [ص:15] وَتُعْطُوهَا الْفُقَرَاءَ فِي السِّرِّ، {فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ} [البقرة: 271] يَقُولُ: فَإِخْفَاؤُكُمْ إِيَّاهَا خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِعْلَانِهَا، وَذَلِكَ فِي صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ

[2] Al-Qurtubi. Syamsuddin. Tafsir al-Qurtubi al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (Dar al-Kutub Misriyah: Al-Qaherah, 1964) 3/ 332

ذَهَبَ جُمْهُورُ الْمُفَسِّرِينَ إِلَى أَنَّ هَذِهِ الْآيَةَ فِي صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ، لِأَنَّ الْإِخْفَاءَ فِيهَا أَفْضَلُ مِنَ الْإِظْهَارِ، وَكَذَلِكَ سَائِرُ الْعِبَادَاتِ الْإِخْفَاءُ أَفْضَلُ فِي تَطَوُّعِهَا لِانْتِفَاءِ الرِّيَاءِ عَنْهَا، وَلَيْسَ كَذَلِكَ الْوَاجِبَاتُ. قَالَ الْحَسَنُ: إِظْهَارُ الزَّكَاةِ أَحْسَنُ، وَإِخْفَاءُ التَّطَوُّعِ أَفْضَلُ، لِأَنَّهُ أَدَلُّ عَلَى أَنَّهُ يُرَادُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ وَحْدَهُ.

[3]  Al-Nawawi. Abu Zakariyya Mahya ad-Din.  Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (Bayrut : Dar Ihya’ At-Turath al-‘Arabi, 1392)   7/ 122

 هَذَا الْحَدِيثِ فَضْلُ صَدَقَةِ السِّرِّ قَالَ الْعُلَمَاءُ وَهَذَا فِي صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ فَالسِّرُّ فِيهَا أَفْضَلُ لِأَنَّهُ أَقْرَبُ إِلَى الْإِخْلَاصِ وَأَبْعَدُ مِنَ الرِّيَاءِ وَأَمَّا الزَّكَاةُ الْوَاجِبَةُ فَإِعْلَانُهَا أَفْضَلُ وَهَكَذَا حُكْمُ الصَّلَاةِ فَإِعْلَانُ فَرَائِضِهَا أَفْضَلُ وَإِسْرَارُ نَوَافِلِهَا

[4] Wahbah Az-Zuhailiy. Tafsir al-Wasith Li Zuhailiy (Dar al-Fikr al- Ma’asir, 1422 h) 1/ 159

ثم سوّى القرآن الكريم بين صدقة السر وصدقة العلانية في الأجر والثواب، فقال الله تعالى:

[5] Wahbah Az-Zuhailiy. Tafsir Munir fi al-Aqidah Wa al-Akidah wa Manhaj (Damsyik: Dar al-Fikr al- Ma’asir, 1418 h) 3/ 71

والخلاصة: إن الصدقة الواجبة، والإنفاق في المصالح العامة كبناء المدارس والمشافي والدعوة إلى الدين والجهاد، ونفقة التطوع بقصد ترغيب الآخرين في التصدق ينبغي إعلانها، وهو أفضل من الإخفاء. وأما الصدقة على الفقراء لسد حاجاتهم فإسرارها أفضل من إعلانها، سترا لحالهم وحفظا لكرامتهم.